Mengapa Islam Dibenci?

Mengapa Islam Dibenci?

Firman Allah SWT:

﴿وَدَّ كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ فَٱعۡفُواْ وَٱصۡفَحُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ١٠٩﴾

“Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat menyesatkan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana hasad dengki yang (timbul) daripada diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran. Maka, maafkanlah dan biarkanlah mereka hingga Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya, Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

[Surah al-Baqarah: 109]

Kumpulan Ahzab yang bermusuh terhadap Islam kini, terdiri daripada berbagai-bagai agama yang berfahaman sekularisme iaitu fahaman memisahkan agama daripada urusan kehidupan manusia.

Sehingga melahirkan berbagai-bagai ideologi yang berhaluan kanan atau kiri, di Timur mahupun di Barat.

Semua ideologi liberal kapitalisme dan demokrasi Barat atau sosialisme dan komunisme serta demokrasinya, kini menemui kegagalan apabila tidak mampu menyelesaikan masalah negara masing-masing.

Sejarah membuktikan berlakunya kejatuhan Blok Timur sehingga dirombak dasar dan konsepnya.

Kini, terserlah pula kegagalan demokrasi Barat dan liberal kapitalisme yang mencetuskan masalah politik, ekonomi dan sosial di negara masing-masing.

Namun begitu, sikap bermusuh terhadap Islam terus berlangsung dengan menyebarkan kebencian terhadap Islam.

Keadaan ini berlaku bukan kerana ajarannya yang salah, akan tetapi kerana sifat dengki dan dendam terhadap Islam.

Kelahiran Nabi Muhammad SAW telah disebut dalam kitab suci agama-agama tersebut tetapi fakta itu telah disembunyikan oleh para paderi dan sami.

Kebenaran hanya ternyata apabila kajian perbandingan agama dilakukan secara jujur.

Kedatangan Islam yang pernah berjaya selama beberapa abad dan mencipta tamadunnya dilupakan daripada lipatan sejarah.

Adapun kejatuhan umat Islam bukanlah kerana kelemahan ajarannya, tetapi kerana meninggalkan ajarannya.

Kejayaan Islam menepati konsep wasatiyyah dan prinsip aqidahnya yang kukuh.

Firman Allah SWT:

﴿وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَٰكُمۡ أُمَّةٗ وَسَطٗا لِّتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدٗاۗ…١٤٣﴾

“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang wasatiyyah (adil, sederhana, dan pilihan) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Nabi Muhammad SAW) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu…”

[Surah al-Baqarah: 143]

Firman Allah SWT:

﴿كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡكِتَٰبِ لَكَانَ خَيۡرٗا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَكۡثَرُهُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ١١٠﴾

“Kamu (wahai umat Muhammad) ialah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh kepada segala perkara yang makruf (baik) dan melarang daripada segala perkara yang mungkar (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar keimanan). Dan seandainya Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang sepatutnya), tentulah (iman) itu menjadi lebih baik bagi mereka. (Akan tetapi), antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka ialah orang-orang yang fasiq.”

[Surah Ali ‘Imran: 110]

Kejayaan umat Islam melakukan perubahan dalam perkembangan tamadun dunia kepada Islam ditumpang oleh seluruh manusia sehingga kini, namun jasa umat Islam tidak dihargai.

Lebih menyedihkan, umat Islam dijajah dan dibelasah habis-habisan, tanah airnya ditakluk, penganutnya dizalimi, hartanya dirompak dan dicuri, termasuklah hasil ilmuwan dalam segala lapangan.

Namun demikian, apa yang kita dapat saksikan kini, tamadun Barat yang paling dibangga-banggakan itu telah memakan diri mereka sendiri, apabila agama Islam yang memandu ilmu bukan sahaja dipisahkan daripada ilmunya, malah ditolak ajarannya.

Kini, telah berlaku tanda-tanda kemusnahan tamadun Barat, namun permusuhan terhadap Islam masih diteruskan.

Musuh gagal menghapuskan Islam dan tidak berjaya memadamkan cahayanya, sehingga mereka dihalau keluar daripada tanah air umat Islam.

Satu demi satu tanah air umat Islam mencapai kemerdekaan pada zahir politiknya, tetapi kesan penjajahan pemikiran masih berlarutan, di samping kejahilan beragama umat Islam sendiri yang tidak bertafaquh (memahami) urusan agama Islam yang disebut oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

﴿۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ١٢٢﴾

“Dan tidaklah sepatutnya orang-orang yang beriman itu semuanya keluar (pergi berperang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan antara mereka beberapa orang untuk bertafaquh (memperdalam pengetahuan dan kefahaman mereka tentang agama), dan untuk memberikan peringatan kepada kaum mereka (yang keluar berjuang) apabila mereka telah kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat menjaga diri mereka (daripada melakukan larangan Allah dengan petunjuk-Nya).”

