PAS Bersama Islam Yang Wajib Istiqamah

PAS Bersama Islam Yang Wajib Istiqamah

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merupakan salah satu mata rantai gerakan islah dan tajdid yang berperanan meneruskan kelangsungan perjuangan Islam dengan mengharungi perjalanan risalah para anbiya’ yang bertali arus, serta mengharungi masa yang panjang dan perjalanan yang jauh.

Sepanjang perjalanan itu, terdapat banyak gangguan yang boleh menyesatkan dan memesongkan manusia daripada tujuan mereka diciptakan oleh Allah SWT iaitu supaya beribadat kepada-Nya sahaja, berkhilafah iaitu mentadbir dengan petunjuk Allah dan beramanah dengan berlaku adil berpandukan hukum Allah.

Namun begitu, dalam melaksanakan tujuan penciptaannya, manusia dicabar oleh bala tentera Iblis yang mengacaunya dengan jalan-jalan yang banyak dan berliku sehingga boleh menyesatkan.

Maka, Allah melantik para rasul dan anbiya’ bersama kitab petunjuk-Nya yang diwahyukan kepada nabi-nabi, berakhir dengan al-Quran yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW.

Setiap penganut Islam yang mendirikan solat, termasuk solat jenazah yang tidak ada rukuk dan sujud, tetap membaca Surah al-Fatihah dengan khusyuk dalam setiap rakaat solatnya.

Dalam surah itu, ada satu doa yang sangat penting telah ditunjukkan oleh Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:

﴿ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ٧﴾

“Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6)

(Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau berikan ni‘mat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. (7)”

[Surah al-Fatihah: 6-7]

Apa yang dimaksudkan dengan golongan mereka yang mendapat ni‘mat Allah itu ditafsirkan pula oleh ayat al-Quran sendiri, sebagaimana firman Allah SWT:

﴿وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ مَعَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِم مِّنَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ وَٱلصِّدِّيقِينَ وَٱلشُّهَدَآءِ وَٱلصَّـٰلِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُوْلَـٰٓئِكَ رَفِيقٗا٦٩ ذَٰلِكَ ٱلۡفَضۡلُ مِنَ ٱللَّهِۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ عَلِيمٗا٧٠﴾

“Dan sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul(-Nya), mereka akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahkan ni‘mat oleh Allah, iaitu nabi-nabi, para siddiqin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya. (69)

Yang demikian itu adalah limpah kurnia daripada Allah, dan cukuplah Allah yang Maha Mengetahui. (70)”

[Surah al-Nisa’: 69-70]

Adapun golongan yang dimurkai Allah SWT dan sesat pula, ditafsirkan dengan kaum Yahudi, Nasrani dan lain-lain.

Firman Allah SWT:

﴿قُلۡ هَلۡ أُنَبِّئُكُم بِشَرّٖ مِّن ذَٰلِكَ مَثُوبَةً عِندَ ٱللَّهِۚ مَن لَّعَنَهُ ٱللَّهُ وَغَضِبَ عَلَيۡهِ وَجَعَلَ مِنۡهُمُ ٱلۡقِرَدَةَ وَٱلۡخَنَازِيرَ وَعَبَدَ ٱلطَّـٰغُوتَ ۚ أُوْلَـٰٓئِكَ شَرّٞ مَّكَانٗا وَأَضَلُّ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ٦٠﴾

“Katakanlah, ‘Apakah akan aku beritakan kepadamu tentang orang-orang yang lebih buruk pembalasannya daripada (orang-orang fasiq) itu di sisi Allah, iaitu orang-orang yang dikutuk oleh Allah dan dimurkai-Nya, dan antara mereka (ada) yang dijadikan kera dan babi dan (orang yang) menyembah taghut?’ Mereka itu lebih buruk tempatnya dan lebih tersesat daripada jalan yang lurus.”

