Hal-hal yang menjadi alasan YAB PM untuk mengelak kelulusan itu sudahpun ditangani melalui sesi-sesi libat urus dan perundingan Jawatankuasa Teknikal KXP Airportcity (syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Kedah) sebagai pemaju Kedah Aerotropolis dengan semua jabatan dan agensi berkaitan sejak 9 tahun lalu.
Laporan berkenaan juga telah beberapa kali disediakan dan dibentangkan oleh konsultan yang dilantik oleh KXP Airportcity dan Unit Perancang Ekonomi JPM sebelum ini.
Jawatankuasa Teknikal pembangunan Kedah Aerotropolis diketuai oleh Tan Sri Ir Dr Jamilus Husin, tokoh yang mengetuai pembinaan KLIA satu masa dulu.
Beliau sangat memahami selok belok, keperluan dan kaedah membina dan mengendalikan projek itu.
Beliau diberi jolokan ‘The Airport Man’ dalam dunia pembangunan lapangan terbang.
Tan Sri Jamilus juga adalah salah seorang Ahli Lembaga Pengarah KXP Airportcity.
Tentang pembiayaan, tokoh korporat yang disebutkan oleh YAB PM kononnya tidak berhasrat membiayai projek itu juga sebetulnya tidak terlibat sebagai pemaju selepas gagal menjawab surat yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kewangan dan Tander Kedah Aerotropolis.
Beliau hanyalah salah satu pihak daripada berpuluh-puluh syarikat yang telah mengemukakan proposal dalam RFP yang dilaksanakan.
Walaupun beliau yang memohon untuk terbabit melalui kaedah RFP dan hadir dalam proses-proses saringan, namun beliau gagal menjawab dalam tempoh yang ditetapkan, selepas YAB PM ‘memberi bayangan’ dalam pembentangan Belanwajawan Negara 2023.
Beliau sudah menjadi sebahagian daripada sejarah.
Kini, sudah ada pihak lain yang akan membiayai projek ini.
Masalah sebenar YAB PM ialah enggan mendengar penjelasan perkembangan projek itu daripada Kerajaan Negeri dan KXP Airportcity, yang telah mengusahakan pembangunan projek ini sejak 9 tahun lalu, tetapi memberi komen seolah-olah telah mengetahui semuanya.
Ataupun YAB PM hanya mendengar daripada pihak tertentu yang memang diketahui umum menentang projek itu?
DATO’ SERI MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar
Kedah Darul Aman