Tamat Lesen Judi: Kerajaan PH-BN Berani Ikut?

Tamat Lesen Judi: Kerajaan PH-BN Berani Ikut?

Setiap negeri yang PAS perintah, lesen judi pasti akan ditamatkan. 

● PAS perintah Kelantan 1990 – Lesen judi ditamatkan.

● PAS perintah Terengganu 1999 – Lesen judi ditamatkan.

● PAS perintah Kedah 2022 – Lesen judi ditamatkan.

● PAS perintah Perlis 2023 – Lesen judi ditamatkan.

Bukan sikit hasil cukai judi yang diterima negeri sebelum itu. Namun PAS mengutamakan keberkatan dalam pentadbiran. Penutupan pintu kerosakan bakal membuka pintu keberkatan dan rezeki. Itulah keyakinan PAS. Tahniah. 

Judi terbukti merosakkan sistem sosial masyarakat dalam negara kita. Berapa banyak keluarga telah rosak akibat kesan ketagihan judi. Pengabaian keluarga, berhutang, serta terbabit dengan jenayah mencuri dan sebagainya. Selain itu pasangan terlibat dengan hutang ah long akibat ketagihan judi juga semakin meningkat. Ia akhirnya membawa kepada perceraian. Mudahnya, tiada yang baik dengan judi. 

Selain itu ketagihan judi juga diklasifikasikan sebagai di bawah International Classification of Disease 10 (ICD 10) sebagai permasalahan kesihatan mental. Mereka yang sudah ketagih judi, sanggup berbuat apa sahaja untuk terus berjudi. 

Persoalan yang timbul adalah kenapa Kerajaan PH-BN dan Kerajaan Pusat masih meneruskan lesen perjudian ini? Masih membuka ruang kepada rakyat terjerumus dan terperangkap dalam masalah sosial yang boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan? 

Kalau Kerajaan Negeri dan Pusat PH-BN sayang kepada pendapatan cukai judi, ingatlah peribahasa ‘Penny wise, pound foolish‘, ‘untung secupak, rugi segantang’. Begitulah ibaratnya dengan kegiatan perjudian. Keuntungan cukai tak seberapa, namun kerosakan maha besar, apatah lagi ianya haram di sisi agama. 

Apakah Perdana Menteri ke-10 (PMX) merangkap Menteri Kewangan dan Menteri Besar Negeri PH-BN berani untuk mengambil langkah serupa di peringkat Pusat dan Negeri? Atau sanggup membiarkan rakyat Malaysia terus terlibat dengan aktiviti perjudian demi hasil cukai judi? 

NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF

Isu Semasa