[Surah al-Ma’idah: 60]

Ayat ini pula ditafsirkan oleh al-Quran dalam surah yang lain dan juga melalui hadis Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT:

﴿كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ٢١٣﴾

“Manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutuskan para nabi sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tiadalah berlaku perselisihan melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka, Allah memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.”

[Surah al-Baqarah: 213]

Sesungguhnya, jalan yang betul lurus itu ialah mengikut Kitab Allah bersama nabi yang menerima wahyu dan menjadi pengikut yang setia.

Pada suatu hari, Rasulullah SAW melakarkan satu garisan yang lurus dan dilakarkan pula cabang-cabang yang banyak di sebelah kanan dan kiri garisan tersebut di atas tanah dengan disaksikan oleh para sahabat RA, lalu Baginda SAW bersabda:

‌هَذَا ‌سَبِيلُ ‌اللهِ، ثُمَّ خَطَّ خُطُوطًا عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ، فَقَالَ: هَذِهِ سُبُلٌ، عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ.

“Garisan yang satu ini ialah Islam yang sebenar.” Kemudian, Nabi melukis beberapa garisan menjadi cabang di bahagian kanan dan kiri garisan tersebut. Lalu Baginda bersabda, “Inilah beberapa jalan (cabangnya). Di setiap jalan tersebut, terdapat syaitan yang menggoda.”

[Al-Nasa’i, al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Tafsir, No. 11109, dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukththirin min al-Sahabah, No. 4142, daripada Ibnu Mas‘ud. Lafaz bagi al-Nasa’i]

Kemudian, Rasulullah SAW menyebut firman Allah SWT:

﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٥٣﴾

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah kepadanya, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu daripada jalan-Nya. Yang demikian itu, diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.”

[Surah al-An‘am: 153]

Firman Allah SWT lagi:

﴿۞شَرَعَ لَكُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا وَصَّىٰ بِهِۦ نُوحٗا وَٱلَّذِيٓ أَوۡحَيۡنَآ إِلَيۡكَ وَمَا وَصَّيۡنَا بِهِۦٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَىٰٓۖ أَنۡ أَقِيمُواْ ٱلدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُواْ فِيهِۚ كَبُرَ عَلَى ٱلۡمُشۡرِكِينَ مَا تَدۡعُوهُمۡ إِلَيۡهِۚ ٱللَّهُ يَجۡتَبِيٓ إِلَيۡهِ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِيٓ إِلَيۡهِ مَن يُنِيبُ١٣﴾

“Dia telah mensyariatkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh, dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad), dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan ‘Isa iaitu, ‘Tegakkanlah agama (Islam) dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya. Berat bagi orang-orang Musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang kamu seru mereka kepadanya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menerima agama tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada agama-Nya itu sesiapa yang rujuk kembali kepada-Nya (dengan taat).”

[Surah al-Shura: 13]

Inilah al-din (Islam) yang dianut oleh semua nabi AS.

Telah dinyatakan bahawa berlakunya penyelewengan dalam kalangan pengikut nabi-nabi, termasuk dalam kalangan umat Nabi Muhammad SAW.

Penyelewengan ini berlaku dalam kalangan Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian) yang memecah-belahkan ajaran agama dalam perkara dasar yang melibatkan aqidah, syariat dan akhlak.

Pada zaman mutakhir ini, penganut Yahudi dan Kristian telah mencipta istilah baharu dalam mazhab seperti mazhab ortodoks, progresif, sekular dan segala pecahannya, yang melibatkan perkara dasar bagi agama Allah dalam perkara aqidah, syariat dan akhlak.

Sehinggakan, mereka terpesong daripada aqidah tauhid (Tuhan yang Maha Esa), menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal dari sudut syariat, serta mengharuskan maksiat dari sudut akhlak.

Terdapat kalangan umat Islam yang terpengaruh dengan agenda Barat, sehingga bertindak meminda ajaran Islam yang telah ditetapkan tidak boleh diubah (thawabit).

