Tribut Buat Mael XPDC: Insan Berbakat Yang Meninggalkan Seribu Pengajaran Kepada Insan Lain

Tribut Buat Mael XPDC: Insan Berbakat Yang Meninggalkan Seribu Pengajaran Kepada Insan Lain

Empat lima hari, hari dunia seni dikejutkan dengan kematian seorang anak seni, Syed Ismail Syed Ibrahim yang lebih dikenali sebagai Mael XPDC.

Allahyarham merupakan vokalis kumpulan metal tersohor tanahair dalam dekad 90an dengan keunikan vokal nya ,dibantu dengan lirik-lirik puitis allahyarham J.S Kevin atau nama sebenarnya Zul Adnan yang juga telah meninggal dunia dalam usia yang masih relatif muda.

Kumpulan XPDC yang sebelum ini dikenali sebagai kumpulan Tragedy ditubuhkan pada tahun 1990 dan mula mengeluarkan album pertama mereka bertajuk ” Darjah satu”.

Kumpulan metal rock ini lebih dikenali dengan keaktifan mereka dalam persembahan funfair dalam dekad 90an dan awal milinea.

Merajai carta hati peminat seni dengan lagu-lagu berorientasikan ketuhanan dan kemanusiaan seperti “Semangat Yang Hilang”, “Hijau Bumi Tuhan”, “Titian Perjalanan”, “Sedekah” dan puluhan lagi lagu popular dan malar segar.

XPDC tak boleh dipisahkan dengan Arwah Mael dan juga JS Kevin, lebih tiga dekad menghiburkan peminat malah kecenderungan kumpulan ini dalam kerja-kerja kebajikan dan dakwah dalam tempoh dua dasawarsa terakhir ini terutama dengan penghijrahan ruhani Zuar, pemain gitar bass.

Antara lirik lagu yang sangat inspiratif dan juga patuh syariah ialah lirik lagu “Sedekah”.

Mael dengan nada melankolik yang khas dan tersendiri seolah “bercerita” tentang sketsa kehidupan, petualangan sebuah pentas kehidupan yang sangat singkat.

Jika malam aku pergi

Mendamaikan keluhan

Dan sejernih embun pagi

Dari hujung cahaya

Apa ada lagi sentuhan?

Apa perlu aku lakukan?

Gelora nasibku

Di tengah lautan menjujung kasih

Dayu angin berbisik

Seolah kau berkata

Dari sebuah pandangan

Capai bahasa kita

Ada lagi yang kau tinggalkan

Ada lagi yang aku simpan

Kenangan berlalu mana mungkin lupakan

Aduhai saudara

Dayu angin berbisik

Seolah kau berkata

Dari sebuah pandangan

Capai bahasa kita

Ada lagi yang kau tinggalkan

Ada lagi yang aku simpan

Kenangan berlalu mana mungkin lupakan

Aduhai saudara

Menurut sesepuh kumpulan XPDC iaitu Azuar Mat Tasi atau lebih dikenali sebagai Zuar XPDC yang berkawan rapat dengan arwah sejak zaman bujang dan hidup serumah dengan beliau, antara amalan Mael yang ketara ialah suka bersedekah.

“Jangan dilihat kepada penampilan dan cara arwah.. kadang nampak kasar tetapi sebenarnya Mael sangat baik,” ujar pemain Bass XPDC yang juga Duta Kompleks Tahfiz an Nur Besut sejak ditubuhkan pada 2018.

Zuar sebagai ketua dalam kumpulan XPDC menjadi Duta Kompleks Tahfiz an Nur Setiu lebih awal lagi, iaitu sejak tahun 2013.

Beliau menggerakkan kempen mengutip dana untuk pembinaan Tahfiz an Nur di Setiu dan juga kompleks Tahfiz an Nur Besut.

Mael antara sahabat rapat Zuar yang tak berkira dan tak lokek dalam menyumbang, termasuk turut membeli lot-lot wakaf untuk pembinaan Masjid Siti Khadijah di Kompleks Tahfiz an Nur Besut.

Saya lelah menjawab pertanyaan ramai orang adakah benar arwah Mael XPDC turut menyumbang kepada Tahfiz an Nur.

Selain Mael , seorang lagi vokalis XPDC, Ali juga pernah hadir ke kompleks an Nur Besut semasa awal pembinaannya dahulu.

Kini Kompleks Tahfiz an Nur Besut berkembang pesat dengan rangkaian pendidikannya merangkumi pra-tahfiz, sekolah rendah tahfiz, tahfiz sepenuh masa dan juga pondok pengajian warga emas.

