Jangan Dihina Kedah, Kelantan, Terengganu Dan Perlis

Jangan Dihina Kedah, Kelantan, Terengganu Dan Perlis

Banyak pemimpin kerajaan pusat menghina dan kadang kala mengugut rakyat negeri-negeri utara semenanjung seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Mereka kaitkan dengan PAS, walhal ini adalah negeri-negeri yang diwarisi dari kepimpinan mereka sendiri berdekad lamanya.

Malah sebagai negara yang mendukung konsep Federalisma, tanggungjawab memajukan negeri adalah tanggung jawab bersama Negeri dan Pusat.

Sebenarnya tanggungjawab pusat lebih besar khususnya dalam banyak pembangunan strategik.

Malah kemunduran negeri-negeri utara adalah kegagalan kerajaan pusat dalam menggarab model pembangunan wilayah yang betul dan berimbang di masa lalu.

Namun insya Allah negeri-negeri utara yang rakyatnya begitu cekal lagi istiqamah memberi mandat pada PAS/PN akan muncul lebih baik kesejahteraan hidup rakyatnya dan kemajuan negerinya melalui acuan yang tersendiri. Yakin kita boleh.

Saya mencadangkan empat negeri ini (boleh juga libatkan Perak) membentuk satu Muafakat Regional dengan mewujudkan apa yang kita namakan ZON EKONOMI UTARA MALAYSIA (ringkas “ZONE UTAMA” ) dan melakar satu blueprint pembangunan bersepadu rentas sempadan (Nasional dan International) yang baru melibatkan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis (Perak) serta mengambil kira potensi 5 Wilayah Selatan Thailand iaitu Narathiwat, Patani, Yala dan Satun dan Songkhla.

Beberapa konsep REGIONAL DEVELOPMENT yang baru secara “luar kotak” boleh digarab bersama.

Ramai yang terlepas pandang bahawa inilah wilayah-wilayah yang amat kaya sebenarnya, malah inilah wilayah yang membekal makanan/beras, air, sumber protein (ikan, daging, sayur, buah), bahan-bakar dan jana kuasa (tenaga hijau, petroleum dan gas) kepada negara.

Tambahan pula kedudukan geo-politik dan perdagangan dunia masa kini boleh menjadikan ZONE UTAMA ini cukup strategik, maju dan sejahtera

Antara bidang baru yang boleh kita susun ialah INDUSTRI BERPAKSIKAN PENGANGKUTAN DARAT, LAUT DAN UDARA secara “out of the box” dan non conventional (kita tidak perlu bincang perincian diperingkat ini)

Bidang lain meliputi industri berasaskan galian dan sumber asli, Pelancongan, Pendidikan, Perubatan, Seni budaya dan Keagamaan.

ZONE UTAMA ini paling kaya dengan sumber-sumber ini.

Yang diperlukan ialah cara pengolahan yang baru.

Perlaksanaan berteraskan “private sector driven” dan tidak semata mata bergantung kepada sumber kerajaan.

Idea ini baru saya lontarkan kepada sahabat sahabat pimpinan Nasional dan Wilayah Selatan termasuk Gabenor Wilayah Selatan, sebagai initiatif awalan.

Di Thailand sudah pun ada satu agensi khusus pembangunan 5 Wilayah berpusat di Yala.

Pemmpin politik Nasional sudah ada yang datang dari Wilayah Selatan, malah salah seorang dari Gabenor adalah Muslim yang mempunyai saudara mara di Malaysia.

Kita sedar kerjasama yang melibatkan dua negara berjiran memerlukan dokongan kedua dua kerajaan pusat, namun tidak salah bagi pimpinan negeri ZON EKONOMI UTARA MALAYSIA-ZONE UTAMA memulakan initiatif kita sendiri

Jika tidak dipecahkan ruyungnya, mana kan dapat sagunya.

Insya Allah KITA BOLEH.

Annuar Musa

Ekonomi