Kumpulan Wartawan Gesa Kerajaan Jelaskan Sekatan Terhadap MalaysiaNow

Kumpulan Wartawan Gesa Kerajaan Jelaskan Sekatan Terhadap MalaysiaNow

Kerajaan campuran digesa memberi penjelasan berhubung sekatan untuk pengguna mengakses portal berita MalaysiaNow sejak semalam.

Kumpulan wartawan, Gerakan Media Merdeka (GeramM) memandang serius dakwaan sekatan terhadap MalaysiaNow yang disifatkan melanggar kebebasan media secara terang-terangan.

“GeramM memandang serius berhubung dakwaan laporan akses yang disyaki disekat ke portal berita dalam talian MalaysiaNow.

“Sebarang langkah sedemikian jika terbukti benar akan menjadi satu bentuk penapisan tidak langsung kerajaan ke atas saluran berita dan pelanggaran kebebasan akhbar secara terang-terangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, MalaysiaNow melaporkan laman portalnya tidak dapat diakses oleh sebilangan besar pengguna Celcom dan Maxis sejak petang semalam.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan bahawa ujiannya sendiri melalui rangkaian Maxis menggunakan alat ujian ketersambungan yang disediakan oleh Open Observatory of Network Interference (OONI) menunjukkan laman web itu disekat menerusi gangguan DNS.

Ubahan DNS ialah kaedah biasa yang digunakan di Malaysia untuk menapis kandungan dalam talian yang ‘tidak diingini’ termasuk pornografi, perjudian dalam talian dan laman pengganas.

GeramM menggesa pihak berkuasa untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan akses portal disekat itu.

“Oleh itu, GeramM menggesa pihak berkuasa daripada Kementerian Komunikasi dan Digital, serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menjelaskan sama ada terdapat sebarang arahan atau kebenaran untuk menyekat akses kepada MalaysiaNow,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Menteri KKD, Fahmi Fadzil dipetik laporan Astro Awani menafikan terdapat arahan dikeluarkan untuk menyekat portal MalaysiaNow seperti didakwa.

Isu Semasa