Empat hari lepas, Ketua Perang UMNO Terengganu dengan bangganya mengumumkan senarai calon-calon UMNO yang akan bertanding di 27 kerusi DUN.
Alih-alih hari ini dikatakan pula nama-nama yang diumumkan pada Jumaat lalu masih belum disahkan bertanding.
Kenapa jadi begitu Abang Mat?
Adakah kerana beberapa watak penting mereka tidak tersenarai pada peringkat awal?
Atau geng PKR dan Amanah cuba potong ‘line’ melalui bos mereka di peringkat Pusat?
Ada orang kata Mat Said keras kepala. Nelang.
Zahid Hamidi pun dikira nelang.
Tapi sehanelang Zahid, dia anak murid kepada Cikgu Anwar.
Jadi, hanelang Mat Said di Terengganu tak berapa menjadi kerana bosnya hanyalah seorang anak murid yang taat.
Tengoklah nanti apabila senarai sebenar pada hari penamaan calon 29 Julai nanti.
Nama siapa pula yang naik.
Dan nama siapa pula yang tersangkut dan disangkut.
Bukan di Terengganu sahaja, malah kemelut perebutan dalam kalangan PH dan BN mewabak di banyak kerusi yang dipertandingkan di keenam-enam negeri.
Inilah bayangan mimpi ngeri yang sedang menanti.
Sebelum hari penamaan calon pun dah kecoh, cabut bendera dan tutup bilik gerakan.
Apa pula akan berlaku selepas hari penamaan calon nanti.
Demikianlah apabila kedudukan, pangkat, projek dan kepentingan peribadi menjadi tunjang perjuangan.
Apabila elemen duniawi itu tercabar, maka pertimbangan tidak lagi berpandukan kebenaran tetapi lebih kepada nafsu yang serakah.
Setakat ini, PAS masih terpelihara daripada jangkitan virus itu.
Namun jangan sekali-kali memandang enteng ancaman wabak ini.
Kalau Khairuddin at-Takiri yang pernah menjadi Setiausaha Dewan Ulama PAS pun boleh tercabut kopiah, apalah sangat dengan pemimpin dan ahli-ahli yang lainnya.
Kita berbangga dengan adanya program usrah.
Usrah menjadi wahana pengukuh kefahaman perjuangan.
Usrah mendidik kita agar ikhlas berjuang demi menjulang panji-panji Islam.
Tetapi Ustaz Khairuddin at-Takiri bukan sahaja mengikuti usrah di peringkat kepimpinan malah beliau seringkali juga menjadi naqib usrah.
Malangnya, di mana posisi beliau sekarang?
Ingatlah wahai ahli-ahli PAS yang merindukan ikhlas dalam berjuang.
Ikhlas itu antara kita dengan Allah.
Allah sahaja boleh baca tahap keikhlasan kita.
Selagi belum diuji, belum tahu tinggi rendah jatidiri perjuangan kita.
Tanpa pertolongan Allah, ikhlas dan wala’ akan bertempiaran apabila terjadi sesuatu yang tidak selari dengan kemahuan kita.
Akhirnya, emosi dan nafsu akan mengatasi segala.
Akhirnya, kita juga diuji sebagaimana Allah menguji mereka.
Mereka dengan ujian mereka dan kita dengan ujian kita.
Siapalah kita kalau Allah tidak bersama?
Biarlah mereka menentang keputusan pimpinan mereka.
Biarlah mereka tutup bilik gerakan dan cabut bendera.
Kita pula kekal syukur dan redha dalam apa situasi yang melanda.
Di situ berbezanya antara kita dengan mereka.
Di situ duduknya ciri-ciri perjuangan yang berjaya.
BayangDiAir