Akibatnya, mereka bukan sahaja terpesong daripada rukun-rukun al-din yang bersifat teguh dan tetap, malah daripada konsep maqasid al-syari‘ah dan siasah syar‘iyyah yang berubah mengikut sempadan keizinan Allah SWT.

Islam yang dihidupkan semula oleh Rasulullah SAW juga diselewengkan oleh penganutnya yang menyeleweng.

Mereka mengubah syariat Allah dan mencipta syariat baharu dalam perkara yang sudah ada nas, melibatkan aspek aqidah, syariat dan akhlak.

Hal ini sebagaimana yang disebutkan dalam banyak ayat al-Quran, antaranya firman Allah SWT:

﴿ٱتَّخَذُوٓاْ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَٰنَهُمۡ أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلۡمَسِيحَ ٱبۡنَ مَرۡيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُوٓاْ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗاۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَٰنَهُۥ عَمَّا يُشۡرِكُونَ٣١﴾

“Mereka menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan.”

[Surah al-Tawbah: 31]

Firman Allah SWT lagi:

﴿أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَـٰٓؤُا شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ٢١﴾

“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan oleh Allah? Sekiranya tidak ada ketetapan yang menentukan (daripada Allah), tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.”

[Surah al-Shura: 21]

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَهُمۡ وَكَانُواْ شِيَعٗا لَّسۡتَ مِنۡهُمۡ فِي شَيۡءٍۚ إِنَّمَآ أَمۡرُهُمۡ إِلَى ٱللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ١٥٩﴾

“Sesungguhnya, orang-orang yang memecah belah agama mereka dan mereka menjadi berpuak-puak, tidak ada sedikit pun tanggungjawabmu kepada mereka. Sesungguhnya, urusan mereka hanyalah terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahu mereka apa yang telah mereka perbuat.”

[Surah al-An‘am: 159]

Para ulama’ telah menghuraikan ayat ini dengan panjang dalam kitab-kitab tafsir dalam bahasa Arab.

Begitu juga dengan Pak Hamka mentafsirkan ayat-ayat ini dalam Tafsir al-Azhar dalam Bahasa Melayu (sila rujuk dan fahami).

Penyelewengan atau kesesatan ini juga berlaku dalam masyarakat Islam yang terkesan dengan agenda serangan pemikiran pada zaman penjajah.

Maka, dimasukkan istilah Yahudi dan Kristian ke dalam ajaran Islam, adanya istilah Islam ortodoks, Islam progresif, Islam liberal dan Islam sekular yang mencipta berbagai-bagai ideologi dan teori politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain.

Ia dilakukan atas nama reformasi yang diistilahkan mengikut kefahaman sekularisme sebagai haddathah (حداثة) atau bidaah (mengubah agama atau mengada-adakan perkara baharu dalam agama).

Perkara ini disebutkan dalam sabda Rasulullah SAW:

‌مَنْ ‌أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ، ‌فَهُوَ ‌رَدٌّ.

“Sesiapa yang mengada-adakan perkara baharu dalam urusan agama kami ini, maka ia ditolak.”

[Muttafaq ‘Alayh: Al-Bukhari, Sahih Bukhari, Kitab al-Sulh, No. 2697, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Aqdiah, No. 1718, daripada ‘Aisyah]

Perkara yang diada-adakan ini bukanlah termasuk dalam aspek islah dan tajdid yang diizinkan.

Antaranya seperti mengeluarkan kenyataan yang menafikan amar ma‘ruf nahi munkar serta nas-nas yang nyata dalam al-Quran dan Sunnah.

Perkara bidaah ini juga berbeza dengan mazhab Islam dalam perkara furu‘ aqidah, syariat, dan akhlak dalam Islam yang istiqamah dalam perkara rukun dan dasar.

Kesemua perkara furu‘ itu tidak menyentuh perkara nas yang nyata.

