Bahtera UMNO Bakal Tenggelam, Selamat Tinggal (Siri 1)

Bahtera UMNO Bakal Tenggelam, Selamat Tinggal (Siri 1)

Semenjak dua menjak ini, makin ramai yang mengambil keputusan untuk meninggalkan UMNO.

Persoalannya kenapa?

Ada yang jawab kerana UMNO berkawan dengan DAP.

Ada yang kata kerana Zahid Presiden UMNO.

Ada juga yang kata kerana ramai pemimpin dipecat daripada UMNO.

Jawapan yang lebih tepat adalah kerana UMNO sedang berada pada zaman kejatuhan dan keruntuhannya.

Jika kita membaca faktor kejatuhan tamadun yang diukirkan oleh Ibnu Khaldun, kita akan dapati UMNO sedang berada pada fasa kejatuhan dan menuju ke arah keruntuhan.

Pertama, hilangnya semangat ‘asobiyah, yakni semangat kekitaan, esprit de corps, social solidarity dan group feeling dalam kalangan ahli UMNO kepada UMNO dan kepimpinannya.

Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini telah membuktikan kelunturan semangat kekitaan dalam UMNO apabila kehadiran ahli UMNO amat mendukacitakan.

Mengaku sebagai ahli UMNO adalah suatu aib terbesar abad ini.

Kemunculan nyata kem-kem dalam UMNO sekaligus menepati faktor kejatuhan tamadun.

Setiap kumpulan mempunyai kepentingan dan ideologi tersendiri yang berbeza dengan kelompok-kelompok yang lain.

Kepentingan dan ideologi tersebut bukan sekadar berbeza, tetapi dalam banyak keadaan bertentangan antara satu sama lain.

Percanggahan kepentingan dan ideologi ini akan mencetuskan konflik dan membawa kepada peperangan.

Ternyata telah berlaku peperangan dan perpecahan.

Kedua, berlakunya kezaliman dan ketidakadilan dalam UMNO.

Menurut Ibnu Khaldun berleluasanya kezaliman dan ketidakadilan adalah penyumbang paling utama kepada keruntuhan sesebuah peradaban.

Kezaliman menurut Ibn Khaldun dikategorikan sebagai sebarang bentuk:

[1] Penyalahgunaan kuasa.

[2] Penyalahgunaan harta orang lain.

[3] Menafikan hak orang lain.

[4] Menekankan dakwaan yang tidak benar ke atas orang yang tidak bersalah.

Kesemua kategori ini telah pun dilengkapi oleh UMNO untuk menuju keruntuhannya.

Satu, keputusan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dibuat untuk kekalkan penguasaan politik individu.

Dua, keputusan mahkamah dan pertuduhan di mahkamah berkaitan penyalahgunaan wang rakyat terhadap pemimpin UMNO.

Ketiga, menafikan hak-hak ahli bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, termasuk menafikan hak ahli untuk berhujah dan mempertahankan diri daripada dakwaan dan tuduhan sehingga mereka digantung dan dipecat.

Keempat, kesemua kepimpinan UMNO yang digantung dan dipecat tidak tahu sebab dan tidak dilakukan proses yang adil bagi penggantungan dan pemecatan mereka.

Cukup dua faktor kelunturan semangat kekitaan dan kezaliman yang berlaku ini telah membuka mata ramai ahli UMNO dan kepimpinan UMNO mengungkapkan Selamat Tinggal UMNO daripada terus memilih kekal dan tenggelam bersama bahtera UMNO itu.

Itu belum kita bicarakan tentang kewibawaan UMNO dalam pakatan politik, yang dahulunya menjadi tuan catur kini menjadi buah catur orang.

Sepertinya PRN ini menjadi medan pengebumian besar-besaran buat UMNO.

Kepada ahli UMNO yang masih bersama UMNO, segera ambil keputusan besar sebelum anda turut tenggelam dilautan politik negara dan dikenang sekadar sejarah lama.

Ahmad Fahmi Mokhtar

UMNO