Sungguh, Ahli PAS Cintakan Palestin

Sungguh, Ahli PAS Cintakan Palestin

Sebaik sahaja berita berkenaan serangan Hamas ke atas Israel tersiar, seluruh manusia yang cintakan Islam, segera menumpukan perhatian mereka kepada episod seterusnya, peperangan yang telah dimulakan itu.

Serangan kali ini yang dinamakan sebagai Taufan al-Aqsa itu, telah mengorbankan banyak nyawa di kedua-dua belah pihak.

Hanya sahaja, di pihak Israel, kita kebiasaannya tidak akan mendapat maklumat tepat, sebesar mana kemusnahan yang mereka alami.

Sehingga kini, pertempuran masih lagi berjalan.

Ia adalah antara pertembungan yang hebat dalam siri rakyat Palestin menentang pendudukan haram Israel di tanah tumpah darah mereka.

Untuk rekod, Israel pernah beberapa kali tewas dalam beberapa perang sebelum ini dan kali terakhir ialah pada tahun 1973 apabila ketumbukan tentera Arab yang dipimpin oleh Mesir, hampir sahaja berjaya merampas Tel Aviv.

Dengan kerjasama Arab Saudi dan negara arab lain, rupanya mereka sangat gagah apabila bersatu hati.

Setelah perang yang hebat itu, Palestin mendapati dirinya ditinggal berseorangan menentang rejim Israel yang jahat itu.

Sehingga berlaku peritiwa Nakhbah yang terkenal itu, dibawah perintah Ariel Sharon sebagai Menteri Pertahanan pada tahun 1982, Palestin benar-benar ditinggalkan oleh negara arab yang lain.

Oleh itu perjuangan mereka hanyalah mendapat simpati dari dunia luar.

Kasihan dari negara arab sahaja, tidaklah dapat melawan Israel yang lengkap bersenjata.

Oleh itu Palestin mengambil keputusan melancarkan serangan Intifadah yang melemaskan Israel.

Dengan tekanan yang sangat kuat melalui intifadah itu, Palestin berjaya menunjukkan kepada dunia yang mereka mampu melawan Israel yang bacul itu.

Maka diadakan beberapa siri perjanjian damai yang dimeterai oleh Yassir Arafat, Presiden PLO, pemimpin sebuah pertubuhan Palestin yang sebenarnya tidak diiktiraf oleh keseluruhan rakyat Palestin kerana dasarnya bukan Islam sepenuhnya.

Berapa banyak wang derma yang berjaya mereka kumpulkan, akhirnya kesemuanya jatuh kepada isteri Yassir yang tidak dikembalikan kepada PLO, walaupun Mahmoud Abbas sudah mencuba berbagai cara.

PAS menetapkan pendirian mereka menyokong perjuangan Hamas yang diyakini benar kerana tetap berkeras untuk menentang sebarang perjanjian damai yang tidak pernah mendamaikan serta segala bentuk cadangan, hanyalah menguntungkan Israel.

Mereka berpegang teguh dengan ajaran Islam agar tidak menyerahkan walau seincipun tanah kepada Israel.

Yang mereka tahu, pertahankan hak umat Islam, ataupun syahid.

Oleh itu hubungan PAS dengan rakyat Palestin melalui hubungan dengan Hamas adalah satu hubungan istimewa yang diikat melalui aqidah dan kefahaman fiqh yang digariskan oleh agama.

Hal ini terbukti dengan kesungguhan ahli PAS yang hadir ke majlis sokongan kepada Hamas dan mengutuk tindakan jahat dan tidak bertamadun Isra pada Jumaat lalu.

Seruan itu malah disambut pula dengan derma dan sedekah yang dihulurkan oleh para hadirin.

Ada yang sanggup melucutkan rantai emasnya yang panjang, ada yang menanggalkan gelang tebal dari lengannya dan juga ada yang rela hati memisahkan jarinya dari cincin yang dipakainya.

Tidak lupa juga bersilih ganti not-not ungu dan biru muda yang dimasukkan ke dalam kantung derma, demi untuk memastikan Palestin mendapat bantuan dari mereka, atas solidariti sebagai seorang muslim ke atas kesakitan muslim yang lain.

Lebih RM60 ribu wang tunai berjaya dikumpulkan pada Jumaat lalu, tidak termasuk barang kemas yang disebutkan itu.

Di dalam al-Quran, ada disebutkan dalam surah as-Shaf berkenaan perniagaan yang Allah tawarkan kepada manusia untuk melepaskan diri dari azab neraka yang antaranya ialah berjihad dengan harta benda dan kemudiannya nyawa.

Jadi tidak usah kita bercakap tentang syahid jika kedekut untuk mengeluarkan harta benda di jalan Allah.

Maaf, saya hanya terfikir, tiada lagi kedengaran suara bekas pimpinan PAS yang telah keluar dari menubuhkan parti lain, kepada perjuangan Hamas ini.

Mereka kelihatannya terpisah dengan perjuangan Hamas mungkin kerana perjuangan mereka sekarang sudah tidak sama lagi.

Tidak bersemangat dan mereka juga gagal membawa penyokong baharu mereka untuk sama-sama menghayati perjuangan rakyat Palestin ini. Hilang sudah ruh mereka.

Tiada langsung seruan bagi membantu Hamas.

Malah ada diantara penyokong baharu mereka mengutuk Palestin kerana menyusahkan orang lain.

Ternyata mereka jauh daripada mencintai perjuangan membebaskan Palestin. Alhamdulillah PAS kekal istiqamah.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis