DAP mendedahkan penipuan yang tidak dapat disembunyikan lagi apabila tujuan bekerjasama dengan UMNO adalah bagi mendapat undi Melayu Islam yang kini gagal dilaksanakan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang justeru, berkata tindakan DAP itu akan menguji UMNO sama ada perjuangan parti yang kononnya keramat Melayu itu adalah politik cari makan dan jawatan atau menunaikan amanah agama, bangsa dan negara.
Justeru, katanya perlu dilakukan muhasabah terhadap parti yang menjadi salah satu mazhab kepada asal usul falsafah Karl Marx, yang diubah suai mengikut realiti dan situasi yang berbeza dalam masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.
“Sebelum ini, DAP telah menyertai gabungan 55 buah parti demokratik sosial, sosialis dan buruh yang lain di seluruh dunia, sebagai ahli Sosialis Antarabangsa (SI) dalam sebuah persidangan di Zurich, Switzerland.
“Adapun di Malaysia semua kumpulan kiri bersekongkol bersama DAP, termasuk kumpulan komunis yang paling ekstrem sehingga diharamkan.
“Setelah tidak ada tempat dalam hutan rimba, maka bersembunyilah mereka dalam DAP,” katanya menulis dalam Facebook hari ini (21 April 2023).
Presiden PAS itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang yang mahu melibat UMNO lebih kuat daripada Bersatu dan PAS.
Menurut Kit Siang kenyataan yang dibuatnya mengenai isu pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertujuan melihat UMNO menjadi lebih kuat berbanding PAS dan Bersatu.
Veteran DAP itu berkata satu-satunya cara untuk UMNO kembali gemilang seperti dahulu ialah dengan parti tersebut kembali berpegang kepada dasar dan prinsip asas pembinaan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata kenyataan yang dibuat Kit Siang itu tidak menyembunyikan perjuangan dan hala tuju DAP.
“Tidak menghairankan apabila DAP yang berprinsip dan berkonsepkan sosialisme, sekularisme dan Malaysian Malaysia mengikut undang-undang tubuhnya, mengambil pendekatan pragmatik.
“Dulu PAS bertahaluf dengan DAP dan bersama parti-parti lain dalam gagasan pembangkang berkonsepkan titik persamaan kemanusiaan yang tidak menyentuh dasar parti dan tidak terpesong hala tujunya.
“Apabila PAS mencapai sedikit kejayaan dalam kerjasama itu, sehingga berjaya memerintah Kelantan dan Terengganu, terkini memimpin Kedah pula, serta menambah kerusi di Parlimen, maka dianggapnya bahaya gelombang hijau kerana PAS mendapat kerusi terbanyak.
“Tafsiran yang ekstrem terhadap PAS, bukan kerana salahnya, tetapi kerana sikap menolak kebenaran secara tidak adil. Begitulah ketidakselesaan DAP ketika PAS pernah mengatasi parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu turut mengingatkan bahawa PAS bukannya Melayu Islam yang mudah lupa terhadap Deklarasi Setapak yang memperkukuhkan pandangan DAP bahawa kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting dalam proses membina negara, dan di atas prinsip ini DAP berpegang bahawa pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’ hendaklah ditentang.
“PAS juga tidak lupa terhadap peristiwa pendedahan sikap DAP apabila mereka menyertai himpunan kumpulan kiri di Kajang beberapa tahun yang lalu.
“Himpunan yang bertujuan memperingati perjuangan kumpulan komunis menentang Jepun bersama British kerana bersama dalam Perang Dunia Kedua, dan selepasnya menentang British supaya disenaraikan dalam perjuangan kemerdekaan negara.
“PAS tidak lupa sikap DAP yang menyanjung abu mayat Chin Peng, ketua pemberontak komunis yang membunuh ramai anggota tentera dan polis walaupun berperang pada zaman penjajah British yang mengharamkannya.
“Hal ini demikian kerana, menentang komunis itu lebih utama disebabkan lebih sesat dan bahaya daripada British,” katanya.