Malaysia Madani Jenis Apa?

Malaysia Madani Jenis Apa?

Fahamilah perkataan madani dengan maksud yang sebenar, jangan hanya tahu menguar-uarkan perkataan itu laksana burung kakaktua yang hanya mampu bercakap, tetapi tidak berakal dan tidak berilmu.

Ia hanya mengikut apa yang diulangi oleh tuannya, berupahkan beberapa bijirin dalam keadaan kakinya ditambat atau dikurung di dalam sangkar.

Menurut Ibn Khaldun, perkataan madani dalam bahasa al-Quran (bahasa Arab) menjadi tabii manusia untuk hidup bermasyarakat dan masing-masing perlu berhubungan sesama mereka.

Mereka tidak boleh hidup secara bersendirian dan berasingan, sebaliknya harus hidup dalam satu keluarga, sehinggakan satu kampung, satu negeri, malah satu dunia, dan mengadakan hubungan antara negara-negara dan antarabangsa yang luas dan besar.

Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾

“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan; lalu menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.”

[Surah al-Hujurat: 13]

Kemuncak kedudukan seseorang adalah taqwa kepada Allah SWT yang tidak ada dalam kamus hidup orang bukan Islam.

Hal ini membezakan antara madani yang bertujuan mencari keredaan Allah dengan madani jahiliah acuan para ilmuwan Barat yang disokong oleh kumpulan anti-Islam, sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Madani diambil daripada perkataan Madinah (bandar) iaitu tempat manusia berkumpul bagi mendapatkan segala keperluan hidup melalui pertanian, perlombongan, perniagaan, serta perkhidmatan.

Maka, negara madani memerlukan sistem ekonomi, kuasa politik yang mentadbir, serta sistem pelajaran dan pendidikan yang membina insan mengikut fitrahnya, sehingga akhirnya tercipta sebuah tamadun.

Sesungguhnya, kesempurnaan itu hanya datang daripada al-din (Islam), suatu perkara yang tidak ada pada agama dan ideologi yang lain.

Rasulullah SAW menamakan negara Islam pertama sebagai Madinah bersempena dengan tempat berkumpulnya para sahabat bagi menegakkan negara, menggantikan nama asalnya iaitu Taibah atau Yathrib.

Sebuah negara yang ditegakkan mengikut petunjuk Allah SWT melalui pelaksanaan ajaran Islam iaitu al-din yang sempurna.

Sebelumnya, telah wujud negara yang bertonggakkan bandar seperti Athen, Rome dan lain-lain daripada semua tamadun jahiliah yang menjadi rujukan ilmuwan bukan Islam.

Adapun al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW menjadi panduan umat Islam dalam segala urusan kehidupan mereka.

Maka, umat Islam hendaklah memelihara diri mereka daripada diheret, lalu turut disesatkan oleh ilmuwan akli (yang mengikut akal) semata-mata.

Hal ini menunjukkan bahawa konsep madani yang sebenar telah direalisasikan oleh negara Madinah yang ditegakkan pada zaman awal Islam.

Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi RH membahagikan negara yang dibentuk kepada dua jenis negara; iaitu negara hidayah dan negara jibayah.

NEGARA HIDAYAH

Negara hidayah ialah sebuah negara berprinsipkan hidayah (petunjuk Allah) yang ditegakkan berpandukan firman Allah SWT:

﴿وَجَعَلۡنَا مِنۡهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُواْۖ وَكَانُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَا يُوقِنُونَ٢٤﴾

“Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi hidayah (petunjuk) dengan perintah Kami (Allah) ketika mereka sabar (berjuang). Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.”

[Surah al-Sajdah: 24]

Petunjuk itu dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para Khulafa’ al-Rasyidin RA, diikuti oleh generasi awal yang beriman, berilmu dan berakhlak, mengikut firman Allah SWT:

﴿ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾

“(Mereka itu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut-sebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40)

(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat perkara yang ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah jua kembali segala urusan. (41)”

[Surah al-Hajj: 40-41]

Negara hidayah ditegakkan berpandukan petunjuk Allah SWT melalui perjuangan berprinsipkan keimanan dan keyakinan untuk meninggikan Islam.

Negara ini memperoleh keberkatan hasil daripada konsep ibadat, khilafah atau imamah atau imarah yang melaksanakan amanah dan kewajipan supaya berlaku adil.

Termasuklah menjalankan amar ma‘ruf (berkebajikan) dan nahi munkar (kehebatan undang-undang syariat), serta berwawasan akhirat.

