Inilah Batas Usia Perjuangan Kita

Inilah Batas Usia Perjuangan Kita

(Takziah Untuk Keluarga Allahyarham YB Salahuddin Ayub)

Salahuddin Ayub telah pergi buat selama-lamanya.

Perginya meninggalkan kaum keluarga, sahabat dan segala isi dunia.

Batas perjuangannya juga berakhir di situ.

Tiada lagi gendang perang boleh dipalu.

Sirna segala kemasyhuran dunia dengan segala pangkat dan jawatannya.

Politikus dan penekun politik harus mengambil pengajaran ini.

Sejauh mana dan selantang mana perjuangan kita, tempat kembali tetap kepada Yang Maha Esa.

Apatah lagi kita yang ada pada saki-baki usia.

Ingatlah politik ini tak terlepas daripada perkiraan dosa dan pahala.

Politik ini biarlah dipandu oleh firman Allah dan hadis Rasulullah s.a.w.

Mengenepikan dua sumber ini akan menjadikan politik kita tersasar jauh dari kebenaran.

Sama ada kita menjulang panji perjuangan atau menegakkan benang yang basah, akhirnya kita akan berhadapan dengan Yang Maha Pencipta.

Sudahkah kita bersedia untuk menjawab segala soalan di hadapan Hakim Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana?

Kita semua akan menyusuli Salahudin Ayub dan pejuang-pejuang sebelumnya.

Sama ada kita selicik Anwar atau selantang Sanusi, kita akan tetap sampai di batas usia perjuangan.

Sama ada kita berada di pihak hak yang dituduh sebagai penunggang agama atau di pihak yang seringkali menuduhnya, kita tetap ada Hakim yang akan mengadilinya.

Masa sudah tidak lama bakinya.

Akhirnya kita akan menyusul selepas Salahuddin.

Semoga kita semua sudah ada jawapan atas setiap perselisihan politik kita.

Kerana sebentar lagi kita juga akan dijemput-Nya.

Jawapan kita bukan lagi untuk sesiapa tetapi jawapannya nanti khusus tertuju kepada Hakim Yang Maha Esa.

Di situ, kita tak perlu lagi kata-mengata dan bersengketa.

BayangDiAir

Kolumnis