Tahniah kepada PAS Terengganu atas kejayaan mengekalkan kemenangan bagi penggal kedua berturut-turut, menerajui Terengganu.
Kali ini dengan sedikit bantuan dari ahli Umno yang kelihatannya keliru dengan langkah yang telah diambil pimpinan mereka, terutama setelah berjanji untuk tidak bersama DAP dan Anwar dalam PRU Parlimen 2022 lalu.
Ditambah dengan pertolongan dari Bersatu yang juga rakan tahaluf PAS dalam PRU Negeri kali ini, melengkapkan kemenangan bergaya sapu bersih atau ‘land slide victory’ yang sangat bersejarah ini.
Telemung dan Seberang Takir, dua Dun yang tidak pernah diwakili PAS sebelum ini, berjaya dirampas dari Umno.
Ada beberapa perkara yang ingin saya sentuh berkenaan kejayaan besar ini.
Umno pastinya akan bangkit kembali jika pimpinan mereka bertukar kepada yang lebih baik, samada di peringkat pusat, mahupun negeri.
Jadi, kejayaan besar PAS ini adalah bersifat sementara kerana selain daripada kekuatan PAS, boikot undi oleh ahli Umno turut membantu menjarakkan lagi jumlah majoriti yang PAS peroleh.
Ahli Umno yang memboikot undi, tetapi tidak mahu memberikan undi mereka kepada PN.
Bukti jelas sayang mereka masih tebal kepada Umno.
Akan tetapi pembinaan semula Umno, akan pasti mengambil masa yang sangat panjang, terutama kepercayaan rakyat semakin meningkat kepada PAS dan Bersatu, atas rekod pemerintahan PAS yang terbukti memberikan keadilan kepada semua, tidak mengugut dan juga tidak membazir wang rakyat.
Buktinya kutipan undi PAS juga meningkat di sebalik boikot Umno itu.
Lagipun, Umno Terengganu juga ketandusan pemimpin muda yang berwibawa untuk diangkat bagi menentang Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Keputusan bijak boikot oleh ahli Umno ini juga boleh membuka semula pintu kerjasama Muafakat Nasional dan PN pastinya akan terbuka menerima kedatangan semula Umno tanpa ketuanya yang bermasalah itu.
Kerjasama ini adalah demi Islam dan bangsa untuk memperkuatkan negara, tanpa menutup pintu hubungan dengan bukan Islam dan Melayu.
Diskriminasi kaum oleh PN hanyalah momokkan hodoh PH bagi menggagalkan hasrat PN berkuasa.
PN amat menjaga keharmonian antara kaum.
Tiada cara lain yang lebih baik daripada cadangan gabungan kembali Umno dan PN ini kerana ia akan membawa kebaikan kepada semua.
Manakala ikatan Umno dan PH hanyalah palsu, bagi melepaskan hajat seseorang untuk menjadi Perdana Menteri dan hajat seseorang yang mahu bebas dari kesalahan.
Lalu mereka menggunakan dalil-dalil mereka memberikan keyakinan kepada ahli supaya terus mengusung tandu yang mereka berdua duduk di dalamnya.
Penat ahli Umno mengusung, akhirnya tandu itu di hempas ke bawah oleh ahlinya.
Bagi menjayakan Malaysia lebih bersih dan harmoni, ahli Umno mesti mendesak Presiden mereka meletakkan jawatan dan kita sama-sama menghadapi PH yang menipu itu bagi menyelamatkan negara.
Tiada bezanya pemerintahan PH sekarang dan BN terdahulu.
Hanya nama bertukar, perangainya tetap sama, jahatnya juga tidak berkurang.
Pengundi lain juga membuktikan mereka membenci kempen PH yang begitu jahat sekali menyerang, memfitnah, menghasut, membenci dengan kempen cara lama, kafir mengkafir, menghina ulamak.
Ulamak yang mereka bawa bagi berkempen dengan cara menghidupkan semula isu lama takfiri itu, ditolak dengan jelas oleh rakyat.
Sementara itu Pan dan PKR harus menerima yang mereka tiada tempat di Terengganu.
Ingatlah, kita dimuliakan kerana Islam, bukan kerana kita kuat dan ramai.
Mohd Nasir Abdullah