Datuk Lokman tidak perlu meraih populariti diri yang semakin luntur dengan menyerang parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).
Secara kolektif pemimpin-pemimpin BN harus menerima hakikat bahawa kekalahan BN adalah disebabkan beberapa faktor seperti berikut:
– UMNO adalah tunggak dan tulang belakang BN, lebih-lebih lagi setelah Parti Perikatan yang ditubuhkan atas semangat kemajmukan dan sekularisme telah digantikan dengan BN yang lebih cenderung kepada semangat kebangsaan berasaskan perlembagaan dan ciri-ciri kemelayuan.
Ini telah ditentang hebat oleh DAP yang dipelopori Lim Kit Siang yang menulis buku *bersiri “The Time Bomb in Malaysia”* dan kenyataan secara prolifik berlandaskan *”Deklarasi Setapak”* yang menuntut antara lain:
*Deklarasi Setapak memperkukuh pandangan DAP bahawa dalam proses membina negara, kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan di atas prinsip inilah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’ ditentang.*
– Semestinya BN mula kehilangan sokongan masyarakat Cina dan India, manakala DAP meraihkan “popular support atas naratif politik kesamarataan dan penghapusan Bumiputera dan inilah hakikat dan pengorbanan politik yang diterima oleh BN atas semangat collective responsibility”.
MCA tetap setia dalam BN dan telah menyelamatkan BN serta UMNO Asal yang dibubarkan pada tahun 1990 dan serangan Reformasi dalam PRU ke 10.
Hakikat politik kedua ialah politik dalaman UMNO telah menyebabkan perpecahan sokongan politik pengundi Melayu antara UMNO dan PAS kepada UMNO, PAS, PKR, Bersatu, Warisan, Pejuang dan sebagainya yang kesemuanya diasaskan oleh bekas pemimpin UMNO sendiri seperti Tun Dr Mahathir, Tengku Razaleigh, Anwar Ibrahim, Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan lain-lain.
Personaliti-personaliti UMNO ini juga telah diperalatkan dan ditunggang oleh DAP sehinggalah DAP bukan sahaja berjaya memonopoli undi Cina dan India, tetapi juga menokok-tambah sokongan pengundi Melayu yang merupakan penyokong tegar dan tradisi BN.
Hakikat ketiga ialah naratif DAP bahawa UMNO adalah parti ‘penyamun dan perompak’, jadi rakyat harus UBAH atas laungan “Asalkan Bukan UMNO” atau singkatannya, ABU.
UMNO dan BN telah bertindak balas dengan resolusi “No DAP”.
Inilah latar belakang dan hakikat politik yang perlu kita terima secara “kolektif” dan janganlah Lokman menjadi biadap seperti DAP yang pernah gelar MCA sebagai ‘anjing UMNO’ dengan melabel MCA dan MIC sebagai ‘biawak hidup’.
Bertaubatlah dan janganlah mengaibkan lebih-lebih lagi rakan seperjuangan.
Selama berada dalam keluarga BN, MCA terus mengamalkan politik kesederhanaan dan menghormati kepelbagaian.
Adakah Lokman Adam mahu MCA menjadi parti ekstremis dan cauvinis demi meraih undi, sehingga mengorbankan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia?
Sedar atau tidak, DAP sering menuduh MCA dan MIC gagal mempertahankan atau membela kaum Cina dan India.
Malah, DAP juga sudah lama menanam doktrin bahawa MCA dan MIC ‘tunduk’ kepada UMNO.
Contohnya, gagal mengiktiraf UEC, gagal sama-ratakan Cina, India dan lain-lain dengan Bumiputera.
Bukan itu sahaja, DAP turut menyerang MCA dengan menyebarkan gambar calon MCA bersongkok semasa Pilihan Raya Umum pada tahun 1986, sehingga menyebabkan calon BN-MCA bagi Parlimen Sg. Besi pada ketika itu yang merupakan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Kee Yong Wee ditewaskan oleh calon DAP, akibat serangan ekstrem yang menuduh calon MCA menjual maruah Cina kerana memakai songkok.
Sedangkan songkok adalah Pakaian Rasmi Istiadat (No. 1 Dress).
Apabila Pakatan Harapan membawa kempen bertemakan “siapa sokong penyamun” untuk meraih undi, jelas ia tidak merujuk kepada MCA tetapi pada UMNO dan pemimpin UMNO sendiri.
Apa-apa pun, tahniah DAP, kerana kini ada Lokman Adam sebagai jurucakap DAP.
Daripada “No DAP”, Lokman sudah jadi pembela dan jurucakap DAP.
Siapakah “Pengkhianat” sebenarnya?
I rest my case Bru!
Ti Lian Ker