[Surah al-Tawbah: 122]

Sesungguhnya, bertafaquh itu dituntut dalam semua urusan ajaran Islam, seperti aspek aqidah, syariat, akhlak dan pelaksanaan yang bijaksana dalam urusan dakwah, politik, ekonomi, pelajaran, pendidikan dan lain-lain.

Akan tetapi, kefahaman secara tafaquh telah menurun dalam kalangan umat Islam apabila terpaksa menghabiskan banyak masa melawan penjajah dan menghadapi kezaliman musuh tanpa menyerah kalah.

Musuh Islam pada hari ini telah mengambil kesempatan daripada dua gejala negatif yang muncul akibat berlakunya kejahilan agama dalam kalangan umat Islam.

Akibatnya, muncul dua kumpulan; kalangan yang bertasahul (bermudah-mudah dan melonggarkan pegangan agamanya) dan bertasyaddud (melampau batas dalam aspek pendekatan dan cara pelaksanaannya).

Kalangan bertasahul bukan sahaja mencipta kefahaman Islam liberal dan Islam sekular yang membolehkan beriman dengan sebahagian ajaran Islam dan menolak sebahagian yang lain, malah menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Bahkan, ada yang menganut berbagai-bagai ideologi ciptaan manusia dan teorinya.

Kalangan ini disokong oleh negara penjajah supaya terus bertapak penjajahannya terhadap umat Islam.

Allah SWT memberi amaran melarang perbuatan ini, sepertimana firman-Nya:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ٢٠٨ فَإِن زَلَلۡتُم مِّنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡكُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ٢٠٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan! Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (208)

Akan tetapi, jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (209)”

[Surah al-Baqarah: 208–209]

Firman Allah SWT:

﴿وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ٤٨ وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ٤٩ أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ٥٠﴾

“Dan Kami telah turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk membenarkan Kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan sebagai batu ujian terhadap Kitab-kitab yang lain itu. Maka, jalankanlah hukum antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa-apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah kamu mengikuti kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) daripada apa yang telah datang kepadamu daripada kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu dalam berbuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Hanya kepada Allah jua tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa-apa yang kamu berselisihan padanya. (48)

Dan hendaklah kamu menjalankan hukum antara mereka dengan apa-apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu menuruti kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu daripada sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian, jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya, Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian daripada dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya, kebanyakan daripada umat manusia itu ialah orang-orang yang fasiq. (49)

Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang mempunyai keyakinan? (50)”

[Surah al-Ma’idah: 48–50]

Walau bagaimanapun, kecintaan kepada Islam dalam kalangan yang bertasahul itu tidak pernah padam walaupun mereka sendiri berada dalam kejahilan.

Adapun kumpulan bertasyaddud pula bersemangat melaksanakan Islam, sehingga melampaui batas tanpa melaksanakan kebijaksanaan petunjuk Allah dan hikmah Rasulullah SAW yang dihuraikan oleh para ulama’.

Firman Allah SWT:

﴿يُؤۡتِي ٱلۡحِكۡمَةَ مَن يَشَآءُۚ وَمَن يُؤۡتَ ٱلۡحِكۡمَةَ فَقَدۡ أُوتِيَ خَيۡرٗا كَثِيرٗاۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّآ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ٢٦٩﴾

“Dia (Allah) menganugerahkan al-hikmah (kefahaman yang dalam tentang al-Quran dan al-Sunnah) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Maka, sesungguhnya, yang dianugerahi hikmah, dia benar-benar telah mendapat kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal yang dapat mengambil pengajaran (daripada firman Allah).”

[Surah al-Baqarah: 269]

Firman Allah SWT:

﴿ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ١٢٥ وَإِنۡ عَاقَبۡتُمۡ فَعَاقِبُواْ بِمِثۡلِ مَا عُوقِبۡتُم بِهِۦۖ وَلَئِن صَبَرۡتُمۡ لَهُوَ خَيۡرٞ لِّلصَّٰبِرِينَ١٢٦ وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ وَلَا تَحۡزَنۡ عَلَيۡهِمۡ وَلَا تَكُ فِي ضَيۡقٖ مِّمَّا يَمۡكُرُونَ١٢٧﴾

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik serta berdebat menghadapi mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya, Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. (125)

Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi, jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (126)

Bersabarlah (wahai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kejahatan) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa-apa yang mereka tipu dayakan. (127)”

[Surah al-Nahl: 125–127]

Firman Allah SWT:

﴿ٱذۡهَبَآ إِلَىٰ فِرۡعَوۡنَ إِنَّهُۥ طَغَىٰ٤٣ فَقُولَا لَهُۥ قَوۡلٗا لَّيِّنٗا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوۡ يَخۡشَىٰ٤٤﴾

“Pergilah kamu berdua kepada Fir‘aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. (43)

Maka, berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut. (44)”

[Surah Taha: 43–44]

Kini, kita menyaksikan munculnya kumpulan-kumpulan Islam yang ekstrem yang mahukan perubahan yang cepat dan mengambil pendekatan melampau tanpa mengambil kira umat Islam yang tenggelam dalam kejahilan, lalu bertindak melampau.

