Kedah, Pulau Pinang Dan Sanusi

Kedah, Pulau Pinang Dan Sanusi

Persoalan hak Kedah terhadap Pulau Pinang hanya mampu dijawab oleh pakar sejarah dan undang-undang.

Apa yang nak diperkatakan di sini ialah hak MB Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam memperjuangkan kepentingan rakyat, negeri dan Sultan Kedah.

Sejak merdeka, tiada seorang tokoh yang berani membangkitkan isu ini secara serius.

Namun tidak bagi Sanusi; persoalan yang diangkatnya telah menggegarkan Jambatan Pulau Pinang hingga ke Lebuh Light.

‘Light’ suatu nama yang menyimpan seribu rahsia kedajalan penjajah.

Suatu nama asing yang menyebabkan Pulau Pinang terpisah dari Kedah.

Kalau Sanusi benar-benar ingin mengembalikan hak rakyat dan negeri Kedah, beliau perlu membongkar segala bukti yang tidak sukar untuk diselongkari.

Gertakan pemimpin DAP hanya padang mainan dan laporan polis hanyalah serpihan duri bagi seorang pejuang.

Rakyat Kedah tidak melihat isu yang dibangkitkan oleh Sanusi sebagai sesuatu yang menyalahi undang-undang kerana Sanusi bukan membuat cerita rekaan tanpa hujah dan sandaran.

Dalam dunia yang bertamadun dan berpegang kepada prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, sesuatu yang boleh dibuktikan tidak wajar ditekan oleh kuasa politik Persekutuan.

Hak Sanusi adalah sama sahaja dengan hak pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak yang mendesak Kerajaan Pusat mematuhi Perjanjian Malaysia 1963.

Hak rakyat dan bumi Sabah dan Sarawak perlu dikotakan.

Sanusi berjuang bukan untuk dirinya.

Tetapi dengan amanah rakyat dan sedikit kuasa yang ada pada beliau, hak Kedah diperjuangkan walaupun akan menghadapi pelbagai rintangan.

Kalau Sabah dan Sarawak boleh, kenapa apabila Sanusi cuba mengangkat isu ini beliau dianggap sebagai pencetus kegelisahan awam?

Bukan beliau pergi mengepung Pulau Pinang dengan tentera bergajah seperti yang pernah dilakukan oleh Siam.

Kenapa dilayan kegelisahan DAP yang sedang kepanasan?

Dipercayai rakyat Pulau Pinang juga teruja dan bersedia untuk berada dalam sebuah Kedah yang mempunyai Raja berdaulat.

Tugas Sanusi selaku MB Kedah ialah membentuk jawatankuasa yang terdiri daripada tokoh-tokoh perundangan, sejarahwan dan pihak-pihak yang berautoriti.

Apabila semuanya sudah jelas dan lengkap, barulah kes diangkat ke pihak Peguam Negara, Majlis Raja-Raja atau Kerajaan Persekutuan.

Ini akan menjadi bukti komitmen Sanusi bahawa beliau bukan bercakap kosong, acah-acah atau menjaja politik murahan demi melariskan jualan.

Peranan rakyat Kedah pula ialah berdiri teguh di belakang MB mereka.

Isu yang merentasi fahaman politik kepartian ini wajar disokong dan didokong oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

Kita tidak perlu membantah apabila Sabah dan Sarawak menuntut haknya.

Kerajaan Persekutuan wajib melaksanakan item-item dalam perjanjian tersebut.

Maka begitulah juga, sekiranya MB Kedah di pihak yang benar maka biarlah hak kembali kepada yang empunya.

Rakyat tak rugi apa-apa.

Kedah tetap satu negeri dalam Malaysia.

BayangDiAir

Kedah