Kekhilafan generasi awal umat Islam hanyalah dalam memahami nas yang umum atau perkara ijtihad, maka lahirnya mazhab fiqh aqidah, seperti mazhab Salafi, Khalafi, Wahabi, al-Asya‘irah, al-Maturidiyyah, Muktazilah dan lain-lain.

Dalam fiqh politik pula, adanya mazhab Ahli al-Sunnah, Syiah dan Khawarij.

Dalam fiqh syariat pula adanya mazhab Hanafi, Maliki, Syafi‘i, Hanbali, Zahiri, Imamiyyah, Zaidiyyah dan Ibadiyyah.

Adapun dalam tasawwuf, adanya tarekat tasawwuf yang berkhilaf dalam masalah cabang, hukum mutaghayirrat dan khilafiyyah yang tidak berkait dengan perkara thawabit dan qat‘iyyat (nas yang tetap).

Kalau ada yang tersilap ijtihad atau terlanjur aqidahnya, boleh diperbetul atau ditashihkan supaya kembali kepada nas asal yang dinyatakan oleh sumber hukum Islam iaitu al-Quran, al-Sunnah, Ijmak para ulama’, Qiyas dan lain-lain secara ilmu mengikut budaya ilmu Islam yang ada pada semua mazhab tersebut.

Perkara ini ditegaskan oleh firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah kamu kepada Allah, taatilah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulu al-Amr (orang-orang yang berkuasa) antara kamu. Kemudian, jika kamu saling berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (al-Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Oleh yang demikian, perkara itu adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

[Surah al-Nisa’: 59]

Perkataan Ulu al-Amr merujuk kepada para ulama’ yang memelihara ilmu dan para pemimpin yang melaksanakan hukum dengan tafaqquh (berilmu dan faham).

Sabda Rasulullah SAW:

‌تَرَكْتُ ‌فِيكُمْ ‌أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا، كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya SAW.”

[Malik, Kitab al-Jami‘, Muwatta’, No. 3338]

Secara tegasnya, Islam berbeza dengan pengaruh fahaman Yahudi dan Kristian dalam masyarakat Barat yang mencipta agama baharu yang turut dinamakan mazhab.

Mereka pernah menjajah negara dan pemikiran rakyat dalam kalangan umat Islam, sehingga diberikan amaran oleh al-Quran.

Firman Allah SWT:

﴿وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ٤٨ وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ٤٩ أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ٥٠﴾

“Dan telah Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk membenarkan kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka, jalankanlah hukum antara mereka (Ahli Kitab) itu menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah kamu mengikut kehendak hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Bagi tiap-tiap umat yang ada antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu aturan dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah dikurniakan kepadamu. Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu dalam berbuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Hanya kepada Allah jua tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang telah kamu perselisihkan. (48)

“Dan hendaklah kamu menjalankan hukum antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu menuruti kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian, jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian daripada dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan daripada umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq. (49)

Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang mempunyai keyakinan. (50)”

[Surah al-Ma’idah: 48-50]

Saya ingin menarik perhatian berhubung pendedahan penubuhan Parti Amanah Negara (PAN) bersama Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan berlaku hasil muzakarah antara Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka yang dipecat atau keluar daripada PAS serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan bukan Islam yang bersama mereka.

Tujuannya adalah untuk menggantikan PAS yang dinamakan sebagai Islam konservatif atau ortodoks (meminjam istilah yang asing daripada Islam).

PAS dikatakan fanatik, taasub, atau melampau, tidak bersifat progresif dan liberal.

Hakikat sebenarnya sangat berbeza dengan sejarah penubuhan PAS yang terbentuk hasil muzakarah para ulama’ dan ilmuwan Islam bagi menyambung kewajipan mewujudkan kumpulan Islam yang mengikut perintah Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:

﴿وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٠٤﴾

“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada perkara yang ma‘ruf dan mencegah daripada perkara yang mungkar; merekalah orang-orang yang mendapat kemenangan.”