Kini yang masih dalam pembinaan ialah bangunan kolej al Quran an Nur. (masih memerlukan sumbangan awam untuk disiapkan bangunan utama bernilai 3.6 juta ringgit).

Saya mengenali Ali Dan Izo (anggota XPDC) semasa bersama dalam misi bantuan kemanusiaan Syria dan mereka juga sangat cenderung dalam kerja kebajikan dan dakwah.

Perpecahan dalam menggalang nama besar XPDC namun tidak memisahkan mereka dalam gerakerja dakwah dan kebajikan.

Zuar sering melawat Ali, saat Ali diuji kesihatannya oleh Allah.

Seingat saya kesihatan Mael agak merosot dalam empat dan lima tahun ini, beliau sentiasa dalam senarai untuk dilawati oleh LESTARI apabila kami menyantuni anak seni.

Saudara Kamarudin Kerpol dan Zuar antara yang ditugaskan untuk menziarahi arwah Mael di Muar Johor.

Satu sisi lain yang kurang diketahui oleh peminat seni negara ini ialah berkaitan gerakerja arwah Mael dan kawan-kawannya dalam misi dakwah dan kebajikan.

Zuar antara paling obses dalam kerja kebajikan dan dakwah, malah berjaya mempengaruhi Mael untuk menyertai misi dakwah ke belantara, menyantuni orang asal.

Mereka pernah berkolaborasi dengan NGO dakwah orang asal, masuk ke belantara Pahang dan Perak serta pernah mengislamkan hampir 40 orang asal.

Orang asal negara ini terutama anak muda mereka sangat meminati genre muzik Rock, sejauh mana pun penempatan kaum asal nama dan lagu XPDC tetap dihafal dimulut.

Sebab itulah dalam misi dakwah orang asal aku suka mengajak Zuar untuk ikut serta.

Balai rewang akan meriah, bahkan mereka menikmati setiap lagu dan irama yang dilantunkan oleh Zuar.

Menurut Zuar, arwah Mael menikmati misi dakwah kerana naluri Mael memang pemurah dan suka membantu orang .

Mael pernah sepentas dengan ikon dakwah anak muda seperti Ustaz Azhar Idrus, Bob Lokman, juga pernah bersama Ali Terra Rossa, Mel Wings dan lain-lain.

Arwah Mael juga pernah beberapa kali berkongsi pentas dakwah dengan asatizah lain, berkongsi tentang nilai kehidupan, meniti titian perjalanan kehidupan, apa yang beliau risaukan tentang kehidupan.

Karektor suka membahagiakan orang lain, menghormati orang lain, juga tak suka bermegah dengan nama besar beliau sebagai “legend” dalam bidang seni kerana mempunyai vokal yang tersendiri dan unik.

Syed Ismail a.k.a Mael XPDC akan tetap dalam kenangan kolektif kita semua.

Lagu- lagu yang dinyanyikan dengan lirik berunsur kemanusiaan dan ketuhanan akan terus dilantunkan, generasi yang lahir dalam dekad 70an dan 80an akan mengingati nama besar ini kerana lagu-lagu nyanyian allahyarham bukan sekadar penyedap halwa telinga malah menyuntik motivasi dan semangat.

Sering juga lagu-lagu ini berkumandang dalam program parti Islam untuk merengkuh sokongan anak muda, berkumandang dalam program NGO-NGO dakwah serta membugar semangat untuk terus berjuang.

Antara lagu motivasi terbaik ialah lagu “Semangat Yang Hilang”

Jika engkau seorang

Juang hingga titisan

Rempuh tak berharapan

Nanti aku disana

Diufuk pemikiran

Lalu menghayatinya

Di dalam kubur manapun

Jasad aku ditanam

Aku akulah jua

Kita laksanakan

Mata hati yang damai

Disana kejujuran

Semarak impian

Segunung harap dipulang

Usah diragukan

Keupayaan diri

Api yang membara

Mengikutkan kata apa

Jawapannya disini

Semangat kita hilang

Semangat yang hilang

Kita cari pulang

Mael berdakwah pada sasarannya, anak muda yang jauh daripada agama, juga mendekati orang asal di kawasan pedalaman dan belantara.

Sedekah dan wakaf beliau pada institusi pendidikan Islam akan terus menjadi kantung pahala yang berpanjangan.

Hidup ini sangat singkat untuk kita bermalasan atau tak peduli ummah, jangan kita memandang penampilan zahir manusia dan kita masih diberi peluang bernafas untuk terus membaiki amalan dan menumpuk kantong pahala sebagai bekalan ke negeri abadi.

Al-Fatihah.

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Kolumnis