Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada awal pentadbirannya telah meraih populariti sebanyak 68 peratus daripada rakyat.
Nampaknya strategi aksi populis yang dilakukan beliau membuahkan sedikit hasil.
Pasti semua masih ingat dengan gambar Anwar memakai capal, gambar ‘sweet’ beliau bersama Azizah, keputusan tidak memakai tali leher serta ucapan-ucapan Anwar yang dikagumi oleh pengikutnya.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan.
Populariti yang diraih kini kian tenggelam dek kerana prestasi kerajaan MADANI yang jatuh menjunam.
1) Kebajikan dan pengurusan ekonomi
Masalah harga barang dan kekurangan bekalan terus-menerus berlaku.
Matawang ringgit juga semakin melemah.
Inisiatif yang dilaksanakan kerajaan pula tak tumpah seperti melepaskan batuk di tangga.
Rakyat disuruh bijak berbelanja, mencagar KWSP dan memanfaatkan Menu Rahmah.
Namun sehingga hari ini, rakyat masih menantikan solusi tuntas kerajaan MADANI dalam menyelesaikan isu rantaian bekalan ini secara berkesan.
2) Janji tidak ditepati
Pelbagai janji yang pernah ditawar masih gagal ditunaikan oleh Anwar mahupun kerajaan.
Bermula dengan kerjasama PH-BN yang asalnya dinafi oleh Anwar Zahid, janji penyelesaian isu telur sehinggalah tentang ‘lawatan rasmi’ beliau ke Arab Saudi.
Malaysia MADANI yang konon menitikberatkan tatakelola yang adil ini jugalah yang telah melantik kluster mahkamah menjadi sebahagian daripada ahli kabinet serta mengisi GLC.
3) Salah guna kuasa
Penyalahgunaan kuasa yang berlaku di dalam kerajaan MADANI bukan lagi rahsia.
Politik dendam menjadi budaya.
Menteri KDN telah menyelamatkan UMNO yang melanggar perlembagaan partinya.
Kebebasan bersuara rakyat dan media pula disekat oleh Kementerian Komunikasi dan Digital hanya kerana tidak sealiran dengan kerajaan.
Entah mengapa dalam kerajaan sekarang rakyat rasa terancam dengan kerajaan bukan lagi rasa selamat.
4) Ketidakstabilan politik
Bukan sahaja hilang kepercayaan rakyat, bahkan kerjasama antara parti dalam kerajaan MADANI juga nampaknya mulai berpecah.
Pelbagai tuntutan politik masih gagal ditunaikan oleh Perdana Menteri sehingga berlaku ketidakpuasan hati ahli Parlimen kerajaan sendiri.
Mungkinkah ini faktor kenapa kerajaan Anwar-Zahid gagal menunjukkan prestasi cemerlang?
Bagaimana mungkin kerajaan dapat bergerak dengan baik jika hubungan dalam pakatan kerajaan juga gagal diurus bukan?
Selepas beberapa bulan memerintah, rakyat mulai sedar dan menilai akan semua tindakan serta dasar yang dilakukan oleh kerajaan.
Tanpa hala tuju yang jelas, Anwar dilihat hanya tahu bercakap, namun tidak boleh diharap.
Prestasi kerajaan MADANI amat mendukacitakan.
Sehingga bila rakyat hendak dipujuk dengan kata pujangga semata?
Sekian.
USTAZ ABD RAZIB ABD RAHIM