Tiada Siapa Yang Tinggal Untuk Mempertahankan Malaysia Sekular
Apa yang diperlukan, sudah tentu, adalah usaha bersepadu untuk menghadapi naratif politik Islamis seperti Hadi, tetapi itu tidak mungkin berlaku kerana hanya sebilangan kecil sahaja yang sanggup mencabar mereka sama ada dari segi politik atau teologi.
Baru-baru ini, seorang pengulas yang dihormati merayu kepada bukan Melayu supaya tidak menyerang Hadi tetapi hendaklah diserahkan kepada cerdik pandai Melayu-Islam untuk menyerang beliau.
Tetapi Hadi semakin lantang serta membuat kenyataan yang paling keterlaluan terhadap orang bukan Melayu dan bukan Islam selama bertahun-tahun; dengan beberapa pengecualian, kebanyakan cendekiawan dan ahli akademik Islam sama ada mendiamkan diri atau memperkecilkan kenyataannya.
Malah, ahli akademik Melayu-Islam adalah yang paling kurang mencabar Hadi dan golongan Islamis.
Ramai yang tidak mempunyai kapasiti intelek atau kelayakan untuk menghadapi beliau; yang lain hanya tiada keberanian.
Kebanyakan mereka, saya mengesyaki, secara senyap bersimpati.
Segelintir yang berusaha untuk melibatkan golongan Islamis dalam perbincangan yang rasional mendapati diri mereka terpinggir dengan cepat.
Begitu juga ahli politik kita.
Ramai yang sudah melanggan matlamat umum tentang politik Islam.
Mereka semua faham bahawa gelanggang telah beralih.
Tiada apa yang boleh dicapai dari segi politik dengan mempertahankan identiti pelbagai budaya Malaysia sekular.
Perbincangan di kalangan mereka sekarang bukan mengenai sama ada Malaysia harus menjadi sebuah negara Islam atau tidak tetapi mengenai siapa yang patut memimpin negara Islam yang bakal muncul.
Walau apa pun, terlalu ramai ahli politik kita yang benar-benar malas, tidak adil, mementingkan diri sendiri dan korup.
Apa yang mereka mahukan hanyalah kuasa, kedudukan, dan keistimewaan; mereka tidak mempunyai komitmen terhadap kesejahteraan negara.
Keruntuhan kepimpinan ini telah mewujudkan kekosongan politik yang kini ttelah diisi oleh Islamis.
Parti-parti politik bukan Melayu juga menyedari sepenuhnya apa yang sedang berlaku.
Mereka mempunyai banyak peluang untuk melibatkan diri secara serius dengan parti Melayu-Islam tetapi mereka secara konsisten gagal mempertahankan asas sekular negara kita.
Apabila Dr. Mahathir berjaya mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam pada persidangan perwakilan tahunan Gerakan pada tahun 2001 – hampir beberapa hari selepas serangan 9/11 – beliau berbuat demikian dengan persetujuan dan sokongan pemimpin Gerakan, MCA dan MIC.
Pada masa itu, hanya DAP yang bersungguh-sungguh berjuang mempertahankan asas sekular Malaysia.
Tetapi itu sebelum parti itu merasai kuasa persekutuan.
Sejak 2018 (apabila mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan buat kali pertama) mereka telah berundur daripada banyak isu yang pernah mereka perjuangkan.
Sebagai contoh, dua kali dalam beberapa bulan kebelakangan ini, isu RUU355[1] – yang dilihat ramai sebagai langkah besar ke hadapan dalam evolusi negara Islam – telah dibangkitkan di parlimen oleh menteri hal ehwal agama; DAP tidak berkata apa-apa.
DAP dengan bijak memangsa ketakutan bukan Melayu tentang gelombang hijau dan menampilkan dirinya sebagai benteng menentangnya tetapi seperti MCA sebelum mereka, mereka juga telah menyesuaikan diri dengan politik Islam.
Apa pun, sikap bermuka-muka ahli politik kita adalah jenayah.
Sebagai pertukaran untuk kuasa, kedudukan dan keistimewaan sementara, mereka sanggup berkompromi, malah meninggalkan, prinsip asas dan suci yang meletak status Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi perlembagaan pelbagai budaya yang sekular.
Apakah harapan yang ada untuk masa depan Malaysia sebagai sebuah negara sekular apabila pemimpin politik bukan Islam pun tidak mahu memperjuangkannya?
Dennis Ignatius
Tulisan ini adalah pandangan pengarang yang bukan Islam dan tidak ada kena mengena dengan Media Islam.
Mengapa Hadi Menjadi Wajah Masa Depan Malaysia: Bahagian 1
Mengapa Hadi Menjadi Wajah Masa Depan Malaysia: Bahagian 2
Mengapa Hadi Menjadi Wajah Masa Depan Malaysia: Bahagian 3
[1] pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965