Pada tanggal 14 Mei 2023, rakyat Turkiye akan memilih kepimpinan baharu bagi menerajui negara mereka.
Pilihanraya kali ini agak berbeza berbanding sebelumnya kerana ia menggabungkan sekali pemilihan presiden dan parlimen dengan pemilihan calon presiden adalah berasingan.
Sistem ini mula diperkenalkan oleh Recep Tayyib Erdogan, Presiden Turkiye sejurus selepas kegagalan rampasan kuasa pada tahun 2016 bagi memberikan kuasa yang lebih luas kepada presiden khususnya terhadap tentera yang diletakkan di bawah satu jawatankuasa yang diketuai oleh presiden sendiri.
Ia menerima tentangan daripada banyak pihak kerana dikhuatiri akan membawa Turkiye kepada pemerintahan diktator kerana memusatkan kuasa kepada presiden.
Pilihanraya kali ini bukan sahaja bakal menentukan siapakah presiden yang akan mengetuai negara Turkiye bahkan juga ke manakah halatuju negara yang akan dibawa dari sudut dasar luar, ekonomi dan lain-lain polisi lagi.
Barangkali ini adalah cabaran paling besar terhadap Erdogan yang merupakan ketua negara Turkiye yang paling lama memegang tampuk pemerintahan di era moden Turkiye zaman pasca kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah iaitu sejak dari tahun 2002 sehingga ke hari ini.
Isu ekonomi, kos sara hidup tinggi, peluang pekerjaan, limpahan pelarian khususnya akibat perang di Syria dan dasar luar bakal menjadi pertimbangan utama rakyat Turkiye dalam pilihanraya kali ini.
Melalui pemerhatian saya kepada beberapa kajian dan maklumat daripada rakan-rakan di Turkiye, Erdogan masih lagi menjadi pilihan ramai rakyat Turkiye kerana ketokohan dan karisma politiknya berbanding lawannya.
Akan tetapi parti yang dipimpinnya iaitu parti AK bakal berdepan dengan laluan yang agak sukar kerana isu-isu kronisma, rasuah dan salah guna kuasa.
Hasil daripada beberapa kajian yang dibuat, Erdogan masih lagi popular berbanding calon lawannya Kemal Kilicdaroglu walaupun populariti Erdogan agak merosot khususnya selepas daripada peristiwa gempa bumi yang melanda utara Turkiye pada Februari lalu.
Parti-parti pembangkang khususnya menyerang kerajaan Turkiye kerana gagal mengurus pasca bencana terutamanya mangsa-mangsa yang kehilangan tempat tinggal disamping menjadikan isu kos sara hidup serta isu pelarian perang khususnya dari Syria sebagai ‘senjata’ utama untuk mendapat sokongan rakyat pada pilihanraya ini.
Antara aspek penting sokongan rakyat Turkiye kepada mana-mana calon presiden dan gabungan parti ialah kecenderungan kelompok kumpulan Islam yang akan memihak kepada siapa.
Parti Saadat yang merupakan parti Islam terbesar mengambil pendekatan bergabung dengan kumpulan pembangkang bagi menentang Erdogan.
Ini menyebabkan berlakunya konflik dalaman parti sehingga sebahagiannya melakukan protes dengan memberikan sokongan kepada gabungan Erdogan melalui parti baharu yang diasaskan oleh anak almarhum Prof. Nejmuddin Erbakan yang menamakan partinya sebagai parti Refah Baharu, mengambil sempena nama parti Refah yang diharamkan ketika Erbakan memimpinnya satu ketika dahulu.
Dasar Luar Turkiye Era Erdogan dan Pasca Pilihanraya
Antara topik yang menjadi perhatian dalam pilihanraya kali ini ialah dasar luar Turkiye khususnya jika Erdogan mengalami kekalahan.
Adakah ia akan berubah atau bagaimana ianya bakal dilakar?
Dari segi falsafahnya terdapat perbezaan ketara antara Erdogan dan lawannya Kamal Kilicdaroglu.
Erdogan dilihat sangat agresif mahu mengeluarkan Turkiye daripada terus terikat dengan Barat samada dari sudut ekonomi mahupun pertahanan.
Berbeza dengan lawannya yang dilihat akan meneruskan dasar mengikut telunjuk Barat dan akan mengembalikan Turkiye ke belakang sebagaimana era 1970 an dan 80 an.
Manakala dalam konteks hubungan Turkiye dengan Rusia pula, Erdogan dilihat lebih lunak serta merapatkan hubungan dengan Rusia khususnya selepas peristiwa kegagalan rampasan kuasa pada tahun 2016.
Pendekatan Erdogan ini dilihat untuk mengimbangi kuasa Barat dan menjadikan Turkiye bebas dari pengaruh Barat.
Ia lebih menguntungkan Turkiye kerana sebahagian besar daripada wilayah-wilayah di dalam Rusia atau di bawah “naungannya” adalah negara-negara umat Islam dan mempunyai pertalian yang sangat rapat dari sudut agama, kaum, tamadun dan adat bertutur dalam bahasa Turkiye seperti Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan dan Azerbaijan.
Semenjak memegang tampuk pemerintahan Turkiye bermula dari tahun 2002 sehingga sekarang, kerajaan pimpinan Erdogan telah melalui beberapa fasa hubungan luar negara dengan pihak lain.
Bermula dari tahun 2002 sehingga 2011, Turkiye mengambil sikap berbaik dengan semua pihak khususunya hubungan diplomatik dengan negara haram Israel (sehingga 2010) yang sudah sedia terjalin sejak sekian lama dan membuka pintu seluasnya kepada pelawat-pelawat dari negara-negara jiran khususnya Iran, Syria dan negara-negara Arab lain dengan tidak mengenakan visa untuk mengunjungi Turkiye.
Selepas berlakunya Arab Spring pada 2011, Turkiye telah merubah dasar luarnya dengan agresif, menyokong kebangkitan rakyat yang berjaya menjatuhkan kerajaan-kerajaan boneka Barat di negara-negara Arab dan selepas itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Mesir dan Syria sejurus berlakunya kudeta terhadap Presiden Mohammad Mursi oleh Jeneral as-Sisi dan perang Basyar al-Assad terhadap kebangkitan rakyat yang berlanjutan sehingga ke hari ini.
Dalam masa yang sama ia merenggangkan hubungannya dengan Iran yang dilihat menjadi sekutu rapat Syria.
Sikap ini melonjakkan populariti Erdogan di mata umat Arab dan Islam secara umumnya dan dalam masa yang sama tidak merubah pandangan mereka yang menentangnya kerana masih lagi mempunyai hubungan dengan negara haram Israel.
Dalam isu Syria, gerakan Islam mendesak supaya ia diselesaikan secara diplomasi dan bukan dengan kekerasan.
Pada awal 2013, PAS dan Parti Saadat (parti yang diasaskan oleh Prof Najmuddin Erbakan) mengemukakan cadangan untuk menyelesaikan isu Syria dengan cara diplomasi iaitu dengan melibatkan Rusia, Turki dan Iran.
Pimpinan Parti Saadat mengadakan lawatan ke Syria dengan bantuan kerajaan Turki dan Presiden PAS, Tan Sri Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi menyampaikan pelan damai ini kepada bekas Presiden Iran, Mahmud Ahmadinejad tetapi usaha itu terputus di tengah jalan kerana pertembungan sesama kumpulan yang bertelagah dan jalan-jalan yang terhad untuk pergi dengan lebih jauh.
Mutakhir ini Erdogan agak lunak dalam penyelesaian konflik di Syria apabila bersetuju untuk memulihkan hubungan diplomatik dengan Syria yang sedang dalam proses pemulihan hasil usaha daripada Rusia dan Iran.
Kepentingan Turkiye kepada Dunia Islam
Turkiye merupakan antara negara penting Dunia Islam kerana beberapa faktor.
Pertama, kedudukannya yang strategik menghubungkan antara benua Asia dan Eropah serta menjadi pintu kepada negara-negara yang sedang bergolak pada hari ini.
Kedua, sejarah politiknya yang sangat hebat sehingga menjadi pusat pemerintahan khilafah Islam Uthmaniyyah selama ratusan tahun.
Ketiga, tenteranya yang kuat menjadi alat untuk menjaga kepentingan Barat di Timur Tengah melalui keahliannya di dalam NATO.
Keempat, rakyatnya yang rajin, produktif dan tidak mengalah bukan sahaja di dalam Turkiye bahkan di serata dunia khususnya di beberapa buah negara Eropah seperti Jerman yang mempunyai lebih 4 juta bangsa Turki Muslim yang bekerja dan bermastautin di sana.
Justeru itu Barat sama sekali tidak akan mengizinkan kepada Turkiye untuk bangkit kerana kebangkitannya akan mengembalikan kegemilangan tamadun Islam.
Beberapa percubaan pernah dilakukan sebelum ini akan tetapi kesemuanya menemui kegagalan.
Pada tahun 1960, Perdana Menteri Adnan Menderes digulingkan oleh pihak tentera dan akhirnya dihukum bunuh kerana dituduh mahu merubah dasar sekularisme Turkiye.
Pada tahun 1997 Prof. Nejmuddin Erbakan dilantik menjadi Perdana Menteri melalui kerajaan campuran yang hanya bertahan selama setahun dan akhirnya juga digulingkan oleh pihak tentera.
Bukan sahaja rakyat Turkiye bahkan seluruh dunia khususnya Dunia Islam menanti dengan penuh debaran siapakah yang bakal memimpin Turkiye selepas pilihanraya nanti.
Ini kerana kepentingan Turkiye kepada geopolitik dunia khususnya dalam mendepani cabaran semasa politik antarabangsa pada hari ini.
Mudah-mudahan Allah memelihara Turkiye dan rakyatnya serta mengurniakan pemimpin terbaik untuk memacu Turkiye ke arah yang lebih baik.
Malaysia Sejahtera.
YB Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk.