Kenapa Anwar Tak Minta Zahid Lepas Jawatan Sehingga Kes Mahkamah Selesai?

Kenapa Anwar Tak Minta Zahid Lepas Jawatan Sehingga Kes Mahkamah Selesai?

Acap kali Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa ucapan kedua-dua mereka di mana-mana program menekankan berhubung isu rasuah dan integriti dalam pentadbiran kerajaan.

PMX yang dianggap cikgu kepada Presiden UMNO berulang kali membuat pendirian bahawa pentadbirannya melawan rasuah dan tidak akan bertolak ansur dengan pelaku pecah amanah, namun ia sering menjadi bahan sindiran orang ramai.

Rakyat tidak melihat keseriusan PMX dalam melawan rasuah apabila beliau sendiri melantik seseorang yang ada 47 pertuduhan kes di mahkamah sebagai orang nombor dua dalam kerajaan campuran.

Apakah rasionalnya seorang yang masih berdepan puluhan pertuduhan di mahkamah diberikan tempat dalam kerajaan, malah diberikan jawatan yang tinggi.

Dimana integriti dan ketelusan yang dilaungkan oleh PMX apabila beliau sendiri dilihat mengambil mudah dengan soal isu rasuah dan salah guna kuasa, adakah kerana terlalu sayangkan anak murid sehingga semua prinsip diletak tepi.

Sebelum bercakap soal rasuah dan salah guna kuasa, lebih baik PMX mencermin dirinya sendiri dengan menilai keputusannya melantik Zahid.

Tidak molek apabila Anwar seringkali bercakap mengenai soal rasuah dan integriti melibatkan pemimpin pembangkang tetapi sebaliknya melantik individu yang ada kes mahkamah sebagai anggota dalam Kabinetnya.

Semalam, Zahid dalam satu program di kementeriannya berkata tidak akan berkompromi dalam isu rasuah dan pecah amanah melibatkan pegawai dan kakitangan kerajaan khususnya dibawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah diterajuinya.

“Dalam hal ini kita semua adalah aset kepada kerajaan, dan kita mewakili rakyat apatah lagi rakyat di luar bandar.

“Jadi jika ada dalam kalangan kita menjadi liabiliti hanya disebabkan prestasi kita ada kaedah untuk mempertingkatkan prestasi, tetapi jika terpalit rasuah dan pecah amanah itu tidak dikompromi.

“Justeru saya seru diri sendiri dan semua jangan pernah terlambung atau tersanjung dek pujian tetapi mesti melakukan penambaikan di kementerian ini,” katanya dipetik laporan media semasa program tersebut.

Kenyataan tersebut dilihat agak kontra dengan apa yang berlaku apabila Anwar boleh berkompromi dengan Zahid yang sedang berdepan kes mahkamah dengan melantiknya menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Mengapakah begitu istimewa kompromi antara Anwar dan Zahid ini?

Jika Anwar benar-benar seorang berintegriti, mengapa beliau tidak meminta Zahid melepaskan jawatannya sehingga selesai kes mahkamah dihadapinya?

Bukannya apa, sejak Zahid dapat menjadi TPM, rakyat melihat pasportnya sudah dikembalikan secara kekal dan terbaharu memohon untuk membuang 47 kes pertuduhan dihadapinya di mahkamah.

Nampaknya keistimewaan jawatan tersebut seakan juga memberi ruang kepadanya untuk melepaskan diri daripada pertuduhan yang sedang dihadapi, apakah sebenarnya yang sedang berlaku dalam kerajaan campuran ini?

Kes dihadapi Zahid ini merupakan isu kepentingan awam dan rakyat mahu mengetahui sama ada beliau bersalah atau tidak, sepatutnya kes tersebut berjalan dengan cepat bagi menamatkan noktah kepada segala persoalan timbul.

Bagaimanapun, selepas beberapa tahun berlangsung perbicaraan tetapi sehingga hari ini tidak selesai dan keputusan berhubung 47 pertuduhan dihadapinya juga belum diketahui.

Oleh sebab itu, Anwar sepatutnya merehatkan atau meminta Zahid untuk melepaskan jawatannya sementara menunggu keputusan perbicaraan mahkamah dihadapinya.

Malah, seluruh dunia pastinya terkejut melihat bagaimana Anwar yang sering bercakap mengenai soal isu rasuah dan integriti tetapi pada masa sama melantik seorang yang memiliki 47 kes rasuah dalam Kabinetnya.

Anwar sepatutnya menghentikan retorik dengan berkata kerajaan campurannya melawan rasuah kerana perbuatan adalah lebih baik daripada hanya berkata-kata.

Kata-kata retorik Anwar sudah tidak laku lagi pada zaman ini kerana rakyat masih menantikan janji harga minyak murah, pendidikan percuma, tol percuma dan pelbagai lagi janji yang sehingga hari ini gagal ditunaikan mereka.

Zaman ini tidak sama ketika Anwar menjadi pembangkang dimana rakyat mudah ditipu dan dimanipulasi dengan janji manis dan retorik politik yang tidak masuk akal, zaman ini rakyat mahu melihat satu tindakan.

Tindakan itu adalah dengan menunaikan semua janji yang mereka buat sebelum ini.

Politik