Tindakan tersebut mencetuskan perpecahan, pergaduhan dan peperangan sesama sendiri, sehingga diambil kesempatan oleh musuh.

Kini, kita menyaksikan gerakan yang dinamakan reformasi digerakkan atas nama demokrasi liberal dan Arab Spring.

Sehingga mencetuskan pertempuran antara rakyat dan polis dalam keadaan seagama dengan dokongan kuasa asing yang mendukung demokrasi.

Pada masa yang sama, mereka menyokong diktator yang boleh digunakan di negara-negara Islam.

Kita menyaksikan keadaan yang lebih melampau hari ini apabila berlakunya perang saudara oleh kumpulan seperti ISIS dan Daesh dengan bantuan senjata daripada negara-negara tertentu, tetapi dibayar daripada harta umat Islam sendiri.

Adapun Israel dan negara-negara lain dibiarkan mengganas terhadap umat Islam.

Sesungguhnya, mereka telah lupa akan amaran Rasulullah SAW:

‌لَا ‌تَرْجِعُوا بَعْدِي كُفَّارًا ‌يَضْرِبُ ‌بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ

“Janganlah kalian kembali menjadi kafir setelah aku (wafat), sehingga sebahagian kalian memenggal leher sebahagian yang lain.”

[Muttafaq ‘alayh: Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, No. 121, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, No. 65, daripada Jarir.]

Ramai kalangan umat Islam yang masih cintakan Islam walaupun berada dalam kejahilan.

Mereka mempunyai kemanisan iman, sepertimana yang dinyatakan melalui hadis Rasulullah SAW:

‌ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ ‌حَلَاوَةَ ‌الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ.

“Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, ia akan mendapatkan manisnya iman: Dijadikannya Allah dan rasul-Nya lebih dicintainya daripada selain kedua-duanya. Jika ia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah. Dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci apabila dilempar ke neraka.”

[Muttafaq ‘alayh: Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, No. 16, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, No. 43, daripada Anas. Lafaz bagi al-Bukhari.]

Maka, diharamkan sewenang-wenangnya bersikap melampau terhadap sesuatu pihak tanpa perhitungan yang betul dan istiqamah, termasuk terhadap musuh.

Firman Allah SWT:

﴿وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ١٩٠﴾

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”

[Surah al-Baqarah: 190]

Pendekatan secara hikmah (bijaksana) dan tadaruj (berperingkat) perlu dilaksanakan terhadap umat yang tenggelam dalam kejahilan.

Begitu juga dalam menghadapi kalangan bukan Islam yang wajib disampaikan Islam kepada mereka.

Maka, hendaklah didahului dengan pendekatan damai, menurut firman Allah SWT:

﴿۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ٦٢﴾

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61)

Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya, cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah Tuhan yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan (dukungan) orang-orang Mukmin. (62)”

[Surah al-Anfal: 61–62]

Firman Allah SWT:

﴿۞وَلَا تُجَٰدِلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ إِلَّا بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ إِلَّا ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنۡهُمۡۖ وَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا بِٱلَّذِيٓ أُنزِلَ إِلَيۡنَا وَأُنزِلَ إِلَيۡكُمۡ وَإِلَٰهُنَا وَإِلَٰهُكُمۡ وَٰحِدٞ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ٤٦﴾

“Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim antara mereka, dan katakanlah, ‘Kami telah beriman kepada (Kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhan kamu adalah satu; dan kami hanya kepada-Nya berserah diri.’”

[Surah al-‘Ankabut: 46]

Kita menyaksikan kegagalan senjata Islamofobia dalam memerangi Islam, sehingga mencetuskan kesedaran ingin tahu secara jujur oleh orang yang berakal sihat dalam kalangan bukan Islam.

Keadaan ini memberi kesan yang positif kepada perkembangan Islam di negara bukan Islam.

Maka, laksanakanlah kewajipan menyampaikan Islam kepada semua mengikut petunjuk Allah SWT:

﴿وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلٗا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ٣٣ وَلَا تَسۡتَوِي ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِي بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُۥ عَدَٰوَةٞ كَأَنَّهُۥ وَلِيٌّ حَمِيمٞ٣٤ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٖ٣٥﴾

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata, ‘Sesungguhnya, aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?’ (33)

Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. (34)

Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keuntungan yang besar. (35)”

[Surah al-Fussilat: 33–35]

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Minda Tok Guru