Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan bukannya negara polis, demikian kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau memperingati pimpinan Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) supaya berdepan hujah dengan hujah dan bukannya menggunakan polis atau mahkamah.
“Bila mereka tak terjawab, buat ‘report’ (polis). Anak muda yang gunakan TikTok, mereka hantar orang ugut. Dulu dia bersama rakyat bangun supaya bagi kebebasan media.
“Hari ini mana kebebasan media? Tak ada kebebasan media. Anak muda disekat dan mereka cuba pusing berita-berita yang mempengaruhi pemikiran,” bidasnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Kerajaan PH-BN juga kesali beliau, telah menggunakan kuasa dan politik mereka untuk cuba menghilangkan integriti yang ada pada Perikatan Nasional (PN) dengan tuduhan dan fitnah.
Sedangkan PN menurutnya, semasa menerajui Kerajaan Persekutuan sebelum ini sama sekali tidak melantik individu dalam kalangan Kluster Mahkamah untuk menganggotai Kabinet.
Malah katanya, walaupun berlaku empat kali pertukaran Perdana Menteri selepas PRU14, namun tidak terjadi sebarang huru-hara, perbalahan kaum, peperangan mahupun pembunuhan.
“Berlaku pertukaran dengan aman dengan harmoni. Kalau empat kali tukar aman, kali kelima, insya-Allah tak ada masalah. Dia akan berlaku juga dengan aman. Apatah lagi pilihan raya 12 Ogos ni, kita akan tukar.
“Insya-Allah kami (PN) menjamin ia akan berlaku dengan penuh keamanan. Orang bukan-Islam tak perlu bimbang, tak perlu takut.
“Sebab apa yang kita buat ialah membangun sebuah negara dan bangsa punya matlamat masa depan yang jelas,” ujarnya.