Secara rasminya, kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula hari ini dengan semua calon daripada parti yang bertanding akan berentap di medan politik untuk menentukan siapa yang bakal menjadi kerajaan di enam negeri.
PRN 2023 kali ini juga penting dan ujian getir menanti kerajaan campuran dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang masih berdepan 47 kes rasuah di mahkamah ketika ini.
Kali terakhir Pakatan Harapan (PH)-UMNO dengan Perikatan Nasional (PN) berentap di pentas politik adalah semasa pilihan raya di Parlimen Padang Serai, ketika itu baharu terbentuknya kerajaan campuran dan menyaksikan kekalahan teruk calon PH.
Pilihan raya Parlimen Bagan Serai ditangguh susulan kematian calon semasa tempoh berkempen dan menyaksikan calon PN memperoleh majoriti besar sebanyak 16,260 undi untuk merampas kerusi disandang PKR sejak 2008 lalu itu.
Pemerhati menyifatkan kekalahan PH-UMNO di Padang Serai sebagai isyarat rakyat menolak gabungan kerajaan campuran PH-UMNO yang baharu terbentuk.
Pada PRN enam negeri kali ini, kerajaan campuran yang sudah berusia lapan bulan lebih ini bakal berdepan ujian besar untuk menyakinkan rakyat menyokong mereka kerana pelbagai isu urus tadbir yang dihadapi dalam pentadbiran kerajaan.
Daripada isu ekonomi, kenaikan harga barang, krisis dalaman sesama parti gabungan, kontroversi melibatkan menteri Kabinet dan pelbagai lagi masalah dihadapi akan dinilai rakyat pada PRN kali ini.
Kerajaan campuran dikritik hebat sebelum ini susulan kenaikan harga barang asas, isu bekalan telur dan ayam, harga minyak masak, beras dan beberapa barang keperluan lain menjadi rungutan rakyat sejak tertubuhnya kerajaan pada November tahun lalu.
Malah, janji menurunkan harga minyak yang sering diperkatakan dalam media sosial juga tidak ditunaikan setakat ini.
Kontroversi rasuah juga terpalit dalam pentadbiran kerajaan campuran, ia selepas seorang Menteri DAP dan pegawainya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi sehingga hari ini tidak tahu status berhubung kes tersebut.
Walaupun pegawai Menteri DAP tersebut sudah dibuang dan ditamatkan perkhidmatan, namun isu integriti dan ketelusan yang dilaungkan oleh pemimpin PH menjadi persoalan.
Tiada tindakan tegas terhadap Menteri tersebut juga menghakis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Anwar yang kononnya melawan rasuah dan bersih.
Terbaharu, seorang Menteri Kabinet kerajaan campuran juga mencetuskan kontroversi selepas insiden campur tangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan pihak imigresen sehingga menimbulkan kritikan banyak pihak.
Menteri dari Borneo tersebut terpalit dengan insiden menyelamat pelancong dari China yang didakwa tidak dibenarkan masuk ke negara oleh pihak imigresen.
Di tengah-tengah rakyat bergelut dengan isu kos sara hidup, kerajaan campuran dipimpin Anwar sebaliknya sibuk berpolitik dan menekan pihak lawan apabila ramai pemimpin pembangkang dan penyokongnya didakwa di mahkamah hanya kerana lantang mengkritik.
Malah, kebebasan bersuara di bawah kerajaan campuran juga disekat apabila ramai aktivis politik pembangkang disiasat dan diheret ke mahkamah menggunakan Akta Hasutan.
Akta Hasutan digunakan secara berleluasa untuk menakut-nakutkan pengkritik dan menutup mulut rakyat daripada lantang bercakap mengenai kelemahan kerajaan campuran.
Setakat ini juga, kerajaan campuran juga dilihat gagal meletak negara di landasan yang sepatutnya apabila tiada satu polisi yang jelas diperkenalkan untuk memulihkan ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat.
Malah, jika sebelum ini PH mengkritik kerajaan terdahulu menggunakan ‘cash is king’ untuk menarik sokongan rakyat tetapi kini mereka pula yang mengamalkan budaya tersebut dengan memberi gula-gula kepada orang ramai menjelang PRN kali ini.
Beberapa hari sebelum berlangsung PRN, Anwar mengumumkan pemberian tunai kepada penjawat awam dan orang ramai.
Pemberian tunai itu dilihat sebagai usaha untuk memancing rakyat supaya memilih gabungan PH-UMNO pada PRN kali ini, ia bagaimanapun cuba dinafikan oleh pemimpin kerajaan campuran.
Selepas beberapa bulan terbentuknya kerajaan campuran, rakyat berpeluang untuk memberikan isyarat jelas sama ada bersetuju dengan tindak tanduk pemimpin kerajaan atau pun sebaliknya.
Proses demokrasi kali ini perlu digunakan sebaiknya untuk memastikan kerajaan campuran supaya tidak menjadi lebih angkuh dan bebas bertindak sesuka hati mereka tanpa menghiraukan nasib rakyat sekeliling.
Kenyataan pemimpin PH sebelum ini ‘ini kerajaan kami, ikut suka kami’ adalah kemuncak keangkuhan kerajaan campuran dan rakyat boleh menggunakan PRN ini dengan membalas ‘ini undi kami, ikut suka kami lah’ kepada pemimpin kerajaan campuran yang semakin mabuk kuasa.