PN Selangor Rangka Strategi Tembusi Kerusi ‘Hitam’ Milik DAP

PN Selangor Rangka Strategi Tembusi Kerusi ‘Hitam’ Milik DAP

Perikatan Nasional (PN) mengintai peluang menembusi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik DAP di Selangor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Meskipun mengakui ada dalam kalangan kerusi terbabit berstatus ‘hitam’ dan sukar ditembusi, Setiausaha Badan Perhubungan Negeri PN Selangor Dr. Afif Bahardin, berkata pihaknya ada formula untuk menjernihkan kembali kerusi berkenaan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan formula terbabit, sebaliknya menyenaraikan Kinrara, Bandar Utama, Subang Jaya antara beberapa kerusi DUN milik DAP yang dilihat berstatus ‘hitam’ atau dilabel ‘kerusi totok’ PH.

Selain tiga yang disenarai, 12 kerusi DUN dikuasai DAP di Selangor adalah Sekinchan, Kuala Kubu Bharu, Dusun Tua, Balakong, Seri Kembangan, Kinrara, Subang Jaya, Bukit Gasin, Kampung Tunku, Bandar Utama, Bandar Baru Klang, Pandamaran, Kota Kemuning, Banting dan Sungai Pelek.

Dalam pada itu, Dr. Afif berkata PN Selangor sedang mengenal pasti calon berkaliber bagi mengisi ‘kerusi hitam’ berkenaan.

“Sudah tentu PN Selangor akan masuk ke semua 56 kerusi DUN ini untuk menang, tiada yang masuk untuk kalah dan di kerusi disebutkan itu kita sedang ‘menilai’ calon yang ada (potensi).

“Sebab itu kita masuk ke semua kerusi atas nama PN kerana kita yakin jenama PN ini memberi satu harapan baharu kepada rakyat Selangor berbanding gabungan PH dan Barisan Nasional (BN).

“Kami jelas, logo PN mula diguna sejak PRN Sabah, dapat sambutan malah semakin meningkat. Harapan kami, jumlah pengundi yang keluar adalah tinggi kerana kalau jumlah keluar tinggi, (sudah pasti) tinggilah sokong kepada PN,” katanya.

Beliau berkata sedemikian sewaktu sidang media PN Selangor yang turut dihadiri Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir dan Setiausaha Gerakan Selangor, Chai Ko Ting.

Ko Thing yang berkongsi pandangan sama menjelaskan ‘kerusi hitam’ didominasi DAP hari ini pernah dikuasai oleh MCA suatu ketika dahulu, lantas tidak mustahil ia mampu ditembusi.

“Dalam soal kerusi majoriti masyarakat Cina, kerusi itu dilabelkan ‘kerusi hitam’ tetapi seperti Dr Afif cakap, tiada yang mustahil dalam politik.

“Ini kerana sebelum 2008, itulah kubu kuat BN-MCA dan MCA juga menang (semua kerusi itu), begitu juga kali ini.

“Masanya sudah tiba. Mungkin pengundi di kawasan itu akan beri kita kepercayaan (tidak mustahil PN ada peluang menang).

“Kami juga ada buat kajian, ada terdapat ketidakpuasan dalam masyarakat Cina terhadap DAP,” katanya tanpa mengulas lanjut punca ketidakpuasan hati itu

Pilihanraya