Membaca serangan tanpa lelah dan bosan mantan AJK PAS Pusat, Dr Khairuddin at-Takiri dan pemimpin-pemimpin PHBN lewat isu takfiri terhadap PAS seolah membawa kami generasi berumur 40an dan 50an melewati kembali terowong masa yang bergulir zaman 80an yang sengit persaingan PAS dan Umno dinegeri jantung hati orang Melayu ( Malaybelt )
Manakala jika keluar daripada mulut pemimpin PAN isu ini, maka fahamilah mereka kelompok penyondor baiah yang sedang mabuk kepeningan, dikutuki langit dan bumi serta mencari nafas untuk terus mengekalkan kerusi anggota legislatif mereka.
Mereka semasa dalam bahtera PAS mengelak daripada ditarbiah oleh alim ulama kerana “besar kepala” menyangka mereka golongan profesional yang sok tahu segala, menunggang PAS hanya untuk kuasa dan mendaki harkat sosial!
Naratif Takiri terhadap PAS sejak beliau meninggalkan PAS tidak pernah berubah, api kebencian yang terus menyala dan mungkin dibawa sehingga mati.
Setelah gagal memenangi kerusi Parlimen Nerus ditangan Dr Alias Razak dengan jumlah undi kekalahan lebih 37, beliau makin diarak oleh jentera PHBN untuk “membelasah” PAS yang pernah beliau tumpangi untuk mendapat mobiliti sosial selepas keluar daripada kampus.
Tegar ana Seberang Takir ini berlabun tentang mengapa beliau menentang PAS.
PAS bagi Takiri adalah pemecah belah orang Melayu dengan isu-isu agama, PAS memainkan isu mengkafirkan Umno!
Kami juga pelik melihat naratif yang cuba menghodohkan tampang PAS ini selepas berjinak dengan Umno.
Bijak Takiri mengalih perhatian massa sebelum PRUN 2023, cuba mencipta krisis dan mengolah naratif buruk terhadap PAS agar namanya dijulang balik dalam Umno kerana obsesi, sebuah kerusi DUN untuk ditandingi.
Takiri buat-buat lupa bagaimana ucapan-ucapan pemimpin-pemimpin Umno sendiri dalam dekad 80an dan 90an, sinis terhadap perundangan Islam bahkan melampaui batas terhadap Syariah, bahkan ada yang mempertikaikan periwayat hadith dan pelbagai koleksi ucapan meremehkan Islam.
Takiri jangan lupa permusuhan pemimpin Umno-BN pada agamawan sehingga dipecat Mufti Selangor, Dato Ishak Baharom, dikucilkan tokoh-tokoh agama seperti Dato Dr Haron Din.
Apa yang Tun lakukan pada sekolah-sekolah agama rakyat, tindakan pemimpin BN termasuk Anwar yang memencilkan Kelantan yang dipimpin oleh almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Kami generasi yang diperintah oleh Umno selama 60 tahun tak akan lupa sejarah hitam ini.
PAS, ironisnya apabila PAS dipimpin oleh ulama haraki maka pengajian yang berteraskan ilmu akidah menjadi salah satu paten dalam majlis ilmu yang dianjurkan oleh PAS, juga institusi seperti masjid dan surau di seluruh negara.
Pengajian akidah akan membenihkan ahli yang faham akan konsisten dengan perjuangan Islam.
Namun ada sisi lain yang terserlah apabila pengajian akidah menggerakkan kesedaran secara besar-besaran tentang politik berteraskan akidah terutama yang membatalkan syahadah.
Para asatizah seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi mengajar bab batas-batas iman dan kufur, perkara-perkara yang membatalkan syahadah kerana masyarakat Melayu tipikal hanya biasa mendengar perkara membatalkan solat, haji dan puasa.
Kejahilan itulah yang membuka ruang keberanian mereka untuk bercakap mengenai hukum agama tanpa batasan, bahkan kepada kelompok elit seperti dalam Umno sendiri.
Isu menjaga batas-batas iman ini juga telah digunakan sebagai senjata politik dan dimanipulasi oleh kerajaan Umno-BN untuk memencilkan PAS daripada masyarakat umum.
Penguasa Umno-BN dan avatar politiknya mempunyai niat terselindung untuk menuduh PAS menyebarkan fahaman takfiri dan di sisi lain gerakan Islam dituduh sebagai gerakan neo-Khawarij, inilah juga yang terjadi di Libya, Algeria, Mesir, Yaman dan sebagainya.
Khawarij adalah firqah akidah, pelabelan ini akan memencilkan sesuatu kelompok daripada masyarakat yang lain.
Dalam program BTN sebelum ini, tanpa berselindung PAS dituduh sebagai kelompok khawarij, proses indoktrinisasi ini untuk menjauhkan masyarakat daripada PAS dan menjadi arca kebencian massa.
Di tanahair kita, isu perpecahan akibat takfir dikesan pada tahun 1960an apabila isu politik diganding dengan isu akidah tetapi ia tidaklah separah dekad 1980an, kerana UMNO dizaman dekad 1980an telah mempolitikkan isu ini dengan semaksima mungkin bagi mewajahhitamkan PAS.
