Seksanya Menjadi Penyokong PH

Seksanya Menjadi Penyokong PH

Hari berganti hari, minggu bertukar minggu dan bulan pula semakin bertambah bilangan, semenjak PH mengambil kuasa di Putrajaya. Masa terus berdetik, berlalu dengan meninggalkan sejarah baharu negara.

Sudah banyak perkara pelik yang dilakukan oleh PH, semenjak pertama kali mereka menang dan berjaya sebagai Kerajaan Pusat pada Mei 2018, hampir lima tahun lalu dan sekali lagi pada November 2022.

Terlalu banyak senarai perkara-perkara luar tabii yang tidak sepatutnya terjadi, telah dilakukan oleh PH.

Paling dikenang, tidak menunaikan janji-janji mereka ketika berkempen.

Saya percaya yang rakyat juga sedar dan masih berada dalam ingatan semua.

Malah keyakinan saya bertambah dengan keputusan PRU15 yang lalu, menunjukkan kejatuhan sokongan terhadap PH dengan mendadaknya, membuktikan majoriti rakyat tidak suka dan tidak mahu diperbodohkan lagi oleh PH.

Daripada mendapat majoriti menang PRU14, kali ini PH terpaksa melutut, mencari Umno parti yang mereka hina dan keji sebagai penyamun dalam kempen mereka.

Jika gabungan PH sahaja cukup majoritinya, pastinya mereka tidak perlu mencari parti lain untuk membuat gabungan baharu, apalagi Umno.

Sehinggakan kepada PAS juga PH datang meminta belas ihsan untuk berkuasa.

Mujurlah Presiden PAS tetap menolak dan mahu gabungan dengan yang lain, selain daripada PH.

PAS tetap bertahan dalam kempen PRU15, memilih kempen yang sederhana, kurang mencari pasal dengan BN yang ada Umno di dalamnya atas sebab keyakinan masih ada ruang kerjasama Muafakat Nasional.

Umno dua kali dalam penggal lalu bergabung dengan PAS dan Bersatu serta GPS, membentuk Kerajaan Pusat.

Ia jelas dan dapat dilihat orang, yang PAS bersungguh mengurangkan musuh yang kurang mudarat, hanya musuh PAS yang nyata ialah PH yang ada DAP di dalamnya.

Justeru, PAS yakin yang gabungan mereka bersama BN akan membentuk kerajaan kerana beberapa pembesar UMNO juga tidak mahu bersama PH.

PAS sekali lagi jelas dengan prinsipnya ketika bersama Umno, dengan tidak menawarkan apa-apa jawatan kepada Presiden Umno yang ketika itu menghadapi pertuduhan di mahkamah atas salah laku rasuah.

Dan sebelum itu juga, sewatu Presiden Umno berada dalam kerajaan, beliau direhatkan dari mana-mana jawatan.

Prinsip PAS dan rakan PN ini jelas dan terbukti.

Hanya mungkin Presiden Umno merasakan perlu ada jawatan, maka dia memilih PH selepas PRU lalu sedangkan beliau telah bersumpah menafikan.

Maka bermulalah episod penyokong PH terpaksa mengangkat tandu, mengusung pemimpin Umno yang mereka benci dahulu, ke sana ke mari, menjulang pimpinan Umno yang mereka ludah dengan tuduhan penyamun dahulu, sekarang bak menatang minyak yang penuh.

Apapun bau busuk yang ada pada pimpinan Umno, mereka hidu dan serap dengan sabar, kerana takut Umno lari, akan jatuhlah kerajaan yang ada ini.

Sejarah jatuhnya pimpinan mereka sebelum layak menerima pencen menteri, amat memeritkan.

Penyokong PH sekarang tersenyum kelat membela perangai Umno yang mula naik tocang melakukan lantikan politik sesuka hati mereka, sebaliknya mengaum ganas kepada sesiapa yang menghina pimpinan Umno.

Kini, tidak cukup terpaksa menerima fiil Umno, penyokong PH menjadi hampir gila dengan beberapa perangai pimpinan PH sendiri.

Setelah Raja Saudi dikatakan tidak berjaya ditemui oleh PMX, walaupun sudah menguar-uarkannya yang pertemuan itu telah dijadualkan, berlaku pula sejarah yang sungguh memalukan kerajaan iaitu soalan Ahli Parlimen, tidak dapat dijawab oleh wakil kerajaan.

Menteri tiada dalam dewan (kalau ikut prinsip penyokong PH, tiada dalam Parlimen dikira ponteng) dan Timbalan Menteri juga tiada jawapan serta banyak isu lain lagi.

Penyokong PH kelihatan begitu tidak berguna sekali kerana tidak berjaya mempertahankan PMX yang gagal bertemu Raja Saudi, sehingga terpaksa Pengarah JKOM sendiri yang menjawab isu itu, walaupun entah apa-apa.

Belum lagi penyokong PH sempat membuka mulut untuk mempertahankan PM mereka, menteri dan timbalan PH pula buat hal.

Mujurlah MB Kedah sempat dijadikan PH sebagai ‘punching bag’ sementara, ketika malu ini masih terlihat dengan membuat kelahi baharu.

Seksa dan penat rupanya menjadi penyokong PH ni, walaupun jika dapat upah sekalipun, tak berbaloi, sebab kerjanya selain mengangkat tandu yang pimpinan Umno ada di atasnya, mereka terpaksa membasuh najis isu pimpinan mereka.

Belum habis dibasuh, dia berak lagi, yang cair berciciran pulak tu.

Hanya dua senjata mereka untuk melawan balik, samada saman atau guna agama, konon warak.

Benarlah sebagaimana yang dinukil dalam al-Quran, surah an-Nisaa’ ayat 104 “Dan janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, maka ketahuilah mereka pun menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu rasakan, sedang kamu masih dapat mengharapkan dari Allah apa yang tidak dapat mereka harapkan. Allah Maha Mengetahui, Maha bijaksana.

Nasiblah….

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis