PAS Kecam Insiden Bakar Naskah Suci Al Quran Di Sweden

PAS Kecam Insiden Bakar Naskah Suci Al Quran Di Sweden

PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan membakar naskah suci Al Quran di luar Stockholm Central Mosque, Stockholm, Sweden pada hari pertama sambutan perayaan Aidiladha sebagai amat keterlaluan, ekstrem dan menghina kesucian agama Islam.

Tidak cukup dengan membakar naskah suci Al Quran, pelaku biadap tersebut turut meletak sekeping daging di atas naskah suci Al Quran tersebut dan kemudian memijak-mijaknya yang sememangnya bertujuan untuk menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Ia adalah satu tindakan yang teramat biadap, keji dan Islamofobia yang amat melampau apatah lagi ia dilakukan pada hari sambutan perayaan Aidiladha di mana sememangnya akan mencetuskan lagi kemarahan umat Islam di seluruh dunia, sesudah ahli politik ekstremis berhaluan kanan Sweden-Denmark Rasmus Paludan melakukan tindakan serupa di Stockholm, Sweden hujung Januari lalu.

Di saat umat Islam sedang menyambut ketibaan Aidiladha dengan penuh tawaduk dan kesyukuran serta dunia berada di ambang ketidaktentuan berikutan pelbagai konflik yang berlaku, insiden seperti ini perlu dihalang agar tidak berlaku pertembungan antara agama mahupun konflik antara negara yang mampu membawa kepada kesan dan akibat yang amat buruk kepada keamanan sejagat dan dunia.

Kebebasan bersuara yang diamalkan Barat sewajarnya tidak dijadikan alasan untuk menghina kesucian agama Islam mahupun mana-mana agama yang lain.

Adalah amat tidak wajar kepada mana-mana individu dan kumpulan dengan sewenang-wenangnya menghina agama lain terutamanya dalam bentuk provokasi seperti membakar Al Quran mahupun melukis karikatur jahat berupa Nabi Muhammad SAW.

Dunia Islam sewajarnya mengecam tindakan biadab ini yang telah mencemarkan kesucian agama Islam tambahan lagi pada Aidiladha yang mulia ini.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap individu umat Islam untuk mempertahan dan membela agama Islam yang mulia ini daripada terus dihina dan dicemarkan kesuciannya.

“Malaysia Sejahtera”

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat

Dunia Islam