Tiada kestabilan politik tanpa PAS (Bahagian 1)

Tiada kestabilan politik tanpa PAS (Bahagian 1)

Kestabilan politik adalah perkara faktor yang menyebabkan tarikan perhatian rakyat Malaysia begitu tertumpah kepada isu, parti dan watak-watak politik negara pasca-PRU14.

Ditambah oleh kehangatan kempen PRU15 dan juga polemik pembentukan kerajaan, serta pelantikan Perdana Menteri sebelum ini.

Sebahagian besar anak muda terutama yang kali pertama mengundi pada asalnya dilihat langsung tidak begitu kisah dengan politik semasa negara.

Namun, ketidakstabilan politik negara yang telah berlaku dilihat menjadi indikator besar mempengaruhi undi mereka pada 19 November dahulu.

Kecaknaan mereka segera terjentik dan mendapat kesalinghubungan maklumat dengan begitu luas; hasil ledakan media sosial terutama aplikasi TikTok.

Kesannya, mereka memiliki kecenderungan pilihan yang diterjemah ke kertas undi dan menjadi antara punca ‘gelombang’ sokongan PRU15.

Masalah ketidakstabilan juga telah menumpahkan intervensi dalam kalangan tokoh politik negarawan untuk menangani akibat-akibat yang timbul.

Pun demikian, ketidakstabilan itu turut ditunggangi dan dimanipulasi oleh politikus berkepentingan yang pragmatik, oportunis dan populis.

Malah, ketidakstabilan itulah yang membolehkan DAP begitu mencengkam Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hingga menimbulkan pelbagai hiruk-pikuk isu menggugat dan mengancam.

Dari ketidakstabilan tersebut bahkan memuncak desakan-desakan untuk menukar Perdana Menteri.

Malang sekali, ketidakstabilan itu menjadi sebab jatuh tersungkur Kerajaan PH, sedangkan tempoh 22 bulan tiada peranan signifikan kepada rakyat dan negara.

Mujurlah ada tokoh pemimpin penyelamat seperti Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ekonomi mampan

Besar sekali sumbangan kestabilan politik semasa di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN), di mana pelbagai langkah konstruktif diadakan.

Ia membantu rakyat dan memulihkan pertumbuhan ekonomi di sebalik pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan global termasuk perang Rusia-Ukraine.

Kerajaan PH, walaupun tanpa berdepan cabaran tersebut, hanya mencapai kadar pertumbuhan ekonomi tertinggi pada tahap 4.9 peratus di suku kedua (Q2) 2019.

Namun, kembali jatuh pada Q3 (4.4 peratus) dan Q4 (3.6 peratus) tahun tersebut, sebelum diambilalih PN hujung Februari 2020.

Ketika itu Malaysia berada dalam kekangan wabak, ditambah krisis global, termasuk keterbatasan pergerakan dan keselamatan makanan serta kenaikan harga barang.

Namun, kelembapan ekonomi berjaya diatasi; pertumbuhan dipacu konsisten dan melonjak ke kadar 8.9 peratus. 

Prestasi setakat Q2 2022 itu bahkan jauh baik mengatasi pencapaian negara jiran serantau iaitu Indonesia (5.4 peratus), Filipina (7.4 peratus), Vietnam (7.7 peratus) dan Singapura (4.8 peratus).

Ia boleh dilihat sebagai kekuatan untuk Malaysia menempuh kemelesetan ekonomi dunia yang dijangka tahun 2023.

PN bukan sahaja dapat mengekang ekonomi Malaysia dari jatuh meruncing, malah berjaya menarik keyakinan pelaburan.

Direkodkan setakat Mei 2022, nilai perdagangan borong dan runcit adalah sebanyak RM129.8 bilion. Ia merupakan paras tertinggi dicapai negara sejak tahun 2013.

Aliran pelaburan langsung asing (FDI) pula berkembang sehingga RM836.2 bilion setakat Q2 2022 yang menunjukkan momentum kukuh pertumbuhan ekonomi.

Kerana itu kestabilan politik berterusan amat diperlukan bagi menjaga kesinambungan ekonomi yang mampan.

Peranan PAS

Kestabilan politik dan pencapaian tadbir urus baik kerajaan turut dicontohkan PAS yang merupakan salah satu komponen PN.

Kerajaan negeri ditadbir PAS di Kelantan, terbukti bersih dari rasuah dan salah laku selama 32 tahun memerintah.

Bersama Terengganu, kedua-dua negeri berjaya memenuhi lebih 90 peratus manifesto PRU14.

Bahkan Terengganu berjaya membawa keuntungan hebat kepada syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) negeri yang sebelumnya asyik kerugian.

Kedah pula, begitu pantas menggiatkan pembangunan.

Manakala peningkatan pelaburannya tersohor dengan tahun 2021 sahaja mencatat tertinggi dalam sejarahnya iaitu RM68.3 bilion.

Keberadaan PAS di dalam juga malah dilihat menjadi penimbang tara penting kepada sikap atau keputusan Kerajaan Persekutuan.

Antaranya apabila menjadi kerajaan yang pro-rakyat dan prihatin ketika mana negara dihimpit cabaran wabak dan ekonomi.

Juga memastikan tadbir urus baik dan berintegriti lagi dihormati.

Dalam masa sama, keberadaan PAS di dalam kerajaan membuatkan banyak pihak merasa ‘malu’ untuk melangsungkan aktiviti mungkar.

Kegiatan kelab malam dan kasino, arak dan judi, ajaran sesat dan pelbagai kekeliruan fahaman lainnya, serta konsert hiburan melampau dan bebas dapat ditangani.

