Datuk Ahmad Amzad Hashim telah melaksanakan berbagai program untuk membantu rakyat di kawasan Parlimen Kuala Terengganu.
Beliau berkata, antaranya ialah bantuan bakul makanan, barangan kelengkapan untuk usahawan, motosikal penghantar makanan, sumbangan kepada sekolah dan universiti.
“Saya akan teruskan perkhidmatan yang terbaik sekiranya rakyat di Kuala Terengganu masih mahukan saya,” katanya yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen itu 12 Ogos ini.
Berikut penjelasan beliau.
Sepanjang saya berkhidmat sebagai ahli Parlimen dalam penggal yang lalu, saya telah melaksanakan pelbagai program untuk membantu rakyat Kuala Terengganu.
“Bantuan kepada mereka yang susah dari bakul makanan melibatkan lebih 9,000 penerima hinggalah menyiapkan secara percuma 5 buah rumah baru untuk keluarga miskin.
Bantuan kepada usahawan kecil melibatkan lebih 200 penerima dalam bentuk barangan kelengkapan perniagaan mereka yang bernilai sekitar RM2,000 setiap satu seperti mesin kimpalan, mesin basuh untuk dobi, dapur oven, mesin fotokopi, mesin pencuci carpet dan mesin tebu.
Sebanyak lebih 40 buah motosikal saya sumbangkan kepada penerima yang bekerja dalam khidmat penghantaran seperti Grab, Food Panda dan yang menggunakan untuk berulang alik ke tempat kerja.
Hampir setiap sekolah di Kuala Terengganu menerima sumbangan daripada saya sekitar RM5,000 setiap sekolah untuk menjalankan aktiviti sama ada melalui PIBG atau terus kepada pihak sekolah.
Ada yang saya luluskan peruntukan untuk kemudahan sekolah misalnya lebih RM30,000 untuk Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam, lebih RM50,000 untuk Sekolah Menengah Agama Khairiah, Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Chung Hwa.
Saya menaja tuisyen online untuk semua calon SPM di parlimen Kuala Terengganu lebih 3,000 calon setiap tahun.
Dan banyak lagi dalam pendidikan anak anak kita.
Kita sedang mengusahakan pembangunan untuk Pasar Borong Gong Pauh (isu berkaitan pemilikan tapak tanah pasar hampir diselesaikan), pembangunan untuk Pasar Kampung Tiong (Kampung Cina), medan selera bersaiz besar yang baru di tapak Kuala Terengganu City Centre (KTCC), pembangunan bernilai RM10 juta sepanjang tepi sungai belakang Astaka dan macam-macam lagi.
Alhamdulillah, masalah di Pelabuhan Perikatan Chendering yang kita perjuangkan telah berjaya dengan peruntukan RM192 juta, muara Sungai Ibai sekitar RM30 juta.
Ini saya bawa di Parlimen, dalam Dewan Rakyat dan juga melalui sesi Kamar Khas untuk dua isu ini.
Semasa di MOSTI saya telah luluskan dana research and development (R&D) bernilai lebih RM3 juta kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk membina konsep dan prototaip bot nelayan kelas B menggunakan teknologi baru yang menggunakan kurang tenaga kerja, lebih cekap, mampu menangkap lebih banyak hasil ikan.
Nelayan kelas B bilangannya ramai khususnya di Terengganu.
UMT mempamerkan R&D ini di pameran LIMA yang lalu di Langkawi.
Begitu juga teknologi, inovasi dan model pendapatan baru untuk beca tradisi yang telah dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu baru baru ini.
Ia bermula dengan inisiatif semasa saya menjadi timbalan menteri di MOSTI.
Tumpuan saya meningkatkan penggunaan teknologi cashless transaction di tempat tempat membeli belah utama seperti Pasar Payang.
Saya bekerja sama dengan Pejabat Kesihatan Daerah bagi mengenal pasti tanah untuk pembinaan satu lagi klinik kesihatan yang lebih besar daripada Klinik Kesihatan Hiliran di Bandar Baru Bukit Besar.
Klinik Kesihatan Durian Burung yang usang di Kampung Durian Burung yang telah saya bangkitkan di Parlimen, telah diluluskan dan sedang dibina bangunan klinik yang baru.

Pada PRK Parlimen Kuala Terengganu kali ini, beliau ditentang calon PH, Azan Ismail.
Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15 lalu dengan majoriti 40,907 undi selepas memperoleh 63,016 undi manakala calon BN, Datuk Mohd Zuber Embong (22,109 undi), Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (PH – 10,946) dan calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar (Pejuang – 481).
Pada PRU14, beliau memenangi kerusi parlimen itu dengan majoriti 14,773 undi apabila mendapat 42,988 undi manakala calon BN, Wan Nawawi Wan Ismail dan PKR, Raja Bahrin masing-masing memungut 28,215 dan 15,380 undi.
