Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Raja Rozela Raja Toran digugurkan daripada pasukan pendakwaan dalam kes rasuah melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Sebuah akhbar berbahasa Inggeris, NST dalam laporannya mendedahkan Raja Rozela yang lantang mengasak Presiden UMNO dalam perbicaraan kes rasuah Yayasan Akal Budi (YAB) kini bukan lagi dalam pasukan pendakwaan, ia menimbulkan spekulasi kes tersebut akan digugurkan.
NST dalam laporannya berkata boleh mengesahkan Raja Rozela sudah digugurkan daripada mengetuai perbicaraan kes rasuah Zahid itu.
“Beliau tidak lagi berada dalam pasukan (pendakwaan),” lapor NST memetik sumber.
NST juga melaporkan sedang mendapatkan penjelasan daripada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berhubung status melibatkan Raja Rozela tetapi belum menerima maklum balas setakat ini.
Sementara itu, Raja Rozela pula tidak memberi sebarang komen lanjut berhubung keputusan tersebut atas alasan dirinya seorang penjawat awam.
Terdahulu, NST melaporkan Raja Rozela, yang dilihat mengajukan soalan bertalu-talu terhadap Zahid semasa perbicaraan sebelum ini, tidak hadir sejak Isnin minggu lepas, dan juga tidak berada di mahkamah ketika perbicaraan disambung pada Rabu.
Zahid berdepan 47 pertuduhan – 12 pecah amanah (CBT), lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.
Antara pertuduhan CBT ialah beliau didakwa menjelaskan hutang kad kreditnya menggunakan YAB melalui 44 keping cek berjumlah kira-kira RM1.3 juta antara Januari 2013 dan Disember 2016.