Bukti Jelas PAS Memperjuangkan Islam Tanpa Mengejar Kebendaan

Bukti Jelas PAS Memperjuangkan Islam Tanpa Mengejar Kebendaan

Saya membaca dengan insaf perihal kisah silam mantan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup, allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub betapa beliau pada suatu masa dahulu pernah menjalani kehidupan yang amat sukar dalam rangka berjuang bagi mengangkat prinsip politik yang beliau dukungi.

Di kaca mata orang, ia adalah satu harga yang mahal kerana kesusahan beliau, turut melibatkan ahli keluarga almarhum.

Diriwayatkan oleh anakanda almarhum mereka pernah makan berlaukkan kerepok dan terpaksa berhutang untuk membeli susu anak-anak.

Almarhum juga digelar Din Pudu kerana di situlah tempat beliau memulakan perjalanan ke tempat-tempat program.

Pemandunya ialah pemandu bas, kenderaannya kadang-kadang Scania, Volvo, Mercedes, mengikut syarikat bas yang dia naiki.

Bayaran program kadang dapat, kadang hampa.

Semoga Allah membalas segala pengorbanan kesulitan dan keikhlasan almarhum.

Sesetengah orang menukilkan cerita ini dan memuji almarhum tanpa menyedari semua kesusahan yang almarhum lalui itu adalah sewaktu almarhum bersama PAS.

Setelah almarhum meninggalkan PAS, tiada cerita seperti itu lagi.

Dan kisah kesusahan pimpinan PAS ini adalah benar sekali.

Ia tidak terkecuali sehinggakan Presiden PAS sendiri pernah kereta beliau meragam di tengah jalan, diselamatkan oleh entah siapa yang baik hati.

Kisah-kisah lain Ketua Pemuda PAS Pusat ada bermacam versi.

Ada yang tidak mampu membayar bil telefonnya, ada yang terpaksa menyembunyikan keretanya kerana tiada wang untuk dibayar.

Ada yang terpaksa meminjam untuk ke program, ada yang keretanya masuk bengkel, terpaksa menunggu lama sebelum diambil semula kerana tiada wang.

Ini semua adalah kisah biasa dalam kepimpinan PAS.

Makan pakai anak bini jangan ditanya. Seadanya sahaja.

Yang berhutang ratusan ribu ketika menjadi wakil rakyat kerana peruntukan disekat, dengan harapan boleh dibayar oleh kerajaan, kemudiannya kalah juga menjadi satu episod luka dalam PAS.

Orang bawahan jarang yang tahu, mereka lihat permukaan sahaja, tanpa mengetahui bongkah ais yang lebih besar di bawah.

Waktu dijemput untuk dibelanja antara saat yang menggembirakan hati mereka.

Bukan meminta, tetapi naluri manusia miskin dan susah memang sebegitu.

Tetapi sebagai pimpinan, kepercayaan mereka yang apabila mereka berhutang, dengan niat mereka mahu membayarnya, maka Rasulullah memberikan jaminan.

Dengan jaminan inilah mereka perlahan-lahan dapat membayar semula hutang-hutang mereka.

Keluarga pula jarang dapat bersama, hutang keliling pinggang, bertanding asyik kalah, diugut, disekat peruntukan masa menang, sehingga sekarang.

Bila menang dapat wang elaun lebih, dibelanja pula sebahagian kepada parti dan jemaah.

Oleh itu terima kasih kepada yang menularkan kisah allahyarham Datuk Seri Salehuddin Ayub yang menghadapi kesusahan hidup dan ia berlaku keseluruhannya dizaman almarhum bersama PAS, kerana ia membuktikan kebenaran PAS bukan parti yang gila kebendaan.

Majoriti pimpinan PAS merasainya.

Oleh itu sewaktu PAS berkuasa di Terengganu, PAS benar-benar menjiwai kesusahan rakyat akibat daripada pengalaman lalu mereka.

Inilah perjuangan PAS, tidak dapat dinafikan oleh musuh kerana semua musuh sewaktu bersama PAS memuji-muji keikhlasan PAS.

Bertukar pula rakan politik, kawan lama menjadi musuh, mereka mengutuk PAS, tetapi rakan baru PAS pula memuji dengan pujian yang sama seperti dahulu, PAS ikhlas berjuang.

Jelas sekali PAS tidak berubah dengan dasar dan amalan yang ada, tetapi musuh PAS yang berubah mencaci PAS mengikut selera mereka.

Kalah dan menang, kami tetap bersama PAS kerana kami tahu apa yang kami perjuangkan.

Mohd Nasir Abdullah

PAS