DAP Pulau Pinang Sudah Bergolak

DAP Pulau Pinang Sudah Bergolak

Pergolakan mula melanda DAP Pulau Pinang selepas beberapa calon dan juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) digugurkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Selepas pengumuman calon DAP semalam, akar umbi mula menunjukkan rasa tidak puas hati dan kecewa apabila beberapa calon veteran digugurkan daripada bertanding dan hari ini seorang bekas calon juga mengkritik ‘seseorang’ itu sebagai ‘maharaja’ yang berkuasa menentukan calon disukainya.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata beliau faham perasaan bekas wakil rakyat yang tidak dicalonkan semula, tetapi berharap mereka akan menyokong keputusan parti.

“Mari kita bersama-sama memastikan kita dapat mengekalkan kerajaan negeri Pulau Pinang,” katanya dipetik laporan FMT.

Guan Eng ditemui media selepas sebuah acara di stesen Bukit Bendera.

Guan Eng turut menolak dakwaan bekas ADUN Bagan Dalam, M Satees, bahawa mereka yang digugurkan sebagai calon PRN kerana lantang menyokong penyandang Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Jelasnya, semua calon yang diletakkan oleh DAP juga menyokong Kon Yeow sebagai ketua menteri.

“Saya tak rasa berbaloi untuk mengulas (dakwaan Satees),” katanya.

Sementara itu keputusan mengekalkan Lim Guan Eng sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos dipertikai sayap pemuda DAP Pulau Pinang, ia kerana beliau sudah bertanding lama di negeri tersebut.

Ahli Jawatankuasa Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang, M. Kogilan mempersoalkan mengapa Guan Eng kekal bertanding walhal ramai calon yang lain digugurkan atas alasan kononnya untuk memberi peluang kepada muka baharu tetapi lain pula layanan kepada anak Tan Sri Lim Kit Siang itu.

“Saya telah membaca satu berita di sebuah akhbar berbahasa Melayu yang memetik kenyataan Anthony (Loke) bahawa pembaharuan dalam setiap pilihan raya termasuk menggugurkan beberapa nama ‘orang lama’ adalah satu perkara dan proses biasa.

“Saya sebagai ahli seumur hidup DAP ingin bertanya dengan Setiausaha Agung DAP, kenapa beliau atau Jawatankuasa Pencalonan Kebangsaan tidak mengugurkan nama Lim Guan Eng?

“Sedangkan Guan Eng juga merupakan orang lama yang bertanding beberapa penggal PRU dan PRN atas tiket parti DAP,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Kogilan juga mempersoalkan langkah DAP yang menamakan calon yang tidak dikenali pada PRN Pulau Pinang kali ini.

“Pemimpin yang berkerja keras untuk rakyat negeri ini telah ditepikan sebaliknya parti membawa calon yang tidak kenali oleh penduduk kawasan yang bakal ditandingi,” katanya.

Semalam, Loke mengumumkan seramai 19 calon DAP yang akan bertanding pada PRN negeri itu dan mereka terdiri daripada 12 penyandang manakala tujuh calon muka baharu.

Bagi memberi laluan kepada muka baharu tujuh penyandang kerusi DUN Pulau Pinang telah digugurkan iaitu P. Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II (Perai); M. Satees (Bagan Dalam); Phee Boon Poh (Sungai Puyu); Soon Lip Chee (Bagan Jermal); Lee Chun Kit (Pulau Tikus); Chong Eng (Pangkalan Kota) dan Yeoh Soon Hin (Paya Terubong).

Manakala Lim Guan Eng kekal mempertahankan kerusinya di DUN Air Putih.

Pilihanraya