Membaca tulisan Fathi Aris Omar berkenaan Rahsia Gerakan Reformasi, Dibunuh Tak Mati-Mati, mengasak diri ini untuk menulis sepatah dua ulasan.
“Reformasi dibunuh tak mati-mati” hanyalah satu penulisan romantisme untuk merubat kekecewaan terhadap pemergian arwah reformasi dalam pentadbiran Anwar.
Jika ditanya sama reformis awal, apa lagi yang tersisa dalam perjuangan reformasi kini?
Yang ada hanyalah cita-cita yang tidak mampu diungkapkan, tidak mampu dilaungkan sebagaimana di demostrasi jalanan, terpaksa didiamkan tiada lagi syarahan berapi-api.
Tekad reformasi ini terkubur dan dikebumi dalam hati, sedangkan kuasa pemerintahan telah berada disisi.
Jika itu keadaan reformasi, ia bukanlah tekad dan cita-cita, tapi hanyalah sebuah angan-angan Mat Jening sahaja.
Reformasi telah mati ditikam berkali-kali oleh tuannya sendiri.
Tahun ke 25 ini bukan menjadi majlis memperingati tapi majlis tahlil buat Reformasi.
“Refor-mati” bukan lagi gelaran sinis seperti Refor-basi pada 20 tahun yang lalu.
Ianya telah terjadi dan terpadamnya azam reformasi dek kepentingan kuasa.
Ketakjuban (baca; ketaksuban) terhadap Anwar yang dikatakan mempunyai sembilan nyawa politik. Dibunuh tinggal lapan, dibunuh lagi tinggal tujuh.
Sedarilah nyawa politik Anwar kini hanya tinggal satu, itu pun sudah dalam keadaan nazak dek kerana Anwar menikam nyawanya sendiri.
Reformasi telah pun mati terlebih dahulu ditikam-tikam oleh tuan reformasi yang nyawa-nyawa ikan pada nyawa politik terakhirnya.
Melihat sejarah untuk panduan kehidupan itu bagus.
Mencungkil sejarah sekadar untuk bersedap-sedap dan berangan-angan daripada keributan hakikat serta kematian tekad adalah sebuah ketololan.
Sudah tiada apa yang boleh berpaut pada reformasi, apatah lagi kepada sosok Anwar si pembawa reformasi pada hari ini.
Jika tekad reformasi yang masih tersimpan kecil dalam diri, sewajarnya gerakan reformasi tanpa Anwar perlu dimulai.
Murnikan kembali reformasi dan bangunkan tokoh baharu reformasi.
Segala tindakan Anwar yang melintasi garis merah reformasi, maka meraka yang punya tekad inilah yang wajib bersuara lantang, bukannya sekadar diam memeluk malu azam perubahan.
Bukan juga menjadi tukang pertahan siri-siri pembunuhan kejam reformasi.
Jadilah tukang perjuangkan walaupun yang dihadapi itu namanya Anwar Ibrahim.
Mulakan Reformasi Tanpa Anwar.
Ahmad Fahmi Mokhtar