Dari Dato’ Maulizan Bujang, UMNO Johor

Dari Dato’ Maulizan Bujang, UMNO Johor

Kenapa perlu buat rayuan jika proses penggantungan dan pemecatan dibuat tidak mengikut procedur?

Saya tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Displin parti sebelum digantung.

Saya menjadi ahli UMNO dan aktif semenjak umur saya 17 tahun dan amat menyayangi parti UMNO yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

Saya tidak pernah khianat atau sabotaj parti malah bertungkus lumus nak memenangkan parti dalam setiap PRK, PRU dan PRN.

Kebanyakan nama besar yang dipecat dan digantung adalah kerana tidak sehaluan dengan presiden dan pemecatan serta penggantungan adalah untuk membolehkan Presiden menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti dan menggunakan PAU yang di orkestra untuk menyokong hasrat Presiden.

Isu pokok yang melanda UMNO masa kini ialah soal kepimpinan yang ditolak rakyat dan majoriti ahli UMNO serta orang Melayu ekoran keputusan keputusan yang dibuat tidak selari dengan kehendak mereka.

Kepimpinan UMNO juga dilihat amat gembira dengan terus menjadikan UMNO sebagai penumpang dalam kerajaan sampai bila-bila apabila presiden berkata UMNO sokong kerajaan yang adanya DAP dan PKR yang lebih dominan dalam kerajaan.

Sebilangan besar orang Melayu juga tidak boleh menerima kehadiran DAP yang masih angkuh apabila tidak mahu memohon maaf kepada orang Melayu atas apa yang dilakukan sepanjang lebih 60 tahun terhadap orang Melayu terutamanya peristiwa 13 Mei 1969 apatah lagi perjuangan menuntut hak kesamarataan yang masih didokong hingga sekarang.

Saranan Pemuda UMNO juga ditolak mentah-mentah oleh Presiden kerana Presiden seolah-olah menjadi jurucakap DAP.

UMNO juga menjadi semakin lemah apabila orang Melayu mula merasakan bahawa UMNO kehilangan identiti sebagai parti yang asas perjuangannya ialah untuk membela agama, bangsa dan negara.

Orang Melayu mulai rasakan bahawa mereka mempunyai alternatif lain dalam soal memartabatkan perjuangan bangsa dan agama.

UMNO dibawah kepimpinan sekarang tidak lagi sama dengan UMNO yang dahulu.

Keramatnya yang sering diperkatakan dahulu semakin pudar.

Amat menyedihkan. Ubahlah sebelum semakin rebah.

Datuk Maulizan Bujang

UMNO