Sejarah tanah air kita ini ditadbir berpandukan syariat Islam.
Ini terbukti dengan pelbagai manuskrip dan monumen sejarah yang ada.
Seperti Batu Bersurat Terengganu, Hukum Kanun Melaka, Kanun Pahang, Undang-Undang 99 Perak, Itqan al Muluk Bitta’dil Assuluk dan sebagainya.
Malah dari segi pemerintahan pula Sultan akan menjadikan Ulama sebagai antara penasihat dan pentadbir dalam negeri bagi memastikan urusan pemerintahan berlandaskan syariat.
Sebagai contoh, Sultan Zainal Abidin I (1708) dibantu oleh Tok Pulau Manis, Baginda Omar (1839-1876) pula dibantu tiga ulama’ besar iaitu Tok Ku Tuan Besar, Tok Sheikh Duyong dan Tok Sheikh Bukit Bayas.
Malah, jika kita telitikan istana-istana awal akan berdampingan dengan masjid dan sungai.
Sebagai contoh Istana Maziah, Terengganu berhampiran Masjid Putih, Istana Jahar, Kota Bharu berhampiran Masjid Muhammaadi, Istana Pelamin, Kedah berhampiran Masjid Zahir.
Keadaan ini menggambarkan sebelum merdeka negara atau negeri kita telah dibangunkan dan ditadbir berlandaskan syariat Islam.
Setelah penjajahan dan kemerdekaan, sejarah dan jatidiri pemerintahan Islam ini seolah-olah dikaburkan daripada sejarah.
Lebih menyedihkan dengan isu semasa berkenaan kes cabar Enakmen Jenayah Syariah Kelantan yang sedang hangat diperkatakan hari ini.
Seolah-olah mahu menghilangkan warisan dan hakikat pentadbiran di negara ini berlandaskan syariat Islam yang merupakan local wisdom ditanah air kita ini.
Kerana itu bagi saya, kemerdekaan adalah dengan kita kembali merangkul dan memeluk erat nilai dan jatidiri yang berlandaskan syariah yang telah pun kita kecapi sebelum datangnya penjajah.
Kemerdekaan kita seharusnya mengembalikan pelaksanaan syariah di tanah air kita ini. Merdeka!
Ahmad Fahmi Mokhtar