Kerajaan negeri berusaha memastikan golongan wanita di negeri itu terbela melalui pelbagai program yang telah dan akan dilaksanakan.
Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Zuraida Md Noor berkata, sehingga sekarang pelbagai usaha yang dilakukan bagi tujuan tersebut.
Antaranya kata beliau mewujudkan Pusat Autisme Sejahtera Terengganu yang dirasmikan pada 26 Julai lepas setelah empat tahun dirancang.
Katanya, penubuhan pusat tersebut merupakan usaha padu Exco Kebajikan penggal lepas Hanafiah Mat dengan kerjasama Persatuan Autisme Negeri Terengganu.
“Idea tercetus memandangkan terdapat ramai anak autisme yang tidak mendapat terapi sewajarnya kerana kekangan kewangan keluarga.
“Di sinilah datangnya ‘wake up call’ untuk kita berusaha secara serius bagi membantu golongan terbabit,” katanya pada kenyataan di sini.
Beliau juga berkata, Majlis Pemuafakatan Wanita Terengganu yang merupakan sekumpulan pemikir disertai golongan profesional berganding bahu memaksimumkan potensi wanita Terengganu.
Menurutnya juga kerajaan negeri mewujudkan Dasar Wanita Terengganu pada 29 September 2022 yang dicetus daripada Seminar Hala Tuju Wanita Terengganu pada 5 Mac 2019.
Kata beliau tahun ini dasar itu akan mula melalui fasa implementasi yang melibatkan para pemegang taruh.
“Urus Setia Wanita Terengganu yang dilancar 9 Ogos lepas akan berperanan memastikan golongan wanita terbela dan memacu hala tuju mereka selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS),” katanya.
Oleh itu kata beliau kenyataan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang mempersoalkan bukan Adun wanita dilantik mengetuai portfolio wanita sebagai tidak berbangkit.
“Tidak semestinya menjadi Exco baru boleh membawa suara wanita ke peringkat tertinggi.
“Lagi pun ketika selaku Adun lantikan pun saya sudah melakukan tanggungjawab tersebut,” katanya.