Akar umbi UMNO yang masih kekal bersama UMNO tidak ralat apabila Presiden mereka menjadi mesra DAP.
Mereka juga tidak kisah apabila Ahmad Maslan meminta ahli UMNO supaya mengundi DAP.
Kata mereka, PAS pernah bersama DAP, kenapa UMNO tak boleh?
Mereka tidak mahu belajar daripada pengalaman PAS dengan DAP yang bertelunjuk lurus tetapi kelingking berkait.
Mereka tidak peduli sikap DAP yang lebih fokus terhadap kepentingan kaum tertentu yang dalam terang lagi bersuluh.
Bukan mereka tidak sedar siapa di sebalik isu kalimah Allah dan usaha memurtadkan kanak-kanak Islam oleh ibu bapa yang non-muslim.
Mereka hanya tidak mahu mengambil tahu dan berpura-pura tidak tahu.
Kalau justifikasi mereka PAS juga pernah bersama DAP, maka biarkanlah.
Cuma tunggulah masa UMNO juga akan merasai apa yang PAS pernah alami.
Ketika itu baru UMNO sedar dan memaki hamun DAP berguni-guni.
Apabila saat itu berlaku, ke mana arah destinasi setelah terbakar bermain api?
Apakah semua yang dinyatakan itu hanya sebuah ilusi? Tidak.
Hanya masa yang akan menentukan.
Sudah berputik bunga-bunga perpecahan.
Ada pemimpin UMNO yang kutuk DAP dan ada pemimpin DAP yang kutuk UMNO.
Pembahagian kerusi dalam PRN di 6 buah negeri sudah ada bibit-bibit PH akan makan kenduri.
Agak-agaknya berapa kerat ahli UMNO akan mengundi DAP dan berapa kerat pula ahli DAP akan undi UMNO.
Siapa lebih cerdik bersilap mata; tepuk dada tanyalah selera.
Bukan sukar pun untuk membaca sentimen yang ada.
Daripada 6 negeri yang akan melangsungkan PRN nanti, berapa negerikah agaknya UMNO akan menang dominan untuk meraih kerusi MB?
Semua ini rakyat boleh membaca daripada senario politik mudah.
Sebelum meletak pangkah di petak yang salah.
Kesimpulannya, seperti yang dikatakan awal tadi, golongan yang pro-Presiden tetap mempertahankan pencabulan Zahid Hamidi terhadap dasar ‘No Anwar, No DAP’.
Naratif akan menjadi berbeza di hujung plotnya.
Metafora dan hiperbola hanya indah bagi UMNO di pertengahan cerita.
Ruang masa bagi Zahid bersandiwara; menunjukkan ‘bravo’ atau menggali kuburnya.
BayangDiAir