PAS Negeri Pulau Pinang telah menerima kunjungan daripada Kaunselor Politik Kedutaan Jepun, Masaaki Saito yang diadakan di Pejabat PAS Negeri Pulau Pinang, Pongsu Seribu, di sini hari ini.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff yang mengetuai pertemuan tersebut telah ditanya pandangan mengenai perkembangan politik semasa di negeri ini dan negara amnya.
Menurut Masaaki, pihaknya melihat gelombang daripada perikatan pembangkang kini menggugat keupayaan pakatan pemerintah di mana pihaknya juga telah membuat pemerhatian di Kelantan, Kedah termasuk bertemu parti-parti dan tokoh politik lain.
Ustaz Fauzi dalam menjelaskan situasi ketika ini berkata bahawa gelombang diterima PERIKATAN NASIONAL (PN) semakin memuncak termasuk di Pulau Pinang di mana momentum tersebut tidak terhenti sejak PRU15 lalu.
“Kami lihat perkembangan positif ini memberi kebangkitan rakyat khususnya di kawasan-kawasan Melayu di mana di Pulau Pinang ini terdapat 15 DUN majoriti Melayu dan gelombangnya begitu terasa.
“Hinggakan ia mempengaruhi kerusi DUN campuran (penduduk pelbagai kaum). PAS dan BERSATU akan bertanding di kerusi-kerusi majoriti Melayu ini dan parti kerjasama dari GERAKAN akan bertanding di kerusi campuran,” ujarnya.
Menurut beliau, dengan kerusi DUN Pulau Pinang mempunyai keseluruhan 40 kerusi, calon dari sayap bukan-Islam PAS iaitu Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) juga akan bertanding di tiga DUN campuran selain ahli bersekutu BERSATU.
Yakini beliau, PN dengan mengandungi komposisi yang mewakili masyarakat majmuk Pulau Pinang mampu meraih majoriti mudah bagi mengambil alih pemerintahan kerajaan daripada DAP-Pakatan Harapan.
Katanya, selama 15 tahun DAP telah gagal memberikan khidmat sepatutnya kepada rakyat berbanding pelbagai perkara mereka laungkan, oleh itu PN beriltizam mengambil alih bagi melaksanakan amanah dan keadilan.
Beliau turut menjelaskan beberapa isu ditanya Masaaki melibatkan pandangan terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sokongan orang muda menerusi media sosial serta aspek kewangan.
Hadir sama adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Bukhori Ghazali dan Timbalan Ketua Muslimat PAS Pulau Pinang, Mazlina Jamaluddin dan Ahli Jawatankuasa Lajnah Tarbiyah PAS Pulau Pinang, Abd Rahaman Kassim.