Semua ini dilaksanakan tanpa rasa takut kepada mana-mana pihak kerana keredaan negara ini hanya mengikut sempadan Allah SWT yang Maha Berkuasa, seperti sempadan halal dan haram, serta sempadan adil dan zalim.

Ia ditentukan berteraskan aqidah, syariat dan akhlak, mengikut ketetapan Allah dan keizinan-Nya.

Malah, negara ini tidak memaksa penganut agama lain menganut Islam, malah sedia menghadapi cabaran dan tekanan daripada segenap penjuru dunia tanpa perasaan takut untuk melaksanakan perintah Allah SWT.

Matlamatnya adalah untuk mencapai keredaan-Nya, bukan keredaan manusia, berkonsepkan kepimpinan Islam yang berkuasa sepenuhnya dalam negara, berpandukan firman Allah SWT:

﴿إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ٥٦﴾

“Sesungguhnya wali kamu (pemimpin) hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55)

Dan sesiapa yang mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi walinya (pemimpinnya), maka sesungguhnya pengikut agama Allah (Islam) itulah yang pasti akan menang (berkuasa). (56)”

[Surah al-Ma’idah: 55-56]

Ayat ini menekankan kewajipan meninggikan hukum al-Quran dan al-Sunnah oleh para pemimpin Islam yang taat dan adil.

Antaranya adalah dengan berlaku adil kepada seluruh manusia, sepertimana firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨﴾

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menunaikan segala amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

[Surah al-Nisa’: 58]

Amanah terbesar ialah menyerahkan kepimpinan negara kepada pemimpin yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia (tidak fasiq).

Selain itu, umat Islam juga diperintahkan untuk berlaku adil kepada seluruh manusia, termasuk rakyat bukan Islam dan terhadap musuh.

Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

[Surah al-Ma’idah: 8]

Umat Islam hendaklah mempercayai bahawa sifat bertaqwa (taat kepada Allah dan meninggalkan larangan-Nya) akan membawa keberkatan kepada negara dalam aspek politik, ekonomi dan kemasyarakatan, serta segala aspek yang lain.

Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ٩٦﴾

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami menyeksa mereka disebabkan perbuatan mereka.”

[Surah al-A’raf: 96]

Antara ciri-ciri negara hidayah yang lain ialah menolak hasil haram seperti, riba, rasuah dan segala kegiatan maksiat tanpa takut akan kerugian hasil mahsul.

Hal ini demikian kerana, adanya keyakinan terhadap aspek keberkatan, sebagaimana yang telah disebutkan oleh firman Allah SWT.

Sesungguhnya, keberkatan itu akan membawa kebaikan di dunia dan di akhirat.

Akan tetapi, perkataan ini tidak wujud dalam kamus istilah ideologi yang lain.

NEGARA JIBAYAH

Adapun negara jibayah pula merupakan sebuah negara yang dasarnya bergantung kepada aspek kebendaan yang menjadi prinsip semua ideologi, sama ada yang berhaluan kanan mahupun kiri.

Berkonsepkan ekonomi kebendaan semata-mata yang menjadi kiblat dan tujuan hidup, tanpa batasan antara benar dengan salah, halal dengan haram.

Allah SWT telah menceritakan dalam al-Quran bagaimana jawapan para pemimpin Makkah, apabila Rasulullah SAW menolak tawaran mereka kepada Baginda untuk menjadi raja dan pemimpin, sebaliknya Baginda menawarkan negara petunjuk Allah.

Perkara ini dinyatakan oleh firman-Nya:

﴿وَقَالُوٓاْ إِن نَّتَّبِعِ ٱلۡهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفۡ مِنۡ أَرۡضِنَآۚ أَوَ لَمۡ نُمَكِّن لَّهُمۡ حَرَمًا ءَامِنٗا يُجۡبَىٰٓ إِلَيۡهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَيۡءٖ رِّزۡقٗا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ٥٧﴾

“Dan mereka berkata, ‘Jika kami mengikuti petunjuk bersama kamu, nescaya kami akan diserang musuh dan diusir dari negeri kami.’ Dan apakah Kami (Allah) tidak meneguhkan kedudukan mereka dalam daerah haram (tanah suci Makkah) yang aman, yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan daripada segala macam (tumbuh-tumbuhan) untuk menjadi rezeki (bagimu) dari sisi Kami? Akan tetapi, kebanyakan daripada mereka tidak mengetahui.”

[Surah al-Qasas: 57]

Mereka menganggap jika bersama Islam akan membawa kemunduran ekonomi dan kesusahan hidup.

