Jika seseorang itu berhati mulia, apa sahaja bentuk peluang, mereka akan menjadikannya sebagai jalan untuk berbuat kebajikan, pahala dan juga membantu sesama manusia.
Tidak kiralah seagama, berlainan kepercayaan, lain bangsa, miskin, kaya, tua, muda.
Malah dari parti yang memusuhinya juga akan dibantu supaya semua mendapat nikmat berkongsi apa yang Allah turunkan.
Pimpinan PAS Terengganu, mengamalkan prinsip ini dengan teguh semasa menjadi kerajaan.
Semenjak menjadi Kerajaan Negeri, bukan sahaja ketika penggal ini, tetapi jauh ke belakang, 24 tahun lalu, PAS telah menetapkan kebajikan rakyat sebagai agenda utama dalam pentadbiran.
Ini kerana politik PAS yang diterapkan semaksimum untuk mengikut apa yang Allah dan Rasul arahkan.
Oleh itu, dalam aturan politik berlandaskan agama yang benar ini, kebajikan semua lapisan rakyat mesti diutamakan.
Kerajaan PAS Terengganu telah memberikan kelulusan peruntukan sebanyak RM250 ribu bagi semua Adun, termasuk pembangkang bagi tujuan membantu rakyat.
Ia tidak pernah dilakukan oleh BN sebelum ini.
Malah PH yang sering mencanangkan ketidakadilan BN dahulu, juga mengikut jejak langkah BN setelah mendapat kuasa.
Dan dengan bersatunya mereka dalam pakatan yang sama, amat cocok dan sepadanlah perangai mereka.
Dalam manifesto PAS 2018, 14 daripada 20 tawaran yang diberikan ialah berkenaan kebajikan.
Alhamdulillah, terkatup mulut musuh PAS apabila semua 20 tawaran itu telah diselesaikan sebelum berakhir penggal ke-14.
Sehingga sekarang, tiada mereka mahu bercakap tentang kejayaan tawaran PAS laksanakan itu.
Mereka hanya membuat fitnah isu tanah dan penyelewengan yang mereka sendiri tidak yakin berlaku.
Kerana itu mereka tidak membuat sebarang laporan polis, sebab jika laporan dibuktikan salah setelah disiasat, habislah modal fitnah mereka.
Selain daripada janji dalam manifesto itu diselesaikan, Kerajaan PAS Terengganu, masih belum puas berbakti.
Ditambahnya lagi kebajikan-kebajikan yang lain seperti memberi wang saguhati RM200 bagi kelahiran anak pertama, RM300 anak kedua hingga kelima dan anak keenam sebanyak RM500.
Ia amat membantu ibu bapa dalam kegembiraan menyambut permata hati yang baru lahir.
Antuan lain seperti bantuan pakaian persekolahan RM110, Pitih Belanja RM110 kepada semua pelajar, Baucer Pelajar Sejahtera RM100 untuk pelajar yang menduduki peperiksaan utama, Bantuan Persediaan ke IPT RM500 hingga RM1000, Biasiswa ACCA, Tabung Siswa Pelajar, i-Belia dan i-Mahasiswa RM150 seorang.
Begitulah keperihatinan pimpinan negeri yang diterajui PAS terhadap rakyatnya, tanpa mengira ideologi apakah yang mereka sokong, tanpa membezakan bendera.
Tiada penyelewengan atau salah guna kuasa yang dilakukan oleh pimpinan PAS sewaktu menjaga perbendaharaan negeri.
Musuh tidak berjaya mencari bukti.
Yang ada hanyalah mulut-mulut dan jari-jari pendosa yang mengiringi fitnah mereka dengan cerita rekaan yang sangat rendah mutunya seperti JPKK memberikan bantuan kepada saudara maranya sahaja, kepada ahli PAS sahaja, kepada kenalannya sahaja.
Sepertinya orang Umno, PH tidak merasa langsung duit kerajaan.
Dan apabila minta dibuktikan, mereka mula berdalih, tidak mahu memberitahu nama JPKK itu.
Hal ini adalah kerana mereka pernah melakukannya dahulu, ketika mempunyai kuasa.
Ugutan, sindiran, kroni, berlegar teruk dalam JKKK kepada ORANG ramai.
Oleh itu, mereka merasakan JPKK yang sekarang ini, akan berbuat sebagaimana mereka lakukan dahulu.
Padahal, semua nama penerima bantuan apabila diminta JPKK dahulu, merekalah yang menghalang penerima bantuan daripada diberikan kerana dihasut, nanti dimasukkan dalam pengkalan data PAS, bagi tujuan pengundian.
Begitulah yang berlaku.
Dengan bukti pengagihan samarata yang telah ditunjukkan, musuh menjadi amat geram kerana rakyat semakin mempercayai tangan-tangan pimpinan PAS yang sangat beramanah ini daripada pihak BN dan PH.
Tanda percaya rakyat kepada PAS ialah dengan limpahan undi yang diterima PAS semenjak 2018 yang hanya memberikan kemenangan 22 kerusi, tahun 2022 ia memberi indikasi kerusi PAS meningkat di sembilan Dun lagi.
Alhamdulillah, kebajikan PAS ditentang oleh kebencian musuh kerana mereka gagal dan PAS pula berjaya menceriakan rakyat dengan harta negeri.
Mohd Nasir Abdullah