Antara Politik Mengkarung Dan Polemik Mengarut

Antara Politik Mengkarung Dan Polemik Mengarut

Kebelakangan ini, “mengkarung politik” telah menjadi sebutan popular di media massa serta hebat dibincangkan di Internet.

Ini susulan Perhimpunan Agung Umno (PAU) minggu lepas, di mana presiden parti Datuk Seri Zahid Hamidi telah mendakwa bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah “mengkarung politik” ataupun political chameleon.

Hakikatnya, parti yang sepatutnya diberikan gelaran tersebut adalah Umno, bukannya PN.

Dalam meneliti polemik ini, adalah penting bagi kita untuk melihat kepada fakta, bukan sahaja mendengar dakwaan tukang karut seperti Zahid.

Fakta dan bukti jelas menunjukkan Umno adalah parti yang berubah-ubah pendirian, berselindung di sebalik kepentingan politik sempit, dan sanggup memperdagangkan prinsip agama dan Perlembagaan Persekutuan demi kepentingan politik mereka.

Pertama sekali, Umno telah menghalalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), termasuk DAP setelah PRU15, musuh ketat mereka sebelum ini.

Sebelum PRU15, Zahid dengan lantang melaungkan slogan ‘no DAP, no Anwar’.

Namun, kita sekarang telah menyaksikan bagaimana Umno bekerjasama dengan kedua-dua pihak tersebut.

Ini menunjukkan bahawa mereka sendiri telah melanggar janji dan tidak setia kepada prinsip yang mereka sendiri ketengahkan dahulu.

Jelaslah bahawa Umno, dalam hal ini, memperlihatkan ciri-ciri political chameleon yang mereka sendiri tuduh parti lain.

Hal ini berbeza dengan pendirian PN yang kekal komited dalam memperjuangkan kedaulatan Islam dan Melayu berdasarkan kepada keluhuran Perlembagaan serta perpaduan ummah.

Parti-parti PN seperti PAS, Bersatu dan Gerakan tetap teguh dalam pendekatan politik yang aman, matang, dan sejahtera, serta tegas menolak sebarang kompromi yang melanggar prinsip agama dan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, di dalam isu penggunaan kalimah Allah, Umno telah menunjukkan ketidakjujuran dalam mempertahankan agama.

Mereka yang dahulu menegaskan kepentingan dan kesucian kalimah tersebut kini terlibat dalam permainan politik dan sanggup mengubah pendirian demi menarik undi bukan Melayu menjelang pilihan raya negeri (PRN).

Ini adalah bukti yang jelas bahawa Umno bukanlah parti yang benar-benar memperjuangkan dan melindungi Islam sebagaimana yang mereka dakwa.

PN telah membawa agenda perpaduan ummah yang berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai satu formula ampuh untuk mencapai kestabilan politik dan pentadbiran negara.

Kestabilan politik dan pemerintahan adalah penting bagi negara kita, terutamanya apabila majoriti rakyat Malaysia adalah Melayu.

Melalui perpaduan ummah dan integrasi nasional, kestabilan politik dapat terjaga dengan baik dan hak-hak semua kaum dapat dijaga secara adil.

Pasca PRU15, Umno telah menunjukkan ia sanggup menggadaikan prinsip demi kelangsungan politik.

Bukankah ini “politik mengkarung” seperti yang di hina oleh Zahid sendiri?

Adakah ini “politik mengkarung” atau “politik mengarut” ala-Zahid?

Rakyat Malaysia mempunyai kematangan untuk menilai rekod dan prinsip sesebuah parti atau gagasan politik di negara ini.

Mereka tidak akan menelan segala propaganda politik atau tuduhan tanpa asas.

Lebih-lebih lagi, jika tuduhan tersebut datang dari seorang pemimpin yang mempunyai rekod prestasi serta integriti yang boleh dipertikaikan.

Abd Rahim Ghani
Kuala Kedah

UMNO