PRN: 10 Faktor Yang Membolehkan UMNO Tawan Terengganu

PRN: 10 Faktor Yang Membolehkan UMNO Tawan Terengganu

DUN Terengganu dijangka bubar pada 28hb Jun 2023.

PRN dijangka berlangsung awal Ogos.

UMNO telah menguar-uarkan projek Gelombang Biru untuk menjadikan kerajaan PAS sebagai kerajaan sepenggal.

Mereka nekad walaupun sedar PAS/PN menang dengan majoriti besar di 31 daripada 32 DUN ketika PRU15.

UMNO yang dipimpin oleh DS Ahmad Said nampaknya tidak mudah mengalah dengan senario itu.

Justeru, PAS jangan memandang enteng dengan kesungguhan ‘fighter’ yang merupakan mantan MB ini.

Kalau tersilap langkah, PAS akan tersungkur dan UMNO kembali ke Wisma Darul Iman.

Sepuluh faktor berikut, jika dibiarkan berlaku, membolehkan UMNO melakukan ‘upset’.

1. PAS ‘overconfident’.

Sikap ini banyak menjerat perjuangan manusia.

Keyakinan yang melampau akan menyebabkan manusia enggan berkerja keras dan mengambil mudah perkara-perkara yang penting seperti membuat culaan, ziarah, munajat dan mungkin ada yang mengambil keputusan tidak keluar mengundi kerana merasakan PAS tetap menang tanpa satu undinya.

2. Pengundi luar tidak pulang mengundi.

Masalah ini akan timbul kerana melibatkan belanja, kerja dan masa pengundi luar atau perantau.

Ramai perantau yang bekerja di Lembah Kelang, Johor dan di Utara.

Perbelanjaan pulang ke kampung agak besar, ditambah dengan desakan kerja dan kekangan masa.

Justeru, mereka mungkin sahaja menjadikan faktor tersebut untuk menjadi pemerhati dari jauh.

PAS/PN akan kehilangan banyak undi daripada kelompok ini jika mereka tidak pulang mengundi.

3. Boikot dalaman.

‘Silent protest’ oleh ahli-ahli dan pemimpin bawahan yang rasa terpinggir, merajuk atau kecewa atas sesuatu sebab sedikit sebanyak boleh menjejaskan pungutan undi kerana mereka juga ada keluarga dan pengikut .

Rasa tidak puas hati dengan penampilan dan perkhidmatan wakil rakyat juga boleh menyebabkan berlaku boikot yang membuka ruang untuk kecundang.

4. Tidak memanfaatkan media sosial untuk berkempen.

Salah satu faktor kejayaan besar PAS/PN pada PRU15 ialah dominasi media sosial.

UMNO/PH sudah maklum bahawa pada PRU15 mereka gagal menjuarai sektor media ini.

Pastinya kali ini mereka akan melakukan sesuatu sama ada mengehadkan capaian netizen atau mereka berbelanja besar demi mendominasinya.

Justeru, PAS/PN boleh kecundang jika lalai dalam aspek ini.

5. Tidak cukup jentera, pengorbanan tenaga dan dana daripada ahli.

Apabila berada dalam zon selesa, tidak mustahil ahli dan penyokong tidak lagi mahu berkorban tenaga, masa dan harta.

Mereka merasakan PAS dan pemimpin mereka sudah banyak sumber dan dana kerana sudah berpangkat dan berjawatan dalam kerajaan.

6. Meminggirkan peranan BERSATU dan pengundi non-muslim yang tidak ekstrem

UMNO akan menghirup sedikit tonik yang disumbangkan oleh PKR, PAN dan DAP.

Walaupun DAP tidak bertanding, namun tidak sedikit pengundi non-muslim yang bersikap seperti talam dua muka.

Justeru, PAS juga perlu memanfaatkan kerjasama dan kehadiran ahli-ahli BERSATU serta mendekati pengundi-pengundi non-muslim yang tidak ekstrem demi mengimbangi pihak musuh.

7. Pengundi atas pagar berjaya dirampas oleh UMNO.

Pengundi atas pagar sentiasa menjadi penentu yang signifikan terutama bagi zon majoriti yang marginal.

Pengundi atas pagar biasanya kurang mengambil berat hal politik.

Sekiranya UMNO mengambil peluang atas kelalaian PAS dengan menyebar fitnah dan propaganda secara agresif, tidak mustahil mereka akan beralih arah dengan mengundi UMNO/PH.

8. Manifesto yang gagal memikat hati.

Awal-awal lagi sudah ada usaha UMNO menciplak manifesto PAS iaitu tawaran pinjaman membeli motosikal tanpa riba yang telah diumumkan oleh PAS di satu ceramahnya di Kemaman.

Maka tidak mustahil UMNO akan menawarkan manifesto ‘ala bulan dan bintang’ seperti yang pernah dijanjikan PH ketika menghadapi PRU14.

9. Mengekalkan penyandang yang kurang kompeten.

Rakyat mahukan wakil yang dekat di hati rakyat.

Sekiranya ada wakil rakyat PAS dipandang sombong, susah berkira bicara dan susah nampak muka, pasti memberi masalah kepada PAS.

Elemen-elemen itu amat dicakna oleh rakyat dalam menilai kompetensi wakil rakyat mereka.

10. Terlepas pandang isu-isu yang dimainkan oleh pembangkang.

Selain berceramah, UMNO dan PH akan masuk ke kampung-kampung dengan membawa isu-isu yang boleh di‘spin’ atau disensasikan.

Bahan-bahan yang berupa fitnah dan manipulasi akan mudah membangkitkan kemarahan dan ketidakpuashatian rakyat.

Justeru, PAS perlu berwaspada dan memantau setiap program UMNO/PH di kampung-kampung agar dapat membuat penjelasan atas isu atau fitnah yang dimainkan.

Adapun 10 faktor di atas adalah faktor PAS.

Tulisan ini tidak mahu membicarakan faktor UMNO/PH.

Maka, awaslah setiap pendokong dan penyokong yang ingin melihat perjuangan dan pentadbiran Islam terus kekal di Darul Iman.

Tiada seorang yang patut terpinggir dari perjuangan Teguh Pertahan; melainkan kalian lebih rela melihat bendera UMNO/DAP berkongsi pentas menjadi petualang.

Salam Muhammad

Terengganu