Secara umumnya, setiap pelaburan dari luar negara yang masuk ke Malaysia akan diurus oleh Malaysian Investment Development Authority (MIDA), satu agensi kerajaan pusat.
MIDA mempunyai rangkaian besar di luar negara untuk mempromosi peluang pelaburan dalam negara kepada syarikat-syarikat luar untuk datang melabur ke Malaysia.
Apabila pelabur datang, mereka akan mencari tapak untuk membina kilang industri mereka atau ibupejabat mereka.
MIDA akan menyenaraikan tapak-tapak yang dibuka untuk industri yang ada dalam negara kita.
Para pelabur akan mengkaji dan membuat pilihan di mana mereka mahu melabur berdasarkan kriteria tapak-tapak yang disenarai.
Antara yang menjadi faktor pemilihan pelabur juga adalah team pelaburan daripada negeri-negeri.
Team negeri-negeri akan offer pelbagai kemudahan infrastruktur, kecekapan sistem pengurusan dan sebagainya untuk menarik minat para pelabur memilih tapak di negeri masing-masing sebagai destinasi pelaburan.
Para pelabur tidak hanya bergantung kepada data dari MIDA semata-mata.
Mereka juga akan berusaha mendapatkan maklumat daripada kerajaan negeri.
Setiap pelaburan industri yang masuk dan menapak dalam negeri tertentu, segala cukai industri dan keuntungan semuanya akan dikaut oleh kerajaan pusat.
Kerajaan negeri hanyalah mendapat hasil cukai tanah sahaja daripada industri tersebut.
Kerajaan negeri hanya boleh mengambil peluang membangunkan kawasan perniagaan di kawasan industri, perumahan dan seumpamanya – yang mana bukan hasil langsung daripada pelaburan besar industri yang masuk tersebut.
Hasil langsung akan pergi kepada kerajaan pusat.
Itulah perjanjian federalisme yang telah lama diamalkan.
Sebagai timbal balas, kerajaan pusat juga akan menyalurkan peruntukan kepada negeri-negeri berdasarkan perjanjian federalisme juga.
Peruntukan pusat kepada negeri bukanlah ehsan atau belas kasihan pusat kepada negeri, tetapi peruntukan itu adalah HAK rakyat dan kerajaan negeri yang wajib dilunaskan oleh Pusat.
Pentadbir kerajaan pusat tidak boleh berlagak sombong untuk menafikan hak negeri sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dengan menjadikan peruntukan itu sebagai tebusan untuk memenuhi emosi dendam beberapa kerat pentadbir di Pusat ke atas negeri tertentu.
Walhal Pusat menjadi kaya-raya kerana hasil mahsul negeri-negeri.
Tidak wajar setelah 66 tahun merdeka, pentadbiran negara kita dikuasai oleh orang yang tidak profesional dan sering mengutamakan emosi berbanding tatakelola yang profesional dan menurut perlembagaan.
Isu politik, selesaikanlah secara politik, isu peribadi, selesaikanlah secara peribadi, manakala isu pentadbiran, selesaikanlah dengan tatakelola pentadbiran.
Oleh: Dr Tanaka Mustafa