Kebangkitan Islam yang sedang melanda tanahair, maka PAS akan mendapat laba yang besar maka usaha menjauhkan PAS daripada masyarakat umum terpaksa dilakukan.
Walhal PAS berusaha memahamkan masyarakat tentang akidah dan garis sempadan, antaranya tokoh PAS telah menerbitkan kitab “Beberapa Mutiara yang Bagus Lagi Indah” karangan Sheikh Abdul Kadir Al-Mandili di Mekah dalam tahun 50an.
Beliau adalah tokoh ulama yang mengajar di Masjidil Haram yang juga merupakan Ketua Cawangan PAS di Mekah.
Dalam usaha regim Umno-BN untuk mengekang PAS dalam dekad 80an, Kerajaan BN tidak bertindak dengan hujah tetapi menggunakan ISA untuk berhadapan dengan pimpinan PAS dalam isu ini.
Kononnya berlaku gejala takfir di Besut, isu ini cuba dibendung oleh kerajaan Mahathir dengan menangkap pemimpin PAS Besut seperti Ustaz Mohammad@Stimat Jusoh dan Ustaz Abdul Latif Mohamad di bawah Enakmen Kediaman Terhad Seksyen 2.
Almarhum Ustaz Abdul Latif dalam pertemuan peribadi dengan penulis pada tahun 1994 menegaskan beliau hanya menerangkan batas-batas iman dan kufur kepada masyarakat bukan mengkafir pengikut UMNO.
Beliau mengajar secara berkitab dan tidak ada ulama UMNO yang berani menyanggah dengan hujah apa yang disebut dengan nas al-Quran dan al-Hadis.
Tuduh-menuduh antara PAS-UMNO, siapa yang mencetuskan fenomena takfir hampir menyeret keduanya ke meja debat terbuka dizaman Mahathir berkuasa, untuk rakyat menilai isu ini dengan terbuka.
Pimpinan PAS telah bersedia dengan apa tajuk sekalipun.
Sebelum debat ini dijadualkan berlangsung ada wakil NGO dan tokoh umat Islam meminta supaya debat itu tidak diadakan, sebaliknya berunding.
Antaranya Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad bin Mohamed Ibrahim (UIA), wakil ABIM dan sebagainya.
Debat bertajuk “PAS mengkafirkan UMNO” yang dicadangkan pada 11 November 1984 telah disensasikan dan menjadi buah mulut rakyat negara ini.
Namun sebelum berlangsung ianya dibatalkan dengan campur tangan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.
Pihak PAS berpandangan pembatalan debat ini satu bukti yang ampuh regim Umno-BN kerana takut berhadapan dengan PAS dalam isu ini yang dimanipulasi dengan gaya paling hodoh untuk masyarakat membenci PAS, bahkan inilah naratif yang diulang kembali oleh penceramah Umno-BN-PH sebulan dua ini.
Yang pasti politisi penjilat begini akan dihumban oleh masyarakat Melayu dalam PRN enam buah negeri, 12 Ogos ini (insya Allah).
Menurut Tuan Guru Haji Hadi Awang, isu takfiri yang dimainkan terhadap PAS semakin reda, masyarakat mula menghargai ikrar syahadah mereka yang tidak boleh dipermainkan sesuka hati kerana syahadah boleh terbatal samada dengan iktikad, lisan atau perbuatan.
Ucapan menghina Islam dan syariatnya semakin sirna apabila masyarakat difahamkan dengan ilmu akidah.
Jauh daripada itu juga, jemaah Islam ini tidak mengajar ahli dan pemimpinnya memunafikkan orang lain yang berbeda pandangan.
Siapa yang mempopularkan istilah ini, semua para amilin mengetahuinya sehingga ditegah oleh ilmuan lain dalam harakatul ummah ini.
Sejarah tak pernah berbohong Khai!
Penulis merasa agak bersimpati dengan tikaman tumpul Takiri dan segelintir penceramah BN-PH yang mencari tempat untuk sandaran popular dan masih terjebak dalam lumpur falasi.
Tiadakah lagi isu lain untuk merobohkan sokongan kepada PAS?
Jangan kalian ditertawakan kerana berada dalam bangkul intelektual setahap Mat Said yang kelihatan masih bermimpi untuk duduk di kerusi MB Terengganu.
Kerajaan PAS Terengganu cemerlang dalam melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh lima tahun ini, segala janji manifesto ditunaikan, pengoperasian agenda kebajikan dan dakwah kepada rakyat terserlah.
PAS tetap istiqomah memberikan ilmu akidah kepada rakyat sehinggalah hari kiamat kerana ini adalah sebahagian obligasi teras sebagai sebuah gerakan Islam.
Membimbing rakyat mengenali Islam dan syariat-Nya, juga menjadi jurubicara kepada ummah dan membentenginya daripada terjahan aqidah yang sesat.
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor
(Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)