Guan Eng Perlu Minta Maaf, Kata Srikandi Muda Bersatu

Guan Eng Perlu Minta Maaf, Kata Srikandi Muda Bersatu

Srikandi Muda Bersatu membidas Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan tidak beradab semasa program di Pulau Pinang baru-baru ini.

Ketua Penerangannya, Eryn Othman mengkritik kenyataan Guan Eng yang menggunakan istilah “gelombang hijau” untuk menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu, ia ekoran sebuah artikel yang disiarkan portal berbahasa Cina, China Press yang memetik kenyataan provokasi beliau terhadap pemimpin politik Islam.

“Perlu diingatkan bahawa Pengerusi DAP itu agar tidak menggunakan isu 3R iaitu Agama, Bangsa & Raja dalam meniupkan api perkauman dan sentimen agama dalam berhujah yang bersifat hasutan serta menakut-nakutkan orang bukan Islam terhadap pimpinan parti-parti politik Islam.

“Beliau mengeluarkan kenyataan berkenaan “gelombang hijau” yang kononnya dilihat bakal memusnahkan tokong-tokong yang ada. Perbuatan ini amat keji dan terkutuk serta boleh mengancamkan ketenteraman awam dan keamanan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Eryn berkata dakwaan Guan Eng tersebut tidak benar sama sekali, malah mempelawanya untuk membuat lawatan ke negeri-negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) bagi melihat perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Saya mencadangkan agar Pengerusi DAP tersebut pergi membuat lawatan ke Negeri-negeri yang dibawah pentadbiran pimpinan yang beragama Islam dan menilai sendiri keharmonian rakyat berbilang kaum misalnya di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu,” ujarnya.

Dalam pada itu, pemimpin DAP tersebut digesa meminta maaf ekoran kenyataan perkaumannya yang secara terang menyentuh isu agama, kaum dan raja (3R) baru-baru ini.

“Srikandi Muda Bersatu Malaysia dengan tegas menuntut permohonan maaf dari Pengerusi DAP, Lim Guan Eng di atas kenyataan perkauman dan secara terang telah menyentuh isu 3R dalam ucapan beliau,” katanya lagi.

Terdahulu, portal MalaysiaNow melaporkan artikel yang diterjemah oleh China Press yang memetik sebagai berkata rakyat di Pulau Pinang mesti mengekalkan kerajaan DAP memerintah negeri itu dan menolak ‘gelombang hijau’.

Pengerusi DAP itu berkata, pengundi Pulau Pinang perlu menolak “gelombang hijau” daripada berkembang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti kerana bimbang kedudukan penganut agama lain terancam.

“Selagi Pulau Pinang kekal sebagai Pulau Pinang asal, semuanya boleh kekal sama. Jika tidak, orang ramai mungkin terpaksa memakai pakaian ketika mandi pada masa hadapan,” kata Guan Eng dipetik artikel berbahasa Cina tersebut ketika menghadiri sebuah acara keagamaan sempena Jelajah Raja Naga Putih Tian Fu Gong di Jelutong semalam.

Portal China Press juga menyunting laporan asal mereka dengan menambah perkataan “Orang India” dan mengeluarkan perkataan “dewa dan Buddha” menjadi: “jika gelombang hijau tidak senang dengan tokong India yang mereka lihat, mereka akan memusnahkannya”. Tetapi selagi Pulau Pinang masih kekal sama, rakyat masih boleh bersembahyang.”

Politik