[Surah Ali ‘Imran: 104]

Firman Allah SWT lagi:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَن يَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَسَوۡفَ يَأۡتِي ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ يُحِبُّهُمۡ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَٰفِرِينَ يُجَٰهِدُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآئِمٖۚ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ٥٤ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَٰكِعُونَ٥٥ وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ٥٦﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa antara kamu yang menyeleweng daripada agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang-orang Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui. (54)

Sesungguhnya, wali kamu (penolong kamu) hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). (55)

Dan sesiapa mengambil Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya, kumpulan pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang. (56)”

[Surah al-Ma’idah: 54-56]

Ayat ini menyatakan kewajipan adanya sebuah jemaah, parti atau kumpulan Islam yang mempunyai sifat-sifat dan ciri-ciri yang disebutkan.

Malah, dinyatakan pula dalam undang-undang tubuhnya (perlembagaan) bahawa Islam menjadi dasar dan matlamatnya.

Adapun hukum tertingginya ialah al-Quran, Sunnah, Ijmak ulama’ dan Qiyas yang nyata.

PAS menerima keahlian daripada sesiapa sahaja yang menganut Islam tanpa mengira pegangan mazhab, tahap pendidikan dan akhlak seseorang.

Hal ini demikian kerana, aspek-aspek ini akan dibawa ke dalam agenda ilmu dan tarbiah yang akan mengembalikan semua ahli PAS kepada budaya ilmu Islam.

PAS menjadi saksi kebenaran bukti daripada Allah SWT, apabila mendapat penentangan dan kebencian daripada semua kumpulan anti-Islam yang dinyatakan oleh Allah SWT terhadap generasi awal dalam firman-Nya:

﴿…ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ لَا يُصِيبُهُمۡ ظَمَأٞ وَلَا نَصَبٞ وَلَا مَخۡمَصَةٞ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَطَ‍ُٔونَ مَوۡطِئٗا يَغِيظُ ٱلۡكُفَّارَ وَلَا يَنَالُونَ مِنۡ عَدُوّٖ نَّيۡلًا إِلَّا كُتِبَ لَهُم بِهِۦ عَمَلٞ صَٰلِحٌۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجۡرَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ١٢٠﴾

“…Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka tidak ditimpa kehausan, kepayahan, dan kelaparan pada jalan Allah; dan tidak pula mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; dan juga tidak menimpakan sesuatu bencana yang mencederakan pihak musuh, melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka, (pahala) amal yang soleh. Sesungguhnya, Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat baik.”

[Surah al-Tawbah: 120]

Firman Allah SWT:

﴿وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّآ إِيمَٰنٗا وَتَسۡلِيمٗا٢٢ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا٢٣﴾

“Dan tatkala orang-orang Mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata, ‘Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita’. Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya.’ Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan kepada Allah. (22)

Antara orang-orang Mukmin itu, ada yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka antara mereka ada yang gugur. Dan antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak mengubah (janjinya) (23).”

[Surah al-Ahzab: 22-23]

Apabila kumpulan berjenama Islam mendapat sokongan musuh Islam yang nyata ekstremnya terhadap Islam, seperti menentang perkara dasar, rukun dan nas yang nyata, atau membela perkara murtad, ini menandakan mereka telah melanggar sempadan Allah SWT yang disebutkan dalam banyak ayat al-Quran.

Antaranya firman Allah SWT:

﴿لَّا يَتَّخِذِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۖ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ فَلَيۡسَ مِنَ ٱللَّهِ فِي شَيۡءٍ إِلَّآ أَن تَتَّقُواْ مِنۡهُمۡ تُقَىٰةٗۗ وَيُحَذِّرُكُمُ ٱللَّهُ نَفۡسَهُۥۗ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلۡمَصِيرُ٢٨﴾

“Janganlah orang-orang Mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali (pelindung) dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Sesiapa yang berbuat demikian, nescaya terlepaslah dia daripada pertolongan Allah, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti daripada pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah memperingatkan kamu terhadap kekuasaan diri-Nya (seksaan-Nya). Dan hanya kepada Allah jua tempat kembali.”