Mainan politik

Malangnya ada para politikus tamak haloba serta mempunyai kepentingan peribadi.

Kedudukan politik mahu diperalat untuk selamatkan diri dari pendakwaan mahkamah.

Mereka menimbulkan porak-peranda politik hingga PRN Melaka, Johor dan PRU15 terpaksa diadakan ‘di luar waktu’ sewajarnya.

Umno yang telah diberikan peralihan secara tenang Kerajaan Negeri Perak dan juga Kerajaan Persekutuan ketika itu, sewajarnya memperteguhkan pemerintahan dengan sebaik mungkin.

Tetapi sebaliknya, Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ghairah menggerakkan percaturan sulit.

Hinggakan banyak terbongkar mengenai muslihat licik antara beliau dan Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Menurut sumber Umno sendiri, komplot dua politikus itu telah berlaku sejak tahun 2018 lagi.

Sebab itulah Zahid dikatakan tidak bersungguh dalam menjayakan agenda Penyatuan Ummah.

Bahkan, banyak provokatif dilakukan segelintir pemimpin Umno ke atas PAS tidak ditangani, tetapi dibiarkan sahaja.

Di Terengganu dan Kelantan misalnya, Umno terbuka isytihar mahu bertanding PRU15 melawan PAS.

Mereka lebih awal putuskan hubungan Muafakat Nasional (MN).

Antara mereka itu ialah Dato’ Seri Ahmad Said dan Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub.

Begitu juga kalangan yang begitu celupar serta asyik meremehkan usaha MN dan Penyatuan Ummah.

Paling ketara Dato’ Nur Jazlan Mohamed, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan Dato’ Dr Mohd Fuad Zarkashi.

Sasaran mereka adalah PAS yang berusaha meluaskan agenda itu kepada umat Melayu-Islam khususnya dan kalangan bukan-Muslim yang tidak ekstrem amnya.

Mereka secara intensif merobek usaha itu dan PAS dicerca pelbagai kecaman serta ditohmah dengan segala salah faham.

Usaha suci murni PAS dihadapkan dengan tuduhan khianat, curang, bermadu, kahwin muta’ah, kejar jawatan dan banyak lagi.

Hubungan yang diapi-apikan itu menyebabkan PAS sering diberi amaran, kata dua, ugutan, tuntutan dan pelbagai syarat tidak munasabah.

Umno di tahap lemah

Terdesaknya Zahid menggesa PRU15 segera diadakan telah memaksa Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen pada 10 Oktober 2022.

Tiga hari selepas Belanjawan 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat tanpa sempat dibahas dan diluluskan. 

Ia satu penipuan ke atas rakyat, mempermainkan institusi Parlimen dan seperti kerajaan membuat kerja sia-sia serta bermain politik.

Tetapi hakikatnya ia berlaku kerana desakan dan tekanan politik pihak yang rakus.

Tiada mana-mana pihak yang rasional menyatakan ia masa sesuai diadakan PRU15.

Tetapi Zahid tidak kisah, bahkan angkuh untuk Barisan Nasional (BN) bertanding solo pada PRU15 itu dalam keadaan ‘luka’ lalu masih lagi berbalut dan lemah. PRU14 dulu BN hilang kuasa Kerajaan Persekutuan, selain hanya tinggal Perlis dan Pahang; setelah lebih 60 tahun bertakhta.

Mereka bahkan seperti ‘terlupa’ betapa BN tidak lagi memiliki dukungan kuat apabila semua parti komponennya keluar dari gabungan itu pasca-PRU14.

Hanya tinggal MCA dan MIC serta beberapa parti kecil lainnya. Belum lagi dikira individu pimpinan dan ahli yang keluar parti.

Namun, Zahid ternyata cukup ‘berkuasa’ kerana mampu mempengaruhi seluruh Jentera BN untuk PRU15 diadakan.

Optimistiknya seperti satu sihir yang menyebabkan seluruh BN berubah sekelip mata bahawa mereka akan menang PRU15 ini.

Hakikatnya mereka berada dalam ‘kotak sendiri’.

Sedangkan dalam pandangan pelbagai pihak, BN bukan sahaja tidak berada dalam potensi untuk menang, bahkan berisiko hilang setiap posisi yang sedang dipegang.

Kedudukan BN tidak ubah seperti berada di satu jurang yang sangat memungkinkannya terjerumus jatuh.

Ketidakstabilan dalam Umno dan BN bukan satu rahsia. Bahkan agensi penarafan statistik antarabangsa, Fitch Solutions pernah melapor jangkaan ketidakstabilan negara sekiranya Umno-BN memenangi PRU15.

Ia berikutan perbalahan antara kumpulan di dalam Umno.

Malah lapor Fitch, sekiranya Umno-BN menang, momentum perubahan akan tetap perlahan disebabkan perbalahan yang wujud.

Sedangkan landskap pilihan raya Malaysia semakin kompetitif dan tidak lagi berada dalam dominasi Umno-BN seperti lebih 60 tahun dahulu.

Pergolakan dalaman Umno dan BN juga meletup keluar dari antaranya bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato’ Tajuddin Abdul Rahman selepas dipecat dari Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Juga sindiran kritis oleh ramai pimpinan senior Umno yang lain di media sosial.

Selain itu, wujud kritikan pedas dari figura-figura Umno kepada rakan MCA dan MIC yang dilihat meninggalkan kesan ‘terasa hati’ tidak dapat disembunyikan.

Lebih menghilangkan sinar dan motivasi apabila pemimpin penting mereka, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dipenjarakan.

bersambung….

IZWAN ABDUL HALIM

Kolumnis PAS