Seorang pembantu kepada Setiausaha Politik (Setpol) Perdana Menteri (PMX) dalam ciapan di akaun Twitternya berkongsi hantaran mendoakan kematian Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pembantu kepada Setpol Kanan PMX, Ahmad Zaki Yamani yang berkhidmat dibawah Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memuat naik doa sebagai respons kepada laporan media berhubung keadaan kesihatan Hadi.
“Ya Allah! Ambil lah nyawa Abdul Hadi Awang. Hentikan kerosakan yang dilakukan nya di muka bumi. Hentikan fitnah yang dibawanya terhadap agama-Mu. P/S: Ambil sekali Mahathir,” tulis Zaki yang pernah menjadi exco Pemuda PKR ketika Shamsul memimpin sayap itu dipetik laporan MalaysiaNow.
Zaki juga dilihat mempertahankan kenyataannya apabila beberapa pengguna mempersoalkan kirimannya, sebaliknya menyuruh mereka memberikan dalil yang melarang seseorang daripada mendoakan kematian orang lain.
Apabila diberitahu bahawa tiada apa-apa dalil untuk membenarkan kelakuannya, Zaki berkata kematian Hadi akan “menghentikan hujah-hujah politik beliau yang memecah belah umat”.
“Apakah berterusan hidup Abdul Hadi Awang akan membawa manfaat kepada umat?” soal Zaki.
Hadi, 75, dimasukkan ke hospital selepas keadaan kesihatannya merosot minggu lepas.
“Kesihatan Ayahanda sedikit merosot sebelum Aidiladha, dan kini sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut oleh pihak doktor di hospital,” menurut anaknya Muhammad Khalil dalam satu kiriman Facebook hari ini.
Pada 2017, pemimpin PAS yang juga ahli Parlimen Marang itu menjalani pembedahan penggantian injap jantung di Institut Jantung Negara.