Tukar Kerajaan PH Di 3 Negeri, Bawa Pelaburan Halal

Tukar Kerajaan PH Di 3 Negeri, Bawa Pelaburan Halal

Mencermati laporan berita yang disiarkan oleh The New Strait Times dan dipetik oleh Malaysia kini pada 16 Mei 2023 yang bertajuk: 

‘Maybank IB: Sports Toto’s earnings may reduce with change of Selangor, Penang, Negeri Sembilan Govt’ dan ‘Pulangan pelaburan Sports Toto merosot jika tukar kerajaan di 3 negeri- Maybank IB’.

Ia tidak lain dan tidak bukan memberi amaran bahawa jangkaan dari pulangan jangka panjang Maybank Investment melalui pengendali nombor ramalan iaitu Sport Toto boleh jatuh sebanyak 52 peratus.

Perkara ini nampak seperti ianya sesuatu yang negatif kepada pengundi-pengundi di tiga buah negeri yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi seolah-olah ia sesuatu yang buruk bakal berlaku khususnya kaum bukan-Melayu.

Sebaliknya ia adalah berita baik bagi umat Islam dan masyarakat tidak kira bangsa dan agama kerana secara tidak langsung adalah bukti bahawa kerajaan yang sedia ada di tiga buah negeri ini perlu ditukar bagi memberi laluan kepada kerajaan yang baru yang mementingkan kehidupan masyarakat yang baik, harmoni dan mempunyai tatakelola yang menyelamatkan masyarakat dari kesan buruk berjudi.

Dalam Islam, berjudi adalah perbuatan yang diharamkan seperti mana firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 90;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(al-Maidah: 90)

Dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr R.A, Nabi S.A.W bersabda:

إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيَّ ، أَوْ حُرِّمَ الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْكُوبَةُ

“Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atasku, atau diharamkan arak, judi, al-kubah (sejenis permainan yang menggunakan papan, buah dan dadu, juga dikenali sebagai tabal atau nard).”

(Riwayat Abu Daud (3696), Al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (21519), Ahmad (2476) dan Ibn Hibban (5365))

Meskipun judi dianggap sebagai bentuk hiburan bagi sesetengah masyarakat bukan-Islam, ia tidak lari dari risiko dan kesan negatif seperti masalah keberhutangan dan kewangan serta akan terkait isu-isu lain akibat dari budaya berjudi.

Hiburan seperti ini boleh dielakkan dan digantikan dengan hiburan sihat yang lain.

Masyarakat bukan-Islam juga tidak boleh memarahi umat Islam di negara ini kerana ini adalah kewajipan agama yang perlu dipatuhi sama seperti ibadah dan larangan lain dalam Islam.

Jika seluruh masyarakat faham akan tanggungjawab masing-masing maka tidak akan menjadi masalah jika PERIKATAN NASIONAL memenangi Negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri nanti.

Sebagai Institusi kewangan yang dihormati di Malaysia, Maybank Investment perlu memandang serius terhadap andaian yang mereka keluarkan.

Seharusnya sudah sampai masanya mereka meneroka dan meluaskan skop pelaburan mereka kepada yang patuh Syariah yang mana akan menaikkan pengantaraan berasaskan nilai (Value Based intermediation – VBI).

Tidak perlu menakut-nakutkan masyarakat dengan unjuran politik mereka dek kerana 52 peratus pelaburan mereka yang terkait perniagaan nombor ramalan bakal merosot, dan mereka perlu memikirkan cara mendidik masyarakat mengikut acuan tatakelola yang baik disamping mengoptimumkan urusan pelaburan mereka.

Sesungguhnya Islam tidak menolak peningkatan dalam perniagaan dan pelaburan, malah sangat melindungi pihak-pihak yang terlibat.

Rakyat dan pengundi di tiga negeri yang diperintah oleh Pakatan Harapan sudah boleh menanam azam untuk melakukan perubahan demi memastikan anak bangsa dan negara kita bakal diperintah oleh golongan yang taat kepada agama serta memikirkan mengenai masa depan generasi selepas ini.

Ia juga boleh dikatakan sebagai melunaskan tanggungjawab agama dengan memilih PERIKATAN NASIONAL yang diakui oleh rakan dan lawan.

Usah lagi bersekongkol dengan pihak-pihak yang mementingkan keuntungan tanpa mengira larangan dan tegahan dari Allah S.W.T.

Pemuda PAS Selangor menyeru agar Institusi-Institusi kewangan terus memacu pembangunan negara dengan melakukan aktiviti yang membina masyarakat serta menyelamatkan mereka dari perkara yang ditegah agama Islam sebagai agama Persekutuan di Malaysia ini.

Masyarakat juga diingatkan agar terus yakin dengan pengalaman memerintah dan pentadbiran yang baik, beramanah yang telah dibuktikan oleh PERIKATAN NASIONAL di negeri-negeri serta pengalaman kerajaan pusat sebelum ini.

Semoga Allah S.W.T menjauhkan kita daripada segala perkara yang ditegah oleh-Nya dan menjadikan kita daripada orang yang bersungguh-sungguh melakukan ketaatan kepada-Nya. Amin.

ABU UMAIR JAMALUDIN

Ekonomi