‘Najib Minta Najib’ Sudah Jadi ‘Amanah Hilang Amanah’

‘Najib Minta Najib’ Sudah Jadi ‘Amanah Hilang Amanah’

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, terdapat sebuah klip video tular yang memaparkan presiden Amanah, Mohamad Sabu mengkritik bekas perdana menteri Najib Razak mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Video tersebut dirakam ketika ceramah kempen pilihan raya di mana Mohamad Sabu menerangkan bagaimana Najib, selaku pengerusi lembaga penasihat 1MDB, meminta kebenaran menggunakan dana kerajaan daripada menteri kewangan, yang juga disandang oleh Najib, yang kemudiannya mengangkat permohonan tersebut kepada Perdana Menteri, iaitu Najib.

Tujuan Mohamad Sabu adalah untuk menarik perhatian umum tentang salah guna kuasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional ketika itu yang mengakibatkan ketirisan duit rakyat menjangkau puluhan bilion ringgit.

Mesej Mohamad Sabu mudah dan senang difahami, ditambah pula dengan penyampaian lucu dari seorang pemidato otai yang pakar dalam membakar sentimen rakyat.

Pada waktu itu, Amanah, sebagai parti komponen Pakatan Harapan (PH), disanjung rakyat yang sudah lesu dengan karenah korup dan sombong BN setelah memerintah negara selama lebih 60 tahun. 

Mohamad Sabu, yang pernah ditahan tanpa dibicarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) juga dibilang sebagai veteran politik yang telah banyak berkorban demi menegakkan idealisme-idealisme pro-rakyat yang didukungnya.

Tetapi Amanah hari ini sudah jauh berbeza dari Amanah tahun lampau.

Sebagai anggota kerajaan campuran pimpinan Anwar Ibrahim, Amanah kini sanggup menggadaikan prinsip demi bertaut kepada kuasa.

Dinodai kuasa dan jawatan, Amanah tidak lagi teragak-agak bersekongkol dengan musuh lama, Umno.

Tidak ada segan-silu lagi pemimpin Amanah memanggil Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi “boss” walaupun presiden Umno ini pernah dicaci dan dicemuh pemimpin seperti Mohamad Sabu bak Zionis kejam yang menindas rakyat Palestin.

Baru-baru ini, apabila kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad mengenai pengampunan diraja untuk Najib membangkitkan kemarahan Umno, Mohamad Sabu dan timbalan presidennya, lintang-pukang meminta ampun demi menjaga hati Zahid serta kumpulannya.

Ketika kedua-dua parti berada di pihak berlawanan sebelum PRU tahun lepas, Amanah langsung tidak melepaskan sebarang peluang mengkritik Umno, khasnya Najib dan Zahid serta anggota-anggota “kluster mahkamah” Umno yang lain.

Tapi kini Amanah terkial-terkial memujuk dan “bercium mulut” dengan Umno.

Minggu lepas, Mohamad Sabu, selaku Menteri  Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan pelantikan lima pengerusi badan berkanun di bawah kementerian beliau.

Mereka adalah bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Turut dilantik adalah Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Dr Azman Ismail sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) serta Aminuddin Zulkipli sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Kesemuanya adalah aktivis politik Amanah atau PH, yang sebelum ini kuat menentang sebarang lantikan politik kerana amalan ini dianggap habuan politik kepada penyokong-penyokong tegar parti dan langsung tidak memanfaatkan rakyat.

Apa sudah jadi dengan janji-janji manis Amanah?

Adakah pemimpin-pemimpin parti ini dibuai kerusi empok di Putrajaya sehingga terlupa akan amanah dan tanggungjawab mereka terhadap rakyat?

Adakah Amanah sanggup berbuat apa sahaja demi terus berkuasa, termasuk menggadaikan maruah agama, bangsa dan negara?

Hampir enam bulan sudah Kerajaan Perpaduan berkuasa.

Entah berapa lama lagi kerajaan Anwar dapat bertahan dengan kemarahan rakyat yang sudah membuak-buak.

Dalam tempoh yang singkat ini, hipokrasi parti Amanah semakin menyerlah.

Rata-rata pengundi tidak lagi menyanjung parti Amanah yang dahulunya disegani kerana slogan “Najib Minta Najib” tetapi kini lebih dikenali dengan penghinaan “Amanah Hilang Amanah”.

Malek Abdul Rahim

PAN