Jangan Bawa Unsur Kleptokrasi Ke Terengganu

Jangan Bawa Unsur Kleptokrasi Ke Terengganu

Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan agar tidak membawa masuk unsur-unsur kleptokrasi ke negeri Terengganu.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi Jumaat lalu jelas ‘gula-gula’ pilihan raya negeri (PRN).

“Jangan cuba dibawa unsur-unsur kleptokrasi ke negeri Terengganu Darul Iman yang damai ini.

“Rakyat Terengganu terutama golongan belia tidak terpedaya dan terpersona dengan dakyah ibu rasuah keturunan kleptokrasi yang masih segar dan mengakar dalam kepimpinan UMNO-Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi mengumumkan geran tambahan berjumlah RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) selain peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu.

Turut diumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri itu malah katanya jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan itu dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

“Inilah gula-gula PRN secara terang-terangan oleh Kerajaan Perpaduan Madani. Makin rosak nampaknya,” kata Razali yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.

Mengulas lanjut, Razali berkata rakyat dan pengundi Terengganu semakin bimbang dengan pemerintah dipimpin ahli-ahli korup yang menggunakan kuasa untuk mempergunakan rakyat dan sumber negara demi menambahkan kekayaan dan tampuk kekuasaan mereka sendiri.

“Sistem sebegini biasanya melibatkan penyelewengan simpanan negara sehingga menyusahkan rakyat termasuk menggula-gulakan rakyat menerusi angka-angka yang sangat mempersonakan.

“Jika ditelusuri sejarah lampau, Tokli sendiri melihat betapa bagaimana kuasa sering menjadikan pemerintah dan pemimpin lalai dan leka dengan dunia. Mereka lupa kuasa pemerintahan adalah satu bebanan amanah,” katanya.

Pilihanraya