Sektor Pertanian Negeri Terengganu Sentiasa Diberikan Perhatian

Sektor Pertanian Negeri Terengganu Sentiasa Diberikan Perhatian

Pertanian terutama melibatkan sumber komoditi makanan merupakan sektor yang terpenting dalam negara selain agrikomoditi kerana ia melibatkan sekuriti atau keterjaminan makanan negara.

Antara empat komponen penting sekuriti makanan yang ditekankan adalah ketersediaan, kebolehcapaian, keselamatan makanan dan kestabilan.

Sektor pertanian di Terengganu dijadikan sebagai nadi utama dan tidak kurang pentingnya menyumbang kepada ekonomi negeri melalui strategi-strategi yang telah direncanakan.

Signifikannya, jika sebelum ini peratusan pertumbuhan KDNK sektor pertanian pada tahun 2018 ialah 2.5 peratus, namun KDNK sektor ini telah bertumbuh dengan baik kepada 6.0 peratus pada tahun 2019.

Sejak diamanahkan untuk mentadbir Kerajaan Negeri, sektor pertanian semakin rancak dan menghasilkan produktiviti yang baik.

Antara kejayaan yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam sektor ini seperti berikut:

1. Menggubal pelan baharu hala tuju sektor pertanian negeri iaitu Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 (PSPT) bagi memastikan target, objektif dan hala tuju pertanian dapat dicapai dengan penglibatan semua pihak secara komprehensif.

Bahkan, Terengganu antara negeri yang telah mempunyai pelan strategik dalam sektor pertanian sebelum berlakunya krisis makanan negara berikutan Covid-19.

2. Peningkatan setiap tahun tahap sara diri (SSL) makanan ruji padi semakin memberangsangkan apabila pada tahun 2019, ia meningkat kepada 42.7 peratus, 2020 (49.2 peratus), 2021 (54.2 peratus) dan terkini pada tahun 2022 meningkat sehingga 78.9 peratus.

Selain itu, Terengganu juga telah berjaya menghasilkan beras padi myGAP yang berjenama Beras Ganu MyGAP pada Mei 2021 dan merupakan antara beras berkualiti tinggi yang pernah dihasilkan.

3. Pelaksanaan projek mega tanaman lada hitam yang memperuntukkan sebanyak RM360 juta.

Projek ini menjadikan Setiu sebagai hub pengeluaran lada hitam secara komersial terbesar di Malaysia dengan kerjasama beberapa syarikat tempatan seperti Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu, Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn. Bhd. dan sebuah syarikat pelaburan yang berpengkalan di Amerika Syarikat iaitu McCormick Global Ingredients Malaysia Sdn. Bhd.

4. Tabung Bencana Pertanian yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2018 telah memberi manfaat kepada lebih 2,000 petani, penternak dan nelayan yang ditimpa musibah bencana alam dengan peruntukan sehingga RM1.67 juta.

5. Terengganu antara negeri pertama yang telah mengisytiharkan Tahun Pertanian Terengganu 2021 (TPT) walaupun ketika itu negara masih dilanda penularan pandemik Covid-19.

Sebanyak 94 program yang melibatkan sektor pertanian, perikanan dan penternakan dan 45 projek pembangunan telah berjaya dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

6. Terengganu juga antara satu-satunya negeri yang mengeluarkan bajet tersendiri iaitu sebanyak RM1.069 juta untuk membuat tukun tiruan (rumah ikan) berbanding negeri-negeri lain yang mengharapkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dengan anggaran peruntukan antara RM200,000 hingga RM300,000.

7. Kerancakan Kerajaan Negeri mewujudkan projek penternakan berimpak tinggi seperti Projek Pembangunan Hub Lembu Sado Berkelompok, Pusat Pengeluaran Benih Ikan Kerapu Hybrid, Projek Ladang Induk Pengganda Kambing Tenusu dan sebagainya.

Segala kejayaan yang dicapai melalui sektor pertanian ini bertitik mula dengan visi dan hala tuju yang jelas selain mempunyai pemimpin yang amanah dalam menjalankan tugas serta mendapat kerjasama erat daripada semua pihak termasuk para petani, penternak dan nelayan.

Tanah yang luas dan subur serta sumber air yang mencukupi telah dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Kerajaan Negeri demi melihat sektor pertanian di negeri ini terus maju dalam menghasilkan produktiviti dan produk yang lebih baik pada masa hadapan.

Di akhirnya, ia bukan sahaja meningkatkan pendapatan rakyat malah meningkatkan ekonomi negeri.

Dato’ Haji Husain Awang

Rujukan:

1. Kad Laporan Prestasi Kerajaan Negeri Terengganu 2018-2022

2. https://www.mkn.gov.my/…/terengganu-berada-di-landasan…/

3. https://berita.rtm.gov.my/…/32951-terengganu-bakal…

4. https://harakahdaily.net/…/bagaimana-terengganu…/

5. https://www.sinarharian.com.my/…/lembu-sado-sumber…

Terengganu