Bersempena 27 Ramadan ini, tentunya ramai rakyat Selangor yang beragama Islam telah mengambil peluang bangun malam bagi mendapatkan keberkatan malam Al-Qadar yang menjadi rahsia kemanisan dalam beribadah.
PAS dan Perikatan Nasional tidak berselindung dalam memperjuangkan kepentingan negara dan rakyat berpaksikan kedudukan kaum Melayu dan bumiputera seperti dijamin dalam Perlembagaan Malaysia.
Dengan jumlah penduduk sebanyak 6.5 juta orang yang terdiri daripada kaum Melayu bumiputera sebagai teras utama iaitu sebanyak 60%, Selangor merupakan cerminan bagi politik di peringkat nasional.
Angka ini ternyata jumlah yang tidak kecil, jika 60% kaum Melayu bumiputera Islam ini mengamalkan Islam dengan cara yang sempurna, kemakmuran dan kekayaan di negeri ini semakin bertambah.
Kini Selangor boleh berbangga dengan jumlah pendapatan negeri sebanyak hampir 2.2 billion ringgit pada 2021 dengan infrastrukur dan lokasi yang strategik, pemimpin tidak boleh memperleceh aspek pembinaan jiwa dan jati diri rakyat.
Statistik terbaru menunjukkan Selangor menjadi negeri yang menyumbang kepada kes HIV-AIDS tertinggi dalam negara?
Daripada lebih 60,000 pengidap HIV-AIDS, 20,000 sahaja adalah dari Selangor.
AIDS kini tidak lagi merebak cepat melalui perkongsian jarum, tetapi melalui hubungan songsang LGBT yang mengundang kemurkaan Allah SWT ke atas negeri ini.
Rakyat khususnya bukan Islam tidak perlu merasa takut dengan agenda pemerkasaan kaum Melayu dan bumiputera.
Hampir 7 dekad negara mengecapi kemerdekaan, tiada konflik perkauman kecuali yang tercetus dalam negara akibat provokasi pihak tertentu.
Namun, tragedi 13 Mei 1969 yang berlaku itu telah dapat diselesaikan menerusi muafakat matang oleh pemimpin politik rentas kaum dan agama.
PAS turut memainkan peranan besar dalam meredakan suhu ketegangan kaum pasca PRU 1969 menerusi penyertaan PAS dalam kerajaan campuran.
Semua kejayaan dan usaha ini hanya dapat dicapai lantaran kukuhnya ajaran agama Islam yang mendidik penganutnya untuk mengutamakan keamanan dan perdamaian dengan kaum dan penganut agama lain.
Firman Allah S.W.T menerusi Surah Al Anfal ayat 61 hingga 63
وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ (61)
“Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka hendaklah engkau cenderungi pula kepadanya. Dan bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ (62)
“Dan jika mereka hendak memperdayakan engkau, maka sesungguhnya cukuplah bagi engkau Allah. Dialah yang akan meneguhkan engkau dengan pertolongan-Nya dan dengan orang-orang yang beriman.”
وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ (63)
“Dan Dia telah mempersatukan di antara hati kamu. Kalau engkau belanjakan apa yang ada pada bumi semua, tidaklah engkau dapat mempersatukan di antara hati mereka. Akan tetapi, Allahlah yang telah mempersatukan di antara mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Gagah, lagi Bijaksana.”
Dalam masa sama, janganlah dianggap perjuangan memartabatkan Islam dan Melayu bumiputera sebagai naratif yang sempit dan rasis.
Hal ini demikian kerana, hanya apabila kaum majoriti dalam sesebuah negara berada dalam keadaan aman dan baik barulah sesebuah negara itu dapat menuju kejayaan.
Piagam Madinah juga telah mengaplikasikan konsep “madani” atau “hadhari” yang menjelaskan hubungan rentas kaum dan agama dalam konteks kewarganegaraan.
Setiap daripada kita yang terdiri daripada kaum dan agama yang majmuk mempunyai peranan tersendiri dalam pembinaan dan kemajuan negara bangsa.
Islam mengakui prinsip ini serta dibuktikan menerusi negara Islam pertama iaitu Madinah dan diteruskan oleh sistem khilafah termasuklah Kesultanan Alam Melayu yang wujud pada hari ini.
Fabrik sosial yang selama ini dibina berteraskan ketamadunan Melayu serta Islam sebagai agama Persekutuan telah terbukti menjadi formula yang baik dalam agenda pembinaan negara bangsa Malaysia.
Sudah pasti ada kekurangan dan aspek yang perlu kita tambah baik, maka di sini lah peri pentingnya semua kaum dan agama diketuai Melayu Islam sebagai pemilik tanah seperti yang telah diperuntukkan dalam Enakmen Tanah Rizab Melayu bagi mengukuhkan semangat muhibbah antara kaum.
Insya-Allah kemakmuran dan kekayaan negeri dapat dikecapi semua pihak secara adil dan saksama.
Jika Selangor ingin terus maju, maka aspek pembinaan jati diri atau disebut sebagai “Good Citizen” perlu dicapai terlebih dahulu.
Umat Islam perlulah menjadi kelompok yang pertama memahami kepentingan Islam sebagai teras kehidupan yang memandu setiap sudut kehidupan kita.
Barulah semangat dan keyakinan yang ditonjolkan ini akan disahut seiringan oleh kaum lain. Islam kunci kemajuan, tiada penafian.
NUSHI BIN MAHFODZ