[Surah Ali ‘Imran: 28]

Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ بِطَانَةٗ مِّن دُونِكُمۡ لَا يَأۡلُونَكُمۡ خَبَالٗا وَدُّواْ مَا عَنِتُّمۡ قَدۡ بَدَتِ ٱلۡبَغۡضَآءُ مِنۡ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَمَا تُخۡفِي صُدُورُهُمۡ أَكۡبَرُۚ قَدۡ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلۡأٓيَٰتِۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡقِلُونَ١١٨ هَـٰٓأَنتُمْ أُوْلَآءِ تُحِبُّونَهُمۡ وَلَا يُحِبُّونَكُمۡ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱلۡكِتَٰبِ كُلِّهِۦ وَإِذَا لَقُوكُمۡ قَالُوٓاْ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَوۡاْ عَضُّواْ عَلَيۡكُمُ ٱلۡأَنَامِلَ مِنَ ٱلۡغَيۡظِۚ قُلۡ مُوتُواْ بِغَيۡظِكُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ١١٩ إِن تَمۡسَسۡكُمۡ حَسَنَةٞ تَسُؤۡهُمۡ وَإِن تُصِبۡكُمۡ سَيِّئَةٞ يَفۡرَحُواْ بِهَاۖ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ لَا يَضُرُّكُمۡ كَيۡدُهُمۡ شَيۡ‍ًٔاۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ١٢٠﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang bukan daripada kalanganmu menjadi teman kepercayaanmu, (kerana) mereka tidak henti-henti akan berusaha (menimbulkan) kemudaratan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian daripada mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu ingin memahaminya. (118)

Beginilah kamu, kamu menyukai mereka, padahal mereka tidak menyukai kamu, dan kamu beriman kepada kitab-kitab semuanya. Apabila mereka menjumpai kamu, mereka berkata, ‘Kami beriman,’ dan apabila mereka menyendiri, mereka menggigit hujung jari lantaran marah bercampur benci terhadap kamu. Katakanlah (kepada mereka), ‘Matilah kamu kerana kemarahanmu itu.’ Sesungguhnya, Allah mengetahui segala isi hati. (119)

Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi Jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya, Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan. (120)”

[Surah Ali ‘Imran: 118-120]

Allah SWT telah meletakkan sempadan hubungan dengan kalangan bukan Islam yang mesti dilaksanakan.

Firman Allah SWT:

﴿لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ يَتَوَلَّهُمْ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ٩﴾

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8)

Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu sebagai kawanmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)”

[Surah al-Mumtahanah: 8-9]

Oleh sebab itu, PAS menerima sokongan bukan Islam dan boleh bersefahaman apabila bukan Islam bersifat tidak ekstrem.

Bahkan, PAS tidak melarang malah membuka jalan kepada mereka untuk mengkaji ilmu Islam dengan perhatian dan panduan daripada PAS sendiri, termasuk boleh membaca al-Quran dan ilmunya dengan panduan dan kawalan.

PAS tidak melarang mereka mengkaji al-Quran dan membacanya, malah PAS tegas dalam menangkis salah faham mereka terhadap Islam.

Maka, PAS membuat keputusan dengan berpegang teguh kepada dasar, prinsip dan konsep yang dinaskan dengan nyata dan berjtihad berpandukan kepimpinan Majlis Syura Ulamak (kumpulan yang mengkaji nas dan hukum) dan kumpulan pelaksanaan mengikut keadaan, situasi dan realiti yang berubah-ubah dan berbeza oleh Dewan Harian, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat dan Lajnah Politik PAS.

Inilah peringatan kepada seluruh ahli PAS dan mereka yang berminat mengenali PAS, supaya PAS tidak dikelirukan oleh musuh Islam.

Firman Allah SWT:

﴿وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ٦٩﴾

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, sesungguhnya Kami benar-benar akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.”

[Surah al-‘Ankabut: 69]

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Minda Tok Guru