Pernah dengar peribahasa kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa?
Sang Pekaka cuba kaitkan peribahasa ini dengan ceritera Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Segala-galanya berlaku selepas Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat ini ditahan dan didakwa di mahkamah pada hari Selasa lalu.
Muhammad Sanusi didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) (a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
‘Panglima Perang’ Perikatan Nasional (PN) ini didakwa melakukan kesalahan mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan atau menghina Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong.
Sang Pekaka lihat, isu penangkapan dan pendakwaan yang dianggap ‘terpilih’ ini mencetuskan polemik dalam kalangan pemimpin parti politik di seluruh negara.
Macam-macam cerita kita dengar.
Masing-masing memberikan pendapat mereka untuk sesuatu kepentingan.
Persoalannya, kenapa Muhammad Sanusi ditahan pada jam 3 pagi dan didakwa di bawah Akta Hasutan 1948?

Ramai pihak termasuk dalam kalangan pemimpin Kerajaan Madani sendiri mempersoalkan tindakan polis ke atas Muhammad Sanusi.
Kalau kita dengar cerita Muhammad Sanusi, pada awalnya beliau mendakwa tidak dimaklumkan tentang penangkapan itu.
Beliau hanya mengetahui berita yang beliau akan didakwa di sebuah mahkamah di Selayang, Selangor melalui portal online sebuah media arus perdana pada malam sebelum kejadian.
Muhammad Sanusi mendakwa, pihak polis tidak pernah menghubungi beliau sehinggalah beliau ditangkap di kediamannya di Kuala Lumpur pada jam 3 pagi.
Beliau dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Hasutan 1948.
Beliau kemudiannya dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Madani dalam satu ceramah politik pada 11 Julai lalu.

Tercabar dengan dakwaan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain membuat satu sidang media pada hari yang sama.
Razarudin yang mempertahankan tindakan anggotanya itu berkata, tangkapan itu dibuat selepas Muhammad Sanusi dan para pegawai beliau enggan memberikan kerjasama.
Katanya, Polis Kontinjen Kedah yang turut membantu gagal mengesan Muhammad Sanusi di negeri berkenaan.
Selain Muhammad Sanusi, pegawai penyiasat turut menghubungi Setiausaha Sulit dan Setiausaha Politik beliau untuk proses pemakluman tetapi panggilan itu juga ditolak.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin antara yang lantang mempersoalkan tindakan polis menahan Muhammad Sanusi pada jam 3 pagi, atas alasan ahli politik kontroversi itu dan pegawainya tidak menjawab panggilan telefon sejak petang Isnin lalu.
Namun, pada keesokan harinya, Muhammad Sanusi mendedahkan bahawa pihak polis ada menghubunginya pada malam kejadian tetapi beliau tidak mahu memberikan kerjasama jika tujuan itu semata-mata mahu menangkapnya.
Jadi, Sang Pekaka rasa rakyat perlu percaya cerita siapa?
Bagi para penyokong Muhammad Sanusi dan seluruh ahli PN serta PAS, sudah tentu mereka yakin ‘Panglima Perang’ yang dilabel ‘anugerah Tuhan’ mereka ini dianiaya dan menjadi mangsa dendam politik.
Keyakinan itu semakin tinggi kerana Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN KE15) sudah menghampiri.
Kerajaan Madani bimbang dan gentar dengan aura yang dimiliki Muhammad Sanusi yang dilihat mampu mengancam mereka di kesemua enam negeri yang terlibat dalam PRU DUN KE15 pada 12 Ogos ini.
Sebab itu mereka perlu menangkap dan mendakwa Muhammad Sanusi kerana beliau mampu mengganggu gugat parti serta mengalahkan gabungan Perikatan Harapan-Barisan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini sahaja cara untuk menutup mulut Muhammad Sanusi.
Jadi, adakah pegawai polis, hakim dan mahkamah negara sudah menjadi ‘perkakas politik’ atau ‘macai politik’ pihak kerajaan untuk mencapai sesuatu matlamat?

Berbalik kepada Akta Hasutan 1948, ia merupakan undang-undang yang melarang wacana disifatkan sebagai hasutan.
Akta ini pada asalnya digubal oleh pihak berkuasa kolonial British pada tahun 1948 untuk membendung pemberontakan komunis.
Pembela hak asasi manusia daripada pelbagai organisasi termasuk Amnesty International dan Artikel 19 telah membuat dakwaan konsisten bahawa Akta Hasutan adalah serangan terhadap kebebasan bersuara di Malaysia.
Pengkritik berhujah bahawa takrifan hasutan dalam akta ini adalah kabur atau terlalu ‘luas dan tidak fleksibel’ yang boleh berpotensi membawa kepada ‘overreach’ atau ‘penggunaan undang-undang yang menyalahgunakan’.
Banyak pihak terutamanya dalam kalangan pemimpin kerajaan pada hari ini juga pernah mengkritik hebat dan melancarkan kempen maya untuk menggesa kerajaan Malaysia memansuhkan serta meminda undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara di Malaysia ini.
Bagaimanapun, sebaliknya berlaku apabila mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Mereka seakan-akan merelakan penggunaan akta ini untuk mencapai sesuatu tujuan.
Sang Pekaka melihat gelagat dan perangai mereka ini tak ubah seperti hipokrit dan bermuka-muka.
Sang Pekaka