Apabila Islam Diindahkan, Bidang Hiburan Boleh Menjadi Dakwah

Apabila Islam Diindahkan, Bidang Hiburan Boleh Menjadi Dakwah

Sekalung tahniah kepada Sabri Yunus atas usaha dan berjaya memahamkan Angelina Tan berkenaan Islam yang mana akhirnya Angelina Tan telah terbuka hatinya untuk memeluk Islam sebagai agama yang menjadi cara hidupnya, semoga kekal dalam keberkatan selamanya.

Lebih manis lagi, dengan kembalinya Angelina Tan kepada agama fitrah ini, sekaligus menghalalkan mereka berdua melalui ikatan suci yang sah.

Weil Smail Golok atau menurut sebutan Inggerisnya Where is my Golok, adalah satu watak yang sangat diminati dan diingati oleh ramai peminat sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Watak Lucy pula dipegang oleh Angelina Tan, turut mewarnai kepelbagaian bangsa yang ditonjolkan oleh Othman Hafsham dalam karya beliau bersama Dr. Hatta Azad Khan yang panjang dan tersohor itu, selain Ravi yang gila-gila itu.

Zaman itu adalah zaman yang bangsa tidak terlalu dilihat sebagai penghalang kepada persahabatan rakyat Malaysia.

Selain sitkom ini, sebenarnya ada lagi beberapa sitkom lain yang diarahkan juga oleh Othman Hafsham. 2+1 adalah satu daripadanya.

Ia menonjolkan Imuda sebagai Sam dan allahyarham Ahmad Busu sebagai Ram. Jalil Hamid, Zeila Jalil, Susan Lankester dan juga Louisa Chong turut menjadi penyeri yang menggamatkan suasana.

Tahukah anda, perkataan sotong yang merujuk kepada lelaki lembut adalah bermula dari siri ini, dimana Ram selalu memanggil Sam sebagai sotong kerana kelembutannya. Maaf jika ada yang terasa.

Dan tahukah anda yang Louisa Chong juga telah memeluk Islam hasil daripada kefahaman dan keinginan beliau untuk belajar dan mendalami Islam.

Zeila Jalil juga telah bertudung sekarang disebalik penampilannya yang agak berani sewaktu zaman beliau menjadi primadona filem Melayu.

Artis atau nama popular lain yang turut kembali kepada agama fitrah ialah Adam Corrie, Raymond Goh, Kelvin Ong, Peggie Ng, Tiara Jacquelina, Magaret Gan, Shila Lama, Micheal Ang, Stacy, Mark Adam, Daphne Iking, Mat Dan, Susan Menon serta ramai lagi.

Tiada tempat untuk artis bertudung

Hari ini, tidaklah menjadi kepelikan apabila ramai artis wanita yang bertudung, malah terkadang dimarahi peminat jika membuka tudung.

Hal ini adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk dilakukan oleh artis wanita sebelum tahun 2000 dahulu.

Alamat tidak lakulah artis wanita itu.

Hijab adalah suatu pantang larang kepada mereka.

Boleh dikatakan hidup artis pada zaman itu, jauh dari kehendak agama.

Bukan semua, tetapi majoriti artis, begitulah.

Bukan sahaja artis, penyampai berita wanita juga tidak akan dapat muncul di kaca TV jika bertudung.

Ia berlaku kepada allahyarham Wan Chik Daud, seorang penyampai berita ternama dari RTM awal 80-an dahulu, apabila mula bertudung, beliau diketepikan daripada menjadi penyampai berita.

Sebaliknya, Azura Abdul Karim dari TV3 yang berjaya menjadi penyampai berita wanita pertama yang muncul dengan bertudung penuh dan mengejutkan rakyat Malaysia atas tindakan berani pengurusan TV3 itu.

Kemudian, semakin ramai yang menuruti jejak langkah yang mulia ini, termasuklah RTM.

Ninja dan Hantu Kum-Kum

Di akhir 70-an dan awal 80-an dahulu, jika seorang wanita bertudung, mereka akan diejek sebagai berkepala botak.

Jika berpurdah, dipanggil ninja, atau Hantu Kum-Kum.

Jika berserban, dilihat sebagai pengikut ajaran sesat.

Ada ustazah yang pernah mengajar di sekolah-sekolah, hanya memakai selendang yang diikat di tengkuknya sahaja.

Ada juga yang diikat ke belakang menampakkan leher masing-masing.

Tidak lupa juga ada antara ustazah yang memakai kain yang singkat, menampakkan betis mereka.

Terutama yang mengandung, pakaian mereka mesti terangkat, tanpa memakai stoking.

Maka timbullah para ulamak waktu itu yang cuba memahamkan umat dengan pemakaian mengikut kehendak Islam.

Sebahagian mereka dari sebelah kerajaan, nama-nama seperti Dato’ Dr Haron Din, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man – keduanya pensyarah IPTA, Datuk Taib Azzamuddin – mantan Imam Besar Masjid Negara, Datuk Abu Hassan Din – Pegawai Istana Negara, Datuk Ismail Kamus – Pegawai Jakim, Dato’ Dr Hassan Ali – pakar motivasi sering muncul di kaca TV memahamkan rakyat berkenaan Islam tanpa jemu.

Di sebelah pembangkang pula, tokoh-tokoh seperti almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Noor, Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, almarhum Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, almarhum Haji Yusof Rawa, almarhum Dato’ Harun Taib, almarhum Dato’ Abu Bakar Chik, sering bergerak dari kampung ke kampung, daerah ke daerah, negeri ke negeri, markas ke markas dan membina madrasah yang menumpukan kepada pendidikan agama bagi perkembangan Islam untuk anak-anak orang Islam.

Inilah hasil yang mereka tanam dahulu, memperindahkan Islam, rakyat tidak lagi mempermainkan hijab, atau berkata politik suku agama suku.

Sebaliknya orang Islam berusaha menjadikan anak masing-masing sebagai hafiz atau ulamak selain mengejar kecemerlangan dunia.

Ia juga berkembang kepada golongan artis yang dahulunya menjauhi golongan ulamak, terutamanya dari pembangkang.

Namun sekarang sudah ramai yang mendekati ulamak malah membantu ulamak berdakwah dalam industri mereka.

Semoga usaha ini akan berterusan menukar industri hiburan yang mengajak kelalaian semata-mata kepada ruang dakwah yang sangat luas dan efektif.

Mohd Nasir Abdullah

Kolumnis