Hakikatnya, mereka takut kepada petunjuk Allah walaupun mengakui kebenarannya kerana kelak akan ditentang oleh seluruh dunia.

Maka, mereka mengikut cara yang salah, sehingga berwali kepada mereka yang tidak beriman dan tidak berakhlak, zalim, serta melakukan maksiat kepada diri mereka sendiri dan negara.

Kebendaan menjadi nilai kebenaran tanpa mengira baik atau buruk.

Hal ini digambarkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya tentang mereka yang meletakkan syarat bagi mengikuti ajaran Rasulullah SAW:

﴿وَقَالُواْ لَن نُّؤۡمِنَ لَكَ حَتَّىٰ تَفۡجُرَ لَنَا مِنَ ٱلۡأَرۡضِ يَنۢبُوعًا٩٠ أَوۡ تَكُونَ لَكَ جَنَّةٞ مِّن نَّخِيلٖ وَعِنَبٖ فَتُفَجِّرَ ٱلۡأَنۡهَٰرَ خِلَٰلَهَا تَفۡجِيرًا٩١ أَوۡ تُسۡقِطَ ٱلسَّمَآءَ كَمَا زَعَمۡتَ عَلَيۡنَا كِسَفًا أَوۡ تَأۡتِيَ بِٱللَّهِ وَٱلۡمَلَٰٓئِكَةِ قَبِيلًا٩٢ أَوۡ يَكُونَ لَكَ بَيۡتٞ مِّن زُخۡرُفٍ أَوۡ تَرۡقَىٰ فِي ٱلسَّمَآءِ وَلَن نُّؤۡمِنَ لِرُقِيِّكَ حَتَّىٰ تُنَزِّلَ عَلَيۡنَا كِتَٰبٗا نَّقۡرَؤُهُۥۗ قُلۡ سُبۡحَانَ رَبِّي هَلۡ كُنتُ إِلَّا بَشَرٗا رَّسُولٗا٩٣﴾

“Dan mereka berkata, ‘Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu sehingga kamu memancarkan mata air dari bumi untuk kami. (90)

Atau kamu mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur, lalu kamu mengalirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya. (91)

Atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping ke atas kami, sebagaimana kamu katakan atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami. (92)

Atau kamu mempunyai sebuah rumah daripada emas, atau kamu naik ke langit. Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu sehinggalah kamu menurunkan kepada kami sebuah kitab yang kami baca.’ Katakanlah, ‘Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi rasul?’ (93)”

[Surah al-Isra’: 90-93]

Gambaran ini jelas menunjukkan bahawa mereka hanya percaya kepada aspek kebendaan, tetapi tidak percaya kepada Allah SWT dan semua perkara ghaib, seperti aspek keberkatan, janji kebajikan berpahala atau akibat dosa.

Mereka yang menegakkan negara jibayah berprinsipkan kebendaan semata-mata boleh menegakkan negara dengan sesiapa sahaja.

Antaranya mereka yang tidak beriman, tidak berilmu dan tidak berakhlak, malah dibejati dengan penyelewengan salah laku, rasuah dan sebagainya, termasuk hasil maksiat.

Apa yang penting baginya adalah untuk mendapatkan kuasa sahaja, walaupun dengan cara yang tidak bermoral kerana ingin memuaskan hawa nafsu sendiri.

Kuasa dan harta dijadikan tujuan hidupnya tanpa rasa peduli akan keredaan Allah dan menyelamatkan umat.

Apa sahaja yang mendatangkan hasil kebendaan akan dilaksanakan, seperti judi, arak dan pelancongan yang berunsurkan maksiat.

Apa yang difikirkan merugikan kebendaan tidak akan dilaksanakan, walaupun diwajibkan oleh Allah seperti mengharamkan riba, judi dan arak.

Lebih malang lagi, mereka tunduk kepada kemahuan masyarakat antarabangsa yang salah dan zalim, walaupun dijajah dari sudut ekonomi, politik dan moral, kerana mahukan kebendaan yang bersifat segera tanpa perlu berjuang.

Orang yang bijak dan baik yang cuba mencegah kemungkarannya pula menjadi mangsa kezalimannya.

Hanya orang yang berilmu sahaja berjaya meletakkan akalnya ke dalam perut bersamanya.

Rakyat pula diumpan dengan kesenangan supaya menyokongnya walaupun mereka menipu, melakukan salah laku dan bersifat zalim.

Semua kegiatan dua bentuk negara tersebut bersifat madani iaitu berpusat di bandar (Madinah) yang dibangunkan, sama ada negara yang bercirikan hidayah (petunjuk Allah) atau jibayah (kebendaan semata-mata).

Kedua-dua jenis negara tersebut dinyatakan dalam al-Quran yang merupakan kitab petunjuk Allah supaya menjadi teladan sepanjang zaman.

Pertama: Kerajaan Nabi Dawud, Nabi Sulaiman, Zulqarnain dan Talut yang mengikut hidayah Allah, beriman dan bertamadun, serta berkonsepkan adil kepada rakyat dan bercirikan madani.

Kedua: Kerajaan Namrud (Babylon), Firaun (Mesir), ‘Ad dan Thamud yang bercirikan nafsu kebendaan, tidak beriman, bertamadun, tetapi menzalimi rakyat. Negara ini juga memenuhi ciri madani.

Allah SWT menyebutkan dua contoh jenis negara yang bertamadun dan kedua-duanya bercirikan madani, sama ada negara Islam atau jahiliah.

Contoh ini ditunjukkan secara praktikal apabila Allah SWT menunaikan janji kemenangan kepada umat Muhammad SAW untuk menegakkan negara yang dipimpin sendiri oleh Rasulullah SAW, sebagaimana firman-Nya:

﴿وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡ‍ٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ٥٥﴾

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh antara kamu, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.”

[Surah al-Nur: 55]

Negara pertama yang dibentuk dinamakan dengan Madinah dan melaksanakan ciri-ciri madani yang bersifat ‘alamiyyah (sejagat), tamkin Islam (Islam yang berkuasa dan berdaulat), dan melaksanakan kewajipan berbentuk ibadat untuk menegakkan syariat yang adil.

Sehinggakan, berjaya mengumpulkan manusia daripada berbagai-bagai bangsa untuk menganut Islam, di samping menarik orang bukan Islam untuk berada di bawah naungannya.

Selain itu, negara Madinah juga berjaya mengumpulkan ilmu yang bermanfaat daripada semua tamadun dengan hidayah ilmu wahyu bagi memandu ilmu akal, pengalaman dan semua kajian yang dilakukan oleh manusia.

Hasilnya, terciptalah Hadarah Islamiyyah (Tamadun Islam) yang turut menyumbang kepada kemajuan dunia terkini.

Barat yang selama ini menumpang hasil kemajuan Tamadun Islam, kini cuba mengheret umat Islam kepada jahiliah yang memusnahkan dunia.

Hal ini demikian kerana, konsep sekularismenya terpisah daripada hidayah agama yang sempurna.

Kedua-dua contoh negara madani ini menjadi ujian kepada manusia dalam kehidupan dunia.

Firman Allah SWT:

﴿تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ٢﴾

“Maha Suci Allah yang di tangan-Nya itulah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1)

(Tuhan) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (2)”

[Surah al-Mulk: 1-2]

Apabila agenda madani disokong oleh kalangan bukan Islam dari dalam dan luar negara yang memusuhi Islam, ini menandakan ada kesesatan dalam agenda itu.

Maka, jadikanlah al-Quran dan Sunnah sebagai penentu kebenaran, di samping memanjatkan doa dalam setiap rakaat solat.

Ingatlah firman Allah SWT:

﴿قُلۡ هَلۡ نُنَبِّئُكُم بِٱلۡأَخۡسَرِينَ أَعۡمَٰلًا١٠٣ ٱلَّذِينَ ضَلَّ سَعۡيُهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَهُمۡ يَحۡسَبُونَ أَنَّهُمۡ يُحۡسِنُونَ صُنۡعًا١٠٤ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِ‍َٔايَٰتِ رَبِّهِمۡ وَلِقَآئِهِۦ فَحَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فَلَا نُقِيمُ لَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَزۡنٗا١٠٥ ذَٰلِكَ جَزَآؤُهُمۡ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُواْ وَٱتَّخَذُوٓاْ ءَايَٰتِي وَرُسُلِي هُزُوًا١٠٦﴾

“Katakanlah, ‘Apakah akan Kami beritahu kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya?’ (103)

(Iaitu) orang-orang yang telah mensia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah berbuat sebaik-baiknya. (104)

Mereka itu orang-orang yang telah kufur terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan (kufur terhadap) pertemuan dengan-Nya, maka terhapuslah segala amalan mereka, dan Kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada Hari Kiamat. (105)

Demikianlah balasan mereka itu neraka Jahanam, disebabkan kekufuran mereka dan disebabkan mereka menjadikan ayat-Ku dan para Rasul-Ku sebagai bahan olok-olok. (106)”

[Surah al-Kahf: 103-106]

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